Menurut kajian pakar ukur tanah, Kelantan yang kini mempunyai lebih 2 juta penduduk mungkin akan tenggelam disebabkan penggunaan air bawah tanah. Walaupun situasi ini tidak jelas dengan mata kasar, namun perubahan tanah yang disebabkan oleh pengambilan air boleh memberi kesan buruk kepada negeri tersebut, kata Dr Yong Chien Zheng dalam kajian terbaharunya.

Ketika ditemubual oleh The Star, beliau berkata bahawa kajiannya mengenai pergerakan tanah di negeri itu telah menemui bukti bahawa sebahagian tanah di Kelantan tenggelam sehingga 4.22mm setahun. Kajian yang diterbitkan pada 2018 itu mengkaji kesan tanah akibat daripada pengambilan air bawah tanah.

Baca Juga:

“Kadar pengurangan semasa di Kelantan adalah sama seperti Jakarta sebelum 1970-an. Permintaan yang semakin meningkat untuk air bawah tanah (di Jakarta) mendorong pengambilan air bawah tanah secara besar-besaran yang membawa kepada peningkatan kadar tenggelam,” kata pensyarah tersebut yang kini bertugas di Universiti Otago, New Zealand.

“Akibatnya, kira-kira 40% Jakarta kini berada di bawah paras laut. Kami tidak mahu apa yang berlaku di Jakarta akan berlaku di sini, sebab itu saya menerbitkan kertas kajian saya, dengan harapan ia akan memberi amaran kepada kerajaan negeri tentang penggunaan air bawah tanah,” Dr Yong dipetik oleh Star.

Menurut The Star, kebanyakan rakyat Kelantan telah beralih kepada cara tradisional dengan mengambil air bawah tanah atau “air boring” seperti yang dipanggil oleh penduduk tempatan. “Boring” adalah proses penggerudian yang membolehkan mereka mendapat air bawah tanah. Hal ini berlaku disebabkan kualiti air yang diberikan sering tidak mencapai tahap yang selamat.

Yong berkata, kajiannya yang dijalankan berdasarkan data GPS (Global Positioning System) selama 17 tahun di 11 lokasi berbeza mendapati Kuala Krai menerima perubahan tanah paling besar dengan kadar penurunan tanah tertinggi iaitu 4.22mm setahun.

“Lapan daripada 11 stesen telah reda dan hasil kajian saya adalah serupa dengan penyelidikan tempatan lain (oleh Prof Madya Ami Hassan Din dari Universiti Teknologi Malaysia pada 2015) yang menggunakan teknik berbeza,” katanya sambil menambah bahawa beliau menggunakan data daripada 1999 hingga 2016.