Seorang pembida misteri telah membayar sebanyak $28 juta (~RM115 juta) untuk membida tiket pengembaraan ke angkasa lepas bersama pengasas Amazon, Jeff Bezos melalui penerbangan pertama kali membawa manusia menaiki Blue Origin, roket milik billionaire itu yang akan dilancarkan pada bulan hadapan.

Seramai 20 pembida di mana masing-masing berebut untuk membida tiket pelancongan ke angkasa lepas menerusi satu acara lelongan yang bersiaran langsung selama 10 minit pada Sabtu lalu.

Menariknya, pembida yang masih dirahsiakan identitinya itu bukan sahaja ditemani Jeff bahkan adiknya, Mark Bezos juga akan menyertai penerbangan ke angkasa lepas yang dijangka berlepas pada 20 Julai dari kawasan padang pasir di Barat Texas menaiki kapsul ‘New Shepard’.

Ini merupakan percutian paling mahal kerana dijangka penumpang hanya sempat merasai pengalaman zero gravity selama 3 minit menjadikan pengembaraan pergi dan pulang ke angkasa lepas selama 11 minit.

Tambah menarik, New Shepard tanpa pemandu atau autopilot ini akan membawa semua penumpang melihat kawasan di sekeliling garisan ‘Karman’ iaitu kawasan sempadan antara atmosfera bumi dan ruang angkasa lepas, teruja bukan?

“Nama pemenang bidaan dalam acara lelongan itu akan diumumkan dalam beberapa minggu lagi.

“Malah, kru keempat juga individu yang terakhir menyertai penjelajahan ini akan diumumkan. Jangan lupa nantikannya,” tulis ciapan seperti dikongsikan oleh admin akaun Twitter rasmi, Blue Origin.

Untuk rekod, seramai 7,600 orang dari 159 buah negara telah mendaftar untuk membida dalam acara lelongan ini dan hanya 20 orang sahaja disenarai pendek untuk membida tiket pelancongan ini yang dimulakan dengan harga $4.8 juta (RM19.72 juta), lapor The Guardian.

Hasil bidaan yang diperoleh akan disalurkan ke tabung yayasan Blue Origin, Club for the Future yang ditubuhkan dengan satu matlamat iaitu ingin memberi inspirasi kepada generasi muda supaya meneruskan legasi kerjaya dalam pelbagai bidang sains, teknologi dan matematik (STEM).

Jika anda diberi peluang untuk menjelajah ke ruang angkasa lepas bersama Jeff Bezos dan adiknya, adakah anda teruja? Kongsikan luahan anda di ruangan komen Facebook The Vocket.

Jeff Bezos pernah bergelar orang paling kaya di dunia sebelum dipintas Elon Musk pada awal Januari tahun ini. Klik pautan di bawah untuk bacaan lanjut.

Yang Kaya Makin Kaya, Jeff Bezos Sah Jadi Orang Paling Kaya Di Dunia Dengan Nilai RM850 Bilion

Netizen Kurang Senang Jeff Bezos Bakal Menjadi ‘Trillionaire’ Pertama Dunia

Pekerja Amazon Nekad Protes Di Kediaman Jeff Bezos Demi Gaji Tambahan RM8.30