Sedia maklum, Pulau Pinang merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO yang kaya dengan budaya, seni bina dan masyarakatnya. Jika anda ke Georgetown, pasti anda dapat lihat bangunan lama yang masih digunakan dengan baik, karakter masyarakat yang masih berniaga di bawah rumah mereka dan sebagainya.

Malah, jika anda berkunjung ke Armenian Street, pasti anda akan melihat pelbagai lukisan mural yang berada di situ. Antara lukisan mural yang menjadi perhatian pastinya lukisan ‘Kanak-kanak Atas Basikal’ dan banyak lagi serta buat mereka yang ingin mengambil gambar kebanyakkannya harus beratur terlebih dahulu.

Baru-baru ini, Ernest Zacharevic iaitu pelukis gambar mural ikonik ‘Kanak-kanak Atas Basikal’ telah menzahirkan rasa kecewa beliau di laman sosial Instagramnya kerana kawasan tersebut ‘tidak lagi seperti dahulu’.

Jalan berkenaan kini menjadi pusat tumpuan pelancong dan seiring dengan popularitinya, terdapat banyak pembangunan baharu dan kedai-kedai ‘hipster’ muncul di kawasan terbabit.

Bagi beliau, mural yang dilukisnya telah ‘mengganggu’ tempat tersebut yang dahulunya tenang. Malah, beliau juga pernah mempertimbangkan untuk memadam lukisan tersebut dan mengakhiri kedatangan pelancong yang terlalu ramai di kawasan tersebut.

Ernest turut menambah disebabkan kawasan tersebut menjadi terlalu terkenal, ianya sedikit sebanyak menjejaskan tujuan utama pelancong iaitu mendalami dan merasai pengalaman sebenar di Pulau Pinang.

Harapan beliau cuma tiada lagi kemodenan berlaku di Armenian Street bagi menjaga status UNESCO dan nilai budaya tempat berkenaan.

Jika nilai budaya hilang, tidak mustahil status Tapak Warisan Dunia UNESCO yang diperoleh pada tahun 2008 juga turut akan terlucut.

Sumber