Sepanjang saya kenal mereka. Hampir mustahil untuk melihat mereka berputus asa. Sukar untuk melihat mereka meluah kecewa. Mereka berdua sangat positif. Sentiasa sehati sejiwa berbuat kebajikan dalam banyak perkara.

Namun, sejak beberapa hari ini, segala-galanya seperti berbeza.

Entah mulut busuk dan tangan cabul mana yang mengganggu mereka. Yang pasti, si busuk dan cabul itu pasti tiada manusia dalam hati mereka. Mengintai-ngintai pintu neraka lagaknya.

Nur Farissa Elina

Sudah dua, tiga hari keserabutan bertamu dalam kepala. Saya tidak mahu menghukum tergesa-gesa. Tapi rasanya, tahap kesabaran sudah sampai kemuncaknya.

Tengah hari semalam, selepas melihat ‘facebook live’ rakan saya, Puan Lily Moha dan Tuan Sayuti Wan Chik menghantar adik Afia menaiki tren ke KL untuk pemeriksaan doktor di IJN. Hati saya seperti dicarik-carik melihat merah mata mereka menahan airmata yang cuba diseka.

Walaupun mereka diserang bertubi-tubi di Facebook dalam usaha mengutip dana untuk adik Nur Farissa Elina. Mereka masih sempat membantu adik Afia.

Adik Farissa didiagnos Ventricular Septal Defect (VSD) yang mengakibatkan dia kerap mendapat jangkitan peparu sehingga adakalanya menjejaskan fungsi jantung.

Disebabkan itu, ibu bapanya berusaha untuk mendapatkan rawatan. Dan Sahabat Uwais, NGO Kebajikan yang ditubuhkan Lily dan Sayuti membantu adik Farissa untuk dirawat di Gleneagles Medical Centre (GMC), Pulau Pinang.

Bayi terakhir

Arwah Uwais

Mengapa GMC? Panjang lebar ulasannya di page Sahabat Uwais.

Saya tidak pasti adakah Lily dan Sayuti sudah nekad, tetapi dari status-status semalam, kelihatannya mereka sudah membuat keputusan.

Adik Farissa adalah bayi terakhir yang akan dibantu. Mereka sudah angkat ‘bendera putih’.

Walaupun ditohmah dengan pelbagai fitnah, konon salah guna dana, mendapat sesuatu dari hospital dan ayat-ayat sumbang lain.

Setakat ini, dana Farissa dapat juga mengumpul 37% daripada RM60,000 yang diperlukan, hasil sumbangan rakan-rakan dan insan dermawan yang tetap utuh percaya pada usaha mereka.

Sekarang puas hatilah mereka yang menulis bukan-bukan tentang Sahabat Uwais!

Mesti ‘tangan cabul’ sedang terbahak-bahak menekan perut apabila Lily dan Sayuti membuat keputusan untuk berhenti membantu bayi yang senasib dengan arwah Uwais anak mereka.

Dakyah tangan-tangan cabul yang menyerang mereka bertubi-tubi di media sosial sudah ‘berjaya’!

Jadi, manusia-manusia yang menyorok di belakang skrin sedang berjogetlah ya?!

Saya cuma boleh doa, Tuhan panjangkan umur makhluk Allah ini untuk bertaubat dan minta ampun kepada mereka berdua atas ‘sampah’ yang mereka campak. Saya risau ada yang merangkak mencari di akhirat esok langsung tak dapat berjumpa.

Rakan-rakan saya yang baik, apa sebenarnya yang sedang berlaku kepada Lily dan Sayuti?

Pembulian siber

Inilah yang dinamakan pembulian siber (cyber bullying).

Biar saya cerita fakta dan ‘kisah menarik’ tentang buli siber ini.

Menurut Centers for Disease Contol and Prevention (CDC), US, bunuh diri adalah penyebab ketiga tertinggi yang menjadi punca kematian remaja Amerika Syarikat iaitu dianggarkan 4,400 kematian setiap tahun!

Dan antara punca utama perasaan mahu membunuh diri adalah disebabkan oleh pembuli siber!

Jangan pandang enteng permainan tangan-tangan cabul ini kawan.

Salah satu daripada kisah buli siber yang paling mendapat perhatian di US adalah tragedi yang menimpa Megan Meier.

Megan, seorang anak kecil berumur 13 tahun bergelut dengan penyakit Attenttion Deficit Disorder (ADD) dan mengalami depresi disebabkan masalah berat badan. Jika bersekolah di Malaysia, dia baru tingkatan 1.

Lima minggu sebelum kematian Megan, seorang budak lelaki berumur 16 tahun, Josh Evans (didapati identiti palsu) mahu berkawan dengannya di laman web Myspace.

Sejak itu, mereka mula berhubung dengan kerap secara ‘online’. Sedangkan mereka langsung tidak pernah berjumpa, hatta bercakap dalam telefon sekalipun.

Anda bayangkan betapa gembiranya anak kecil seperti Megan yang sepanjang hidupnya bertarung dengan masalah berat badan dan keyakinan diri yang sangat rendah tiba-tiba mendapat seorang teman lelaki yang sudi berkawan dengannya.

Dan dia mempercayai lelaki itu benar-benar menganggap dirinya seorang perempuan yang cantik.

Mimpi indah Megan tidak lama, pertengahan Oktober, Josh mula menunjukkan bunga-bunga tidak mahu berkawan dengan Megan.

Pada 16 Oktober 2006, Josh menghantar mesej pada Megan yang menggoncang seluruh kepercayaan dan kehidupan Megan dengan katanya,
“Dunia akan lebih baik tanpa orang seperti awak.”

Tanpa perlu menunggu lama, perkara itu tersebar dalam kalangan rakan-rakan Megan di Myspace dan mula menjadi bahan sindiran dan ejekan mereka yang sudah lama mempermainkan fizikal Megan.

Beberapa hari selepas itu, menurut Tina Meier (ibu Megan), Megan masuk ke dalam bilik dan meninggalkan komputer ribanya di ruang tamu dan 20 minit selepas itu, Tina mendapati anaknya sudah menggantung diri dalam almari di dalam bilik.

Megan mati keesokan harinya, 3 minggu sebelum hari lahirnya yang ke-14.

Tragedi ini menggemparkan seluruh US dan banyak artikel ditulis tentang peristiwa yang dianggap salah satu dari kes bunuh diri paling tragis disebabkan oleh pembuli siber.

Pada Disember 2007, Tina Meier menubuhkan Yayasan Megan Meier, badan tidak berasaskan keuntungan untuk menyokong dan menginspirasi aktiviti-aktiviti menghalang gejala buli, pembuli siber dan bunuh diri.

Mereka menjelajah ke seluruh US menceritakan tentang apa yang berlaku kepada Megan dan menyedarkan masyarakat tentang bahayanya pembuli siber.

Tina Meier dan Sahabat Uwais

Arwah Uwais

Perhatikan ini, Tina Meier menubuhkan Yayasan disebabkan anaknya mati dibuli oleh pembuli siber.

Dan, pembuli siber di malaysia berjuang menutup Sahabat Uwais yang membantu anak-anak kecil.

Siapa yang lebih Dajjal?

Sayuti dan Lily memang tidak membunuh diri (Nauzubillah). Saya yakin mereka sangat kuat pegangan Islam. Tetapi Sahabat Uwais akan terkubur tanpa nisan akibat jari cabul pembuli siber.

Dan lebih jauh lagi, mereka sebenarnya membunuh anak-anak yang dengan izin Allah dapat dibantu oleh Sahabat Uwais sekiranya mereka terus beroperasi.

Saya masih bersangka baik, mereka mungkin tidak kenal Lily dan Sayuti.

Arwah Uwais anak Lily dan Sayuti kembali kepada Maha Pencipta pada umur 34 hari.

Asbab itu, mereka menjadikan pemergian Uwais sebagai pemula kepada harapan kehidupan untuk bayi-bayi lain senasib Uwais supaya ibu bapa lain tidak perlu melalui apa yang pernah mereka lalui.

Selepas 3 tahun penubuhan, Sahabat Uwais bukan saja fokus kepada bayi yang kekurangan dana perubatan, mereka juga terlibat dalam pengajuran ‘free market’ di kawasan utara. Antaranya di Masjid Bertam, Pulau Pinang.

Fikir logik, mana ada orang yang ada kepentingan untuk diri sendiri sanggup memandu dari Alor Setar ke KL seorang diri dan berpusing merata tempat sekitar Lembah Kelang untuk mengambil barang-barang yang orang sudi sedekah dan kemudiannya balik semula ke Utara untuk diedarkan kepada mereka yang memerlukan.

Saya tak mampu. Serius angkat tangan!

Setakat ramai orang yang saya kenal, Sahabat Uwais adalah NGO yang benar-benar menyemak (tabayyun) setiap kes dengan terperinci sebelum diuar-uar kepada orang ramai untuk sama-sama menghulurkan bantuan.

Hero Malaysia

Tapi biasalah, Malaysia kan ramai hero dan heroin. Yang duduk atas bangku empuk, guna jari, sedap mengata orang sana sini.

Kawan, jangan pandang sebelah mata mereka yang berjuang hanya dengan ketik-ketik ini.

Mereka telah pun berjaya ‘membunuh jiwa’ dua orang yang berjuang untuk kebajikan anak-anak.

Hari ini, Lily dan Sayuti.

Akan datang, entah siapa pula mangsa pembulian mereka. Entah-entah, saya pula selepas post artikel ini.

Pembuli siber ini sangat keji. Hati-hati.

Anak kita

Anak kita mungkin belum jadi mangsa lagi. Tapi bagi yang memberi anak-anak handphone, jaga-jaga.

Ingat kes Megan Meier ini.

Dari sembang saya dengan Zulfa, topik ‘siapa suka siapa’ adalah kegemaran remaja. Dan ini topik bahan buli dalam Whatsapp atau Insta mereka. Tolong buka mata.

Hari ini, yang sakit bukan anak kita.

Tetapi jika satu hari, ditakdirkan kita diuji seperti keluarga adik Farissa, adakah kita akan duduk diam dan reda dengan kelakuan pejuang sampah di siber ini?

Saya respek Lily dan Sayuti.

Walaupun Sahabat Uwais akan dihentikan. Dana adik Farissa tetap perlu dicukupkan.

Saya cuma nampak satu saja cara untuk melawan pembuli siber ini.

Solidariti

Siapa saja yang ternampak tulisan ini, tekan SHARE dan sebarkan supaya seramai mungkin dapat bersama-sama membantu adik Farissa dan mengetahui kisah Megan Meier.

Satu ‘share’ adalah tanda solidariti untuk Sahabat Uwais.

Buktikan pada pembuli siber, masih ramai orang waras di bumi Malaysia.

Saya mahu cakap pula, “Dunia akan lebih baik tanpa pembuli siber seperti mereka.”

Kita masih mahu insan seperti Lily dan Sayuti.

Jika apa yang saya tulis ini tidak terkesan pada kalian, maafkan saya. Saya juga mungkin perlu berhenti menulis.

Saya akan percaya, Facebook sudah tidak ada orang-orang baik berkumpul. Tiada lagi hati-hati cantik di sini.

Bantu Adik Farissa

Kita bantu Adik Farissa.

1. Tempoh pengumpulan dana:

12 Mei 2017 Jumaat sehingga 22 Mei 2017 Isnin (jam 2300).
Dana Permulaan : RM 3,000.00
Sasaran : RM 60,000.00
Setakat ini (17 Mei 2017): 22,380.00
Baki : RM 37,620.00

2. Sumbangan boleh disalurkan ke akaun berikut:

Pertubuhan Kebajikan Sahabat Uwais
Maybank
5521 7005 9828

3. Sekiranya sahabat semua melakukan transaksi online mohon maklumkan pada deskripsi dan e-mail seperti berikut untuk tujuan pengiraan dana terkumpul:

#danafarissa
[email protected]

4. Transaksi menggunakan ‘Cash Deposit Machine’ (CDM) boleh hantarkan gambar resit ke: +60124400544 (Whatsapp)

Semoga Allah membalas sebaik-baik ganjaran kepada semua penyumbang Dana Farissa.

InsyaAllah, Aamiin.

BudakKripton Fight Cyberbully.

Artikel di atas disumbangkan oleh Ammar Kamilin. Penulis. Boleh ikuti beliau di sini.
0 KOMEN

BACAAN SETERUSNYA

© 2017 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W). Dibuat dengan cinta di Damansara ❤