Ramai pembeli rumah baru dengan pemaju mengadu kepada saya. Mereka rasa tidak puas hati apabila pemaju menuntut daripada mereka bayaran faedah lewat bayar (interest) akibat kelewatan pemaju menerima bayaran progres harga jual beli.

Bahkan ada pemaju yang enggan serahkan milikan kosong (kunci rumah) kepada pembeli akibat kegagalan pembeli menjelaskan bayaran interest tersebut.

DSC09619-630×420
HYPE
Miliki ‘HUAWEI nova 5T’ Smartphone Paling Bergaya 2019 Esok
Baca lagi →

Sedangkan kelewatan tersebut bukanlah salah pembeli.

Kadang-kala kelewatan tersebut disebabkan oleh pihak pembiaya (bank / LPPSA) sendiri. Kadang kala disebabkan oleh pihak peguam.

Jadi kenapa pula mereka yang terpaksa menanggung bayaran interest tersebut. Bukankah itu dilihat tidak adil?

Saya fikir ramai pembeli rumah yang berpandangan begitu, bukan?

Jom kita lihat bagaimanakah peruntukan undang-undang sebenar tentang perkara tersebut.

1. Sebenarnya, kalau kita rujuk kepada Perjanjian Jual Beli (SNP) yang menggunapakai Jadual G atau Jadual H Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) jelas dinyatakan, sekiranya pembiaya lewat menjelaskan bayaran progres harga jual beli kepada Pemaju, maka Pemaju berhak kenakan interest kepada Pembeli.

2. Perjanjian ini sebenarnya adalah perjanjian yang seragam yang digubal oleh kerajaan dan hendaklah digunapakai dalam semua urusan jual beli rumah dalam pembinaan daripada pemaju.

Jadi semua pembeli rumah dalam pembinaan akan terikat dengan perjanjian tersebut.

3. Walau bagaimanapun sekiranya kelewatan tersebut disebabkan oleh dokumentasi tidak lengkap dipihak pemaju yang menyebabkan pembiaya tidak dapat melepaskan bayaran tersebut dalam tempoh masa yang ditetapkan dalam SNP, maka pemaju tidak boleh kenakan Interest kepada pembeli.

4. Jadi apa yang patut anda lakukan jika pemaju tuntut bayaran interest daripada anda adalah, sila dapatkan cronological event (kronologi urusan jual beli) daripada peguam tentang proses pelepasan bayaran pinjaman tersebut daripada mula sampailah bayaran dilepaskan, untuk mengetahui tentang di manakah punca kelewatan sebenar bayaran tersebut.

4. Dapatkan juga pengesahan bertulis daripada pembiaya tentang kelewatan pelepasan bayaran tersebut.

5. Daripada situ sekiranya terbukti kelewatan disebabkan oleh dokumentasi dipihak pemaju tidak lengkap, sila tulis surat kepada pemaju memaklumkan yang anda tidak bertanggungjawab untuk membayar Interest tersebut kerana kelewatan tersebut disebabkan oleh pemaju sendiri.

6. Lampirkan sekali surat cronological event daripada peguam dan surat daripada pembiaya anda sebagai bukti.

7. Dan sekiranya kelewatan tersebut memang jelas disebabkan oleh peguam anda atau pembiaya anda dan bukannya disebabkan oleh dokumentasi tidak lengkap di pihak pemaju, maka anda berhak minta peguam atau pembiaya anda bertanggungjawab di atas bayaran interest tersebut.

8. Jika pemaju enggan serahkan milikan kosong atau kunci sedangkan terbukti kelewatan tersebut disebabkan oleh pemaju, tak mengapa, tunggu sahaja 14 hari selepas dapat surat serahan milikan kosong daripada pemaju.

Kerana serahan milikan kosong dianggap secara otomatiknya diserahkan selepas 14 hari daripada tarikh surat pemaju panggil ambil milikan kosong, walaupun pembeli tidak ambil kunci rumah tersebut.

Kesimpulannya, kalau anda baca dan faham betul-betul peruntukan dalam SNP, pasti anda sebagai pembeli akan dapat pertahankan hak anda.

Walaupun secara umumnya jika berlaku kelewatan, anda yang perlu tanggung bayar interest tersebut, tetapi jika terbukti kelewatan tersebut disumbangkan oleh pihak lain, anda tidak harus dipertanggungjawabkan untuk menjelaskannya.

Yang penting anda tahu apa dan bagaimana cara yang perlu dilakukan.

Jadi pesan saya kepada pembeli-pembeli rumah di luar sana, apabila terima salinan SNP sila baca dan fahamkan terma-terma dalam SNP tersebut.

Sama-samalah kita jadi celik undang-undang. Sila LIKE dan SHARE jika tulisan ini bermanfaat.

Artikel di atas disumbangkan oleh Salkukhairi Abd Sukor. Peguam. Boleh ikuti beliau di sini.

Anda Mungkin Suka