“Pengakhiran yang menyedihkan,” itu kata-kata salah seorang netizen apabila membaca status seorang lelaki yang pada mulanya memuji sistem kesihatan di Malaysia, tetapi di bahagian akhirnya, dia kehilangan seseorang yang beliau sayang.

Aysha Ridzuan, seorang pemengaruh media sosial berkongsi sebuah status seorang lelaki rakyat Malaysia yang berkahwin dengan seorang wanita warga asing di laman Twitter miliknya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Semalam seorang lelaki warga Malaysia bersama isteri warga asing berkongsi pengalaman isterinya menerima rawatan di hospital kerajaan selepas kemalangan jalan raya,” katanya sambil menyatakan bahawa status ini adalah tidak disangka akan menitipkan mesej akhir yang menyedihkan.

Di dalam status tersebut, lelaki tersebut berkongsi kisah kemalangan mereka pada 19 Februari yang lalu di Lebuhraya Senai Desaru. Isterinya difahamkan telah mengalami luka yang parah dan dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, di mana dia menghabiskan 31 hari di hospital berkenaan.

“Kos hospital hanya RM906. Kos implan mahal, hampir RM13k. Tetapi ingatlah, istilah Malaysia itu penting. Kos akan menjadi sangat tinggi [jika anda bukan rakyat Malaysia].

“Dalam keadaan yang mengancam nyawa, mereka akan merawat anda secepat mungkin. Hanya perkara seperti pembedahan lanjut dan implan, mereka menunggu untuk menyemak status dan kewangan anda,” katanya.

Dia menambah bahawa apa yang perlu dipamerkan hanyalah sijil nikah di Malaysia dan dia bernasib baik kerana semuanya sudah disimpan melalui emel. Jadi proses untuk isterinya mendapat rawatan menjadi sangat mudah.

“Penjagaan kesihatan di Malaysia sememangnya menakjubkan dan murah. Ya, perkhidmatan kesihatan mungkin lambat dan sumber mungkin kurang tetapi pada masa kesukaran tidak dapat dinafikan kebaikannya,” katanya.

Pemilik status tersebut kemudiannya menghabiskan kenyataannya dengan berkongsi berita malang bahawa kemalangan yang berlaku tersebut telah meragut nyawa anak lelaki mereka.

“Malangnya juga, kami kehilangan anak lelaki tunggal kami dalam kemalangan itu. Dia dikebumikan di Johor. Semoga dia tenang. Al-Fatihah untuk anak tersayang,” katanya.

Perkongsian terbabit telah menyebabkan kejutan buat sebahagian netizen yang membaca status lelaki berkenaan. Kebanyakan mereka menitipkan doa kepada arwah anaknya.