Nota Editor: Dua hari lepas, perkongsian tentang perkhidmatan pemeriksaan Puspakom di rumah oleh Tuan Mohd Fadly Hashim, seorang peguam dan pelumba kereta, juga dikenali sebagai ‘The Racing Lawyer’, telah menjadi viral dan mengundang sebanyak 9754 shares. Kami telah berpeluang menghubungi Tuan Fadly, dan meminta pandangan beliau tentang perkhidmatan itu. Ikuti penulisan kami di bawah.

Status Tuan Fadly di bawah ini telah mengundang minat orang ramai dan menjadi viral.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Perkhidmatan yang digunakan oleh Tuan Fadly, yang dikenali sebagai Premier Mobile Inspection oleh Puspakom ini telah lama berada di pasaran, namun ramai yang tidak mengetahuinya. Seperti ramai yang sedia maklum, tidak ramai yang menggemari proses yang lama di Puspakom, maka perkhidmatan ini merupakan alternatif, selain daripada terpaksa pergi ke pusat Puspakom sendiri atau menggunakan runner. Dengan menelefon 1-800-222-210, anda sudah berpeluang menempah satu slot pemeriksaan selama 30 minit.

Perkhidmatan ini hanya tertakluk untuk pemeriksaan tukar nama dan nombor plet. Pemeriksaan khas seperti penukaran enjin masih memerlukan pemilik mengunjungi pusat pemeriksaan Puspakom.

Semasa pemeriksaan, geran asal dan satu salinan wajib disediakan untuk kakitangan Puspakom. Pemilik dan pembeli kenderaan tidak perlu berada di rumah atau tempat pemeriksaan, malah anda boleh meminta wakil menguruskan proses pemeriksaan, dengan syarat dua dokumen tersebut disediakan dengan lengkap. Selepas pemeriksaan, cukup sekadar pemilik dan pembeli pergi ke JPJ untuk urusan cop jari.

Pemeriksa akan memeriksa sama ada kenderaan itu berada dalam keadaan baik – nombor enjin, nombor chassis, tint cermin, bahagian atas, bahagian bawah, dan bahagian badan bersambung atau tidak. Cas yang digunakan untuk pemeriksaan tukar nama adalah sebanyak RM137.50. Perkhidmatan ini lebih mahal berbanding pergi sendiri ke pusat Puspakom, tetapi berbaloi buat mereka yang sentiasa sibuk.

Tuan Fadly telah mendapatkan perkhidmatan Puspakom bergerak ini dengan tujuan mendapatkan pemeriksaan demi urusan jual beli kereta Honda beliau.

Berikut adalah temu bual kami dengan beliau:

1. Bagaimana Tuan mengetahui tentang perkhidmatan Puspakom ini?

Saya mengetahui perkhidmatan ini melalui mekanik saya.

2. Apakah harapan Tuan kepada perkhidmatan Puspakom sebelum menggunakannya?

Harapan saya adalah perkhidmatan ini boleh mempermudahkan urusan tukar milik kereta yang saya beli tanpa perlu mengguna pihak ketiga dan tanpa perlu pergi ke Pusat Puspakom.

3. Pada tarikh bilakah Tuan menggunakan perkhidmatan mereka, dan berapa lamakah proses yang diambil untuk pemeriksaan?

Saya guna perkhidmatan mereka pada 29/6/2015 dan proses pemeriksaan hanya mengambil masa selama 30 sehingga mendapat Sijil Tukar Milik pada masa itu juga.

4. Adakah mereka sampai on time?

Ya.

5. Bagaimanakah layanan pekerja Puspakom kepada Tuan?

Layanan yang diberikan memang terbaik dan mesra pelanggan.

6. Adakah Tuan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan. Apakah perkara-perkara yang Tuan mahu kongsi tentang perkhidmatan mereka?

Saya amat berpuas hati dengan perkhidmatan mereka. Saya dimaklumkan bahawa perkhidmatan ini telah wujud sejak tahun 2010 atau 2011 namun disebabkan kurang publisiti maka ramai orang tak tahu. Bagi urusan tukar milik kereta yang dibeli secara tunai, bagi kereta lama, yang cukai jalan mati, perkhidmatan ini amat terbaik. Kita hanya tunggu di rumah sahaja malah kita boleh wakilkan sesiapa untuk tunggu di rumah. Sesuai bagi orang yang sibuk macam saya.

7. Adakah Tuan akan mengesyorkan perkhidmatan mereka kepada orang lain?

Sudah semestinya saya syorkan kepada orang lain.

Dan berikut adalah cara-cara untuk menggunakan perkhidmatan ini:

Anda boleh layari laman web Puspakom untuk maklumat lanjut di sini.

Menurut orang ramai, nombor telefon toll-free di atas lambat diangkat, dan ada yang terpaksa mendail berkali-kali. Tetapi setelah diangkat, perkhidmatannya memang berbaloi. Semoga pihak Puspakom mengambil inisiatif untuk memperbaiki kelemahan ini.

Kami pun tidak sabar untuk menggunakan kemudahan ini – apabila ada keperluan, pada masa hadapan.

Tonton: Lykan Hypersport Sertai Barisan Kereta Supercar Polis Abu Dhabi

BACA Juga: Rupanya Kerana Kecewa Dengan Ferrari, Lamborghini Cipta Kereta Sendiri

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram