Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed tampil mempertahankan bonus RM10,000 yang diberikan kepada Ahli Lembaga Pengarah Air Kelantan Sdn Bhd. Katanya, bayaran tersebut setimpal dengan usaha dan hasil kerja mereka.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook PAS Pusat, Kamal berkata bayaran tersebut adalah untuk menghargai kerja-kerja mereka dalam memerah minda dan membuat keputusan dasar.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

“Kedua adalah menjadi prosedur biasa saguhati setahun sekali diberikan kepada ahli lembaga pengarah sebagai menghargai kerja-kerja memerah minda dalam memberikan pandangan dan keputusan-keputusan dasar kepada pihak Pengurusan. Lagi pula sebahagian besar lantikan ahli lembaga pengarah iaitu 7 daripada 9 orang adalah anggota yang profesional dalam aspek pengurusan dan Teknikal air yang tiada apa-apa jawatan dalam parti,” katanya.

Selain itu, beliau turut menjawab dakwaan beberapa pihak yang mendakwa bahawa bayaran bonus yang diberikan kepada kakitangan AKSB tidak setimpal adalah tidak benar kerana pihak AKSB telah mengambil langkah proaktif dalam menjaga kebajikan pekerja bagi menghadapi hari raya seperti penjawat awam yang lain.

Tambah Kamal lagi, adalah tidak wajar dokumen yang dianggap sulit itu disebarkan secara meluas di media sosial oleh pihak-pihak tertentu dan dia menyeru agar sebuah siasatan dilakukan oleh AKSB untuk menyiasat bagaimana dokumen sulit ini boleh sampai ke tangan netizen.

“Saya masih optimis dengan tatakelola yang baik bukan sahaja menjauhi rasuah tetapi juga melibatkan soal integriti termasuk tindakan perut pedal hodoh mereka yang berniat jahat mendedahkan sesuatu yang secara pentadbirannya biasa diamalkan.

“Tinggal lagi saya mohon mencadangkan agar AKSB boleh menyiasat kebocoran dokumen sulit dalam kalangan kakitangan dan membawa orang yang wewenang mencanangkan prosedur dalaman kepada hebahan awam dengan niat secara tidak baik kepada pihak pengadilan. Dokumen Sulit itu adalah dokumen yang dikelaskan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972,” katanya.

Terdahulu tular sebuah surat dimana semua ahli lembaga Air Kelantan bakal mendapat durian runtuh bernilai RM10,000 sebagai sagu hati Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Surat yang dikeluarkan pada tahun ini dengan logo rasmi Air Kelantan terpampang di bahagian atas menyebut bahawa Pengarah-Pengarah Air Kelantan Sdn Bhd bersetuju untuk meluluskan pemberian saguhati bernilai RM10,000 kepada setiap Ahli Lembaga Pengarah Syarikat (senarai ALP Air Kelantan di sini), pemberian saguhati sebanyak RM200 kepada kakitangan dan pemberian saguhati sebanyak RM2,000 kepada Setiausaha Syarikat.

Persoalan yang timbul oleh masyarakat Malaysia adalah kewajaran Ahli Lembaga Pengarah Air Kelantan untuk menerima bonus bernilai RM10,000 sedangkan masalah air di sana masih belum diselesaikan dan kenapa kakitangan syarikat hanya dapat merasa bonus RM200 sedangkan Ahli Lembaga Syarikat mendapat duriah runtuh berlipat ganda?

Kebanyakan netizen memberi reaksi yang pelbagai dengan kebanyakan mereka menyuarakan rasa tidak puas hati dengan perolehan bonus ini. Sebahagian lagi meminta agar pihak yang bertanggungjawab lebih peka dengan isu semasa.