Minggu lalu, tular di laman Twitter mengenai perkongsian seorang pemandu Grab wanita mengenai pengalaman yang agak menakutkan ketika menghantar beberapa orang penumpang warga asing di sekitar Lembah Klang.

Beliau yang dikenali sebagai Cik JamNa di akaun Twitternya menjelaskan bahawa pada mulanya bercadang untuk menghadiri jemputan rumah terbuka rakannya dan menyedari bahawa beliau mempunyai sedikit masa terluang sebelum menghadiri jemputan tersebut. Beliau kemudian mengambil keputusan untuk membuka aplikasi Grab setelah mengisi minyak.

Beliau kemudian menerima pesanan Grab dari lokasi berhampiran iaitu di sebuah pusat beli belah di Kepong. Setibanya di lokasi, beliau beberapa kali menghubungi individu berkenaan tetapi tidak berjaya. Beberapa ketika kemudian muncul seorang lelaki dan meminta beliau untuk menunggu dua lagi rakannya. Perjalanan dari pusat beli belah tersebut ke destinasi mengambil masa 26 minit.

Kira-kira 17 minit sebelum tiba di destinasi, kereta beliau ditahan oleh polis yang menaiki motosikal dan mengarahkan penumpang turun untuk diperiksa.

Setelah memeriksa para penumpang, polis berkenaan kembali ke kereta dan bertanyakan destinasi yang hendak dituju. Setelah memeriksa penumpang polis tersebut kemudian berjaya menemukan sebilah pisau namun tiada dokumen pengenalan diri atau wang ditemukan. Penumpang tersebut disyaki merancang untuk membunuh atau menyamun pemandu tersebut.

Beliau kemudian diarahkan untuk pergi ke balai polis berdekatan untuk diambil keterangan menegenai kes ini manakala 3 penumpang warga negara asing tersebut turut dibawa ke balai menggunakan kenderaan polis.