Pada bulan Jun tahun lalu, kedua-dua jenama besar Itali iaitu Christian Dior dan Vespa mengumumkan mereka telah bekerjasama untuk menghasilkan skuter edisi terhad yang dikenali sebagai ‘Vespa 946 Dior’.

Vespa edisi terhad tersebut turut hadir dengan beberapa aksesori tambahan yang dijual berasingan seperti topi keledar dan juga kotak kargo dipenuhi dengan corak seni yang sama pada tempat duduk vespa tersebut.

Oleh kerana vespa tersebut merupakan keluaran rare dan eksklusif, ada seorang pemuda berbakat dari Terengganu yang dikenali sebagai Zameer Pentbrush telah mengambil inspirasi daripada ‘Vespa 946 Dior’ itu untuk membuat sebuah vespa sendiri yang dinamakan sebagai ‘Ghapoor Dior’.

Menurut beliau, idea untuk membuat ‘Ghapoor Dior’ itu timbul apabila nama ‘Vespa Dior’ tular menjadi bualan orang ramai pada baru-baru ini. Proses untuk menyiapkan ‘Ghapoor Dior’ ini cuma mengambil masa tiga hari sahaja.

“Walaupun tempoh diambil sangat singkat, namun untuk mendapatkan kombinasi warna yang sepadan dengan warna pada versi asal menjadi satu cabaran buat saya,” terang beliau apabila diminta berkongsi lanjut proses pembuatan vespa ini.

Zameer menyatakan beliau telah menggunakan model Honda Julio 50cc yang sangat sukar dan terhad untuk didapatkan di pasaran Malaysia. Jadi ada rakan beliau telah membantunya bagi mendapatkan motosikal tersebut dari Jepun secara lelong sebelum dihantar ke sini.

Apa bila ditanya kepada Zameer, apakah maksud di sebalik ‘Ghapoor Dior’ itu? Beliau menerangkan perkataan tersebut diambil daripada dialek Kelantan — ‘Ghapoor’ atau ‘Gapo’ bermaksud ‘Apa’, manakala ‘Dior’ pula simbolik kepada ‘Dia’. Jadi gabungan kedua-dua perkataan ‘Ghapoor Dior’ membawa maksud ‘Apa Dia’.

Untuk makluman semua, Rozamil Yatim atau lebih dikenali sebagai ‘Zameer Pentbrush’ sudah berkecimpung dalam bidang lukisan airbrush ini sejak tahun 2015 lagi. Beliau telah menerima banyak tempahan untuk membuat pelbagai rekaan lukisan airbrush pada topi keledar dan motosikal pelanggannya.

Ustaz Azhar Idrus dan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob merupakan antara individu yang pernah memiliki hasil seni kreatif Zameer ini.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada orang ramai yang tidak putus-putus memberikan sokongan sehingga ke hari ini. Dan saya turut berjanji akan berusaha untuk terus buat yang terbaik dalam kerjaya saya untuk semua,” kata Zameer sebelum mengakhiri temu ramah bersama The Vocket.

Baca lebih lanjut mengenai model ‘Vespa 946 Dior’ yang dikeluarkan khas pada tahun lalu melalui pautan di bawah.

Dior Dan Vespa Jalin Kerjasama Hasilkan Model 946 Edisi Terhad

Dior Perkenalkan Aksesori Bekas AirPods Dengan Harga RM1,649

Sumber