Rakyat Malaysia ketika ini masih lagi dalam kebimbangan berikutan penularan wabak COVID-19 yang semakin hari makin meningkat bilangan orang yang terkena jangkitan dan juga angka kematian turut meningkat.

Terbaharu, penduduk 2 buah kampung iaitu Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Johor telah diarahkan untuk ‘berkurung’ di rumah dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) telah dilaksanakan pada 26 Mac 2020, jam 12 tengah malam.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan berikutan 61 penduduk di kampung tersebut telah disahkan positif COVID-19. Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tindakan tersebut dilaksanakan atas nasihat Menteri Kesihatan berikutan jumlah jangkitan positif COVID-19 yang tinggi di daerah Kluang.

Difahamkan, perintah tersebut akan berkuatkuasa pada 27 Mac 2020 sehingga 9 April 2020. Tindakan yang diambil ini bertujuan untuk membendung jangkitan COVID-19 daripada menular keluar dari kawasan tersebut. Perintah PKPD membabitkan 3,570 orang penduduk tempatan terdiri daripada 650 keluarga.

Berikutan itu, penduduk dan pelawat yang berada di kawasan tersebut tidak dibenarkan keluar sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan. Manakala anda yang bukan penduduk tempatan dan juga pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut.

Selain itu, kesemua aktiviti perniagaan akan dihentikan. Malah, makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk tempatan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Pangkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPD dan kesemua laluan masuk ke kawasan tersebut akan ditutup. Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan.

Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 07-7735224 / 07-7722434. Diharap penularan wabak tersebut dapat dibendung dan penduduk di sana akan kekal tenang dan mematuhi segala arahan yang telah dikeluarkan.

Apa kata anda ikuti perkembangan tentang penularan wabak COVID-19 ini di The Vocket pada pautan di bawah ini.

7 Petugas Istana Negara Positif COVID-19

Lelaki Ini Kongsikan Pengalaman Dijangkiti COVID-19 Buatkan Dirinya Kenal Erti Syukur

Gaji Jemaah Menteri Dipotong Dua Bulan Untuk Tabung COVID-19