Negara Korea Selatan dikenali ramai sebagai ‘negara pembedahan plastik’.

Menurut The Washington Post, 20% daripada keseluruhan wanita Korea Selatan telah menjalani ‘kerja-kerja kosmetik’ untuk menjadikan diri mereka lebih cantik.

Baru-baru ini, kegilaan terhadap kecantikan telah mula menular terhadap haiwan peliharaan, terutamanya anjing. Ramai netizen melahirkan kemarahan terhadap trend ini, kerana jelas haiwan-haiwan ini tidak boleh berkata ‘tidak’, sekiranya mereka tidak bersetuju.

Menurut akhbar Chosun Daily, dalam artikel bertajuk, “Dari Botox Ke Pembedahan Mata… Pembedahan Plastik Terhadap Anjing Semakin Popular”, mereka menulis:

Sebelum dan selepas.
Sebelum dan selepas.

Ini adalah gambar anjing sebelum (kiri) dan selepas (kanan) menerima pembedahan plastik. Prosedur ini dilakukan kerana kelopak mata dalaman menunjuk ke arah dalam. Mata anjing menjadi lebih besar selepas menerima prosedur ini. Terdapat banyak orang yang inginkan prosedur ini dilakukan kerana alasan yang sama.

Akhbar itu menceritakan lagi:

Baru-baru ini, Miss Lim melawat doktor haiwan untuk mendapatkan vaksin kepada anjingnya yang berusia lima bulan. Doktor haiwan tersebut bertanya sama ada beliau mahu anjing beliau menerima ‘pembedahan kosmetik’. Selepas melihat mukanya dengan teliti, doktor haiwan menunjukkan jurang di antara mulutnya dan bertanya, “Tidakkah ia tidak begitu selesa dilihat dari sudut pandang kosmetik?”

Pembedahan plastik untuk haiwan peliharaan sebelum ini bukanlah sesuatu yang baru, tetapi ianya dilakukan atas sebab kesihatan. Menurut Dr. Ann E. Hohenhaus, seorang veterinari di Pusat Kesihatan Haiwan di New York dalam satu wawancara dengan CBS:

Sekiranya terdapat lipatan kulit dialihkan (untuk mengelakkan jangkitan dan pengumpulan bakteria), ianya juga dipanggil pembedahan plastik. Dalam kes (sesetengah jenis) anjing, ia adalah keperluan perubatan.

Menurut Chosun Daily lagi, pembedahan plastik haiwan dijalankan di Korea Selatan atas sebab kosmetik. Menurut seorang veterinar yang tidak mahu dinamakan, berkata:

Pembedahan plastik untuk haiwan kesayangan sebelum ini dijalankan atas sebab perubatan tetapi hasilnya menjadikan anjing kelihatan lebih baik. Ini menyebabkan semakin ramai pelanggan berminat untuk mendapatkan pembedahan plastik atas sebab kosmetik untuk anjing mereka.

Seorang lagi veterinar, Dr. Toon berkata, pembedahan plastik untuk anjing adalah ‘selamat’, dan ia adalah ‘hak pemilik haiwan’ untuk menjadikan haiwan kesayangan mereka lebih cantik.

Pangkasan telinga anjing. Kredit: Next Shark
Pangkasan telinga anjing. Kredit: Next Shark

Di antara prosedur yang dilakukan termasuk, memendekkan ekor, memangkas telinga untuk menjadikannya lebih tajam, menghilangkan kedut, lemak dan tanda regangan, pembedahan kelopak mata, dan juga botox.

Akan tetapi jangan salah sangka. Dalam negara yang mementingkan kecantikan ini, masih ramai yang tidak bersetuju dengan trend yang sedang berlaku. Menurut majalah veterinar Korea Selatan, Daily Vet, majoriti rakyat Korea (63%) berkata, pembedahan kosmetik untuk haiwan kesayangan harus diharamkan.

Kerana yang penting, adalah kasih sayang dan apa yang dirasai di dalam hati daripada dan untuk haiwan peliharaan kita. Bukan apa yang dilihat dengan mata kasar.