Walaupun kes kemalangan ngeri melibatkan lori pasir yang hampir menyebabkan pemandu Myvi kehilangan nyawa masih lagi segar di ingatan orang ramai, pada awal pagi semalam sebuah Lamborghini telah menyebabkan kesesakan teruk di Jalan Tun Razak.

Memetik laporan Harian Metro, sebuah Lamborghini Gallardo yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menghala ke Bulatan Pahang.

Ketika menghampiri di Jalan Tun Razak, pemandu yang memandu laju terkejut ada kesesakan lalu lintas di jalan berkenaan lalu hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kereta termasuk Proton Perdana yang dipandu seorang wanita berusia 53 tahun sehingga terbalik.

Orang ramai yang berada di tempat kejadian membantu mangsa-mangsa yang terlibat dan pada masa sama turut merakam situasi keadaan semasa. Ada salah seorang pengguna jalan raya tersebut sempat berjumpa dengan dua orang pemuda yang berada di dalam Lamborghini ketika kejadian berlaku.

Dalam rakaman video berdurasi hampir 40 saat, lelaki itu menegur kecuaian dua orang pemuda ‘berduit’ tersebut yang memandu dalam keadaan laju sehingga menyebabkan kesusahan kepada orang lain.

“Itulah sedarlah awak, memang awak orang kaya tetapi tengok apa yang berlaku,” kata lelaki yang merakam video tersebut.

Salah seorang daripada mereka dengan pantas menafikan dakwaan kereta tersebut milik mereka, sebaliknya Lamborghini itu merupakan kereta sewa sahaja.

“Tak ini bukan kereta saya, ini kereta sewa,” terang pemuda memakai topi yang merupakan salah seorang yang berada di dalam Lamborghini ketika kemalangan tersebut berlaku.

Kereta Lamborghini langgar kereta Proton Perdana‼️"Sedarlah awak tu kaya, tapi tengok apa yang berlaku"."Ini bukan kereta saya, ini kereta sewa".

Posted by Kisah Rakyat Malaysia on Wednesday, September 8, 2021

Sumber Gambar: WhatsApp

Dalam beberapa tangkap layar perbualan WhatsApp pula, pemilik kepada Lamborghini tersebut menyatakan kedua-dua pemuda tersebut merupakan pekerja bengkel yang menggunakan keretanya untuk pandu uji.

Semasa kejadian berlaku kelajuan kereta dari Itali dikuasakan dengan enjin V10 itu telah mencecah kelajuan 200km/j dan pemandu tersebut mendakwa gagal untuk memperlahankan kenderaan kerana ‘brek tidak makan’.

Dalam perbualan yang lain pula pemilik Lamborghini tersebut meluahkan kekecewaan apabila pekerja bengkel itu mendakwa kereta itu adalah ‘kereta sewa’ semata-mata untuk melepaskan diri selepas kejadian kemalangan tersebut berlaku.

Sumber Gambar: WhatsApp

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata semua pemandu kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu hanya mengalami cedera ringan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pada masa yang sama pemandu kereta Lamborghini tersebut didapati bebas daripada penggunaan terlarang setelah melakukan saringan ujian air kencing dan alkohol.

Sarifudin Mohd Salleh menyatakan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, lapor Harian Metro.

Setelah terselamat daripada kemalangan yang hampir meragut nyawa, pemandu Myvi ini berkongsi situasi semasa kejadian tersebut berlaku. Baca lebih lanjut melalui pautan di bawah.

Pemandu Myvi Kongsikan Keadaan Terkini Selepas Terselamat Daripada Kemalangan Ngeri

Lori Pasir Hilang Kawalan Rempuh Myvi Hingga Remuk Teruk

Anda Mungkin Suka