Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) melaporkan sebanyak RM28.5 juta bil air gagal dijelaskan oleh penduduk negeri tersebut setakat 30 September lepas, lapor Sinar Harian.

Perkara ini dijawab oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Azami Mohd Nor ketika ditanya oleh Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) mengenai jumlah tunggakan bil pengguna AKSB dan penyebab kepada tunggakan tersebut berlaku pada Persidangan DUN Kelantan di Kota Darulnaim.

Baca Juga:

Beliau berkata bahawa faktor utama tunggakan ini adalah daripada pengguna domestik yang masih tinggi berjumlah RM18.4 juta dan kutipan sedikit perlahan kerana pengguna masih dalam peringkat pemulihan pasca COVID-19.

“Tunggakan bil pengguna (aktif) AKSB hingga 30 Sept 2022 adalah RM28,543,688 dan ia telah jauh berkurangan berbanding dengan akhir 2021 (31 Dis 2021) yang berjumlah RM33,212,268,” katanya sambil menambah bahawa AKSB kini sedang menjalankan aktiviti penguatkuasaan kutipan secara berterusan di seluruh jajahan terutama yang tiada masalah bekalan air bersih pada tahun ini dan menyediakan pelbagai medium kutipan termasuk melalui bank dan ejen kutipan.

Untuk rekod, Kelantan terkenal dengan isu air yang didakwa sebahagian penduduk negeri itu tidak bersih atau berwarna seperti ‘teh ais’. Perkara ini turut pernah diulas Menteri Air dan Alam Sekitar sebelum ini iaitu Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendakwa bahawa kelemahan tadbir urus dan kedudukan kewangan AKSB yang tidak mampan.

Selain AKSB, kerajaan negeri juga sering menerima kritikan pedas dari penduduk negeri berhubung isu-isu air di negeri itu, termasuk gangguan bekalan serta kualiti air yang dialami sejak sekian lama. Kerajaan Kelantan sebelum ini juga memohon geran bernilai RM1.3 bilion daripada kerajaan pusat bagi menyelesaikan permasalahan dihadapi khusus melibatkan pertukaran paip lama.