Baru-baru ini beberapa orang rakan berkesempatan ke Ginzan Onsen yang terletak di Yamagata. Jarak perjalanan dari Sendai ke sana hampir 1 jam 50 minit.

Apabila melihat gambar pemandangan dan keunikan di Ginzan Onsen, mengingatkan saya semula kisah Oshin (おしん) yang diadaptasi daripada kisah benar wanita kental bernama Katsu Wada yang berasal dari Yamagata.

Oshin merupakan biografi dan kisah hidup perjuangan Katsu Wada yang berasal daripada keluarga miskin sehingga berjaya membuka pasaraya runcit moden dan terbesar suatu ketika dahulu yang dikenali sebagai Yaohan.

Ironinya, Yaohan yang pernah bertapak di Singapura, China, Hong Kong, Brazil, USA dan juga Malaysia telah mengalami bankrup terbesar dalam sejarah Jepun kesan daripada kemelesatan ekonomi Asia pada tahun 1997.

Drama bersiri berdurasi 15 minit dan sebanyak 297 episod serta disiarkan pertama kali oleh stesyen televisyen Nippon Hōsō Kyōkai (NHK) pada 4 April 1983 selama hampir 1 tahun sehingga 31 Mac 1984.

Drama Oshin telah memberikan sentuhan dan kesan mendalam kepada penonton hampir 59 negara termasuk Malaysia.

Terdapat 4 pengajaran utama daripada kisah Oshin ini:

1. Kepayahan Mengajar Erti Hidup

Ada orang melihat kepayahan hidup sebagai sumber kekuatan.

Kisah Oshin yang bermula daripada kisah anak kecil ini. Hampir setahun pihak NHK menayangkan drama Oshin di Jepun. (Sumber gambar: eigapedia.com)
Kisah Oshin yang bermula daripada kisah anak kecil ini. Hampir setahun pihak NHK menayangkan drama Oshin di Jepun. (Eigapedia.com)

Ada juga yang melihat kepayahan dan kesukaran sebagai alasan untuk menyalahkan orang atau pihak lain. Umumnya, hanya mereka yang kurang dan ‘miskin alasan’ akan dapat keluar daripada kemiskinan dan kesukaran.

2. Hidup ada mehnah dan tribulasi

Setiap individu akan menghadapi cabaran mehnah dan tribulasi yang berbeza.

Watak Oshin yang pernah mendapat tempat di hati peminat cerita Jepun di Malaysia suatu ketika dulu. (Sumber gambar: youtube.com)
Watak Oshin yang pernah mendapat tempat di hati peminat cerita Jepun di Malaysia suatu ketika dulu. (Youtube.com)

Ada kala kita terlupa bahawa orang yang senang atau berada juga hidup mereka diuji. Teringat pesanan guru saya, hidup diuji di kala tiada lebih mudah, berbanding kita diuji di kala ada atau berada.

3. Realiti vs Fantasi

Cerita Oshin ini sangat memberikan makna dan kesan yang mendalam bukan sahaja kerana keunikan budaya Jepun yang digarap dalam cerita ini. Tetapi, jalan cerita yang lebih realiti dan berpijak di bumi nyata.

Dikatakan Ginzan Onsen kelihatan lebih cantik apabila musim sejuk dan pada waktu malam. (FB Marhamah Sapandi)
Dikatakan Ginzan Onsen kelihatan lebih cantik apabila musim sejuk dan pada waktu malam. (FB Marhamah Sapandi)

Oshin bukannya kisah fantasi gadis yang bertemu jodoh keluarga berada atau kisah warisi harta mengubah kehidupan sepertimana yang sarat dalam cerita dan drama Melayu.

Kisah realiti seperti inilah yang menjadi pembakar semangat buat ramai orang yang dahagakan kisah inspirasi untuk bangkit semula menuju destinasi yang dinamakan kejayaan. Atas sebab itu, kurangkan berfantasi dan berpijaklah di bumi realiti!

4. Belajar Daripada Kegagalan

Setelah puluhan tahun, waris atau anak lelaki Katsu Wada yang kini berusia 87 tahun bangkit semula mengusahakan empayar bisnes online atas nama Kazuo Wada.

Iklan pengambilan pekerja bagi Yoahan di Singapura. (Sumber gambar: remembersingapore.org)
Iklan pengambilan pekerja bagi Yoahan di Singapura. (Remembersingapore.org)

Beliau selalu ingat kata-kata ibunya Katsu Wada (Oshin) yang selalu berpesan:

“KEGAGALAN banyak mengajar erti KEJAYAAN. Jadikan KEGAGALAN sebagai pemangkin untuk bangkit semula menghasilkan KEJAYAAN yang lebih besar.”

Atas sebab itu, benarlah apa yang dikata bahawa KEGAGALAN hakiki apabila kita GAGAL untuk bangkit semula daripada KEGAGALAN. Sedarilah bahawa gagal itu suatu perkara yang biasa, tetapi bangkit daripada kegagalan itu barulah luar biasa.

Manakala, KEJAYAAN sebenar pula bukanlah terletak kepada betapa pantas dan cepatnya anda berjaya. Tetapi KEJAYAAN hakiki dilihat betapa pantas untuk kita bangkit semula daripada KEGAGALAN.

Sekadar perkongsian dari kejauhan.

Sayonara! Sampai jumpa lagi.