Angkara penularan wabak COVID-19 ketika ini, banyak sektor pekerjaan terjejas teruk termasuk pemilik taman haiwan atau zoo yang kini diambang muflis berikutan kurangnya pengunjung yang datang untuk menjana pendapatan. Namun begitu ada pemilik zoo yang sanggup menipu pengunjungnya asalkan mereka mendapat wang yang lumayan.

Situasi sebegini juga berlaku di Zoo Xiangwushan di China apabila tular satu video di media sosial Baidu yang memaparkan seekor anjing berbaka rottweiler dikurung oleh pihak zoo di dalam sebuah sangkar serigala demi menyakinkan pengunjung bahawa anjing tersebut benar-benar seekor serigala, lapor halaman BBC.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Video tersebut dirakamkan oleh Mr.Xu, salah seorang pengunjung yang datang ke zoo berkenaan. “Woof! Adakah ini serigala?,” ujar Mr.Xu dalam video pendek yang dirakamkannya itu.

Video tersebut kemudiannya tular dan menjadi perbualan jenaka oleh netizen selepas ada yang menganggap bahawa orang China tidak tahu membezakan antara anjing dan serigala. Namun, ada juga yang terfikir berkemungkinan pihak zoo mengalami masalah kewangan untuk penyelenggaraan zoo sehingga terpaksa menjadikan anjing sebagai pengganti serigala.

Bagi mendapatkan kepastian perkara sebenar, Mr.Xu telah bertanya kepada salah seorang pekerja zoo tersebut mengenai mengapa anjing itu terkurung di dalam sangkar serigala.

“Pekerja zoo itu berkata, sebelum ini memang ada serigala di dalam sangkar itu namun telah mati disebabkan ‘sakit tua’,” kata Mr.Xu kepada Beijing News.

Berdasarkan halaman Global Times, demi menutup malu, pemilik zoo telah menjelaskan kepada media tempatan bahawa anjing tersebut hanya dijadikan sebagai anjing penjaga kawasan dan dikurung untuk sementara waktu memandangkan sangkar serigala itu masih kosong.

Pemilik zoo itu juga memberikan sedikit gambaran bahawa zoo berkenaan kini menghadapai masalah kewangan memandangkan kurangnya kehadiran pengunjung ke situ.

Namun begitu, ada pengunjung yang mendakwa mereka ditipu oleh pihak zoo berkenaan. Mereka diberitahu bahawa mereka akan melihat aksi haiwan seperti harimau, singa termasuk serigala di zoo berkenaan. Sayangnya, ‘indah khabar daripada rupa’ dan realitinya bukan serigala yang dipamerkan tetapi hanya seekor anjing ‘rottweiler’, lapor halaman DailyStar.

“Kalau terdesak mahu menggantikan serigala yang telah mati, sekurang-kurangnya belilah anjing baka husky biarpun anjing namun ia tetap menyakinkan pengunjung bahawa ia serigala,” reaksi komen beberapa orang pengguna media sosial Baidu terhadap video tersebut.

Difahamkan, zoo ini mengenakan bayaran sebanyak 15 yuan (RM9.50) untuk setiap pengunjung. Berikutan kurangnya pengunjung, rata-rata netizen berkata lebih baik tutup sahaja zoo ini daripada terus melakukan penipuan. Siapakah yang bersalah dalam hal ini? Walau bagaimanapun, kes ini masih lagi dalam siasatan pihak biro perhutanan tempatan.

Zoo Negara dikatakan hanya mampu bertahan hingga April ini. Baca lagi menerusi pautan di bawah.

‘Merayu Dibenar Beroperasi Jika PKP Berlanjutan’- Zoo Negara Hanya Mampu Bertahan Hingga April Ini

Bukan Setakat Manusia, Haiwan Di Zoo Negara Juga Dapat Bantuan Ustaz Ebit Liew

Zoo Negara Kini Tawar Tiket Masuk Percuma Bermula Hari Ini Pasti Buat Anda Teruja

Sumber