Serangan jantung: sniper dalam dada anda sendiri, membunuh tanpa disedari.

“How are you Doctor?” Dato’ Dr Balachandran bertanya kepadaku sambil tersenyum. Tutur kata beliau begitu lembut dan menenangkan. Beliau adalah Pakar Perunding Kardiologi yang merawatku di IJN tempohari.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“I’m anxious Dato,” aku berterus terang. Aku terbaring di atas meja pembedahan yang sejuk berpakaian gown berwarna kuning cair. Tangan kananku telah diikat ke armboard dengan tape cokelat.

“Yes I know. Usually you’re the one who put people on the operating table kan? And now I put you on the table…” katanya mengusik.

“Don’t worry, you’ll be just fine,” katanya lagi sambil memeriksa nadi di tangan kananku, melakukan Allen Test bagi melihat dominan arterial supply.

Prosedur Angiogram

Saya telah melalui Prosedur Angiogram pada hari Khamis yang lalu. Ia adalah pengalaman yang tak dapat saya lupakan. Saya nak share pengalaman tersebut agar ia memberi manfaat buat pembaca semua.

Angiogram ialah satu prosedur bagi melihat samada salur darah koronari kita tersumbat atau tidak. Salur darah koronari ialah salur darah yang membekalkan oksigen kepada otot jantung kita.

Jika ia tersumbat, bekalan darah (oksigen) ke otot jantung akan kurang/terhenti (ishaemia) dan otot jantung kita akan mati. maka kita akan mendapat serangan jantung (Myocardial Infarction).

Mula-mula bius setempat akan diberi di tempat salur tiub halus (angiocath) akan dimasukkan. Ini yang paling sakit sebenarnya. Sampai keras kejung kaki saya menahan sakit. Lepas tu dah tak rasa apa-apa dah.

Angiocath ini akan dimasukkan samada dari tebukan salur darah Radial artery di pergelangan tangan atau Femoral artery di kelangkang (dalam kes saya melalui Radial artery).

Angiocath ini kemudiannya akan ditolak perlahan-lahan hingga sampai ke salur darah koronari. Dye (contrast) kemudiannya akan dimasukkan bagi melihat samada salur darah koronari ini tersumbat atau tidak.

Jika ada salur darah yang tersumbat, Pakar Kardiologi mempunyai pilihan samada untuk merawat dengan ubat-ubatan atau memasukkan balloon dan/atau stent bergantung kepada tahap salur darah tersumbat (Pilihan ini biasanya akan dibuat setelah berbincang dengan pesakit).

Harus diingat, setiap prosedur atau pembedahan pasti ada risikonya. Pelbagai perkara boleh berlaku ketika angiogram dilakukan.

Risiko Prosedur Angiogram

Antara risiko yang boleh terjadi semasa prosedur ini ialah:

1. Pendarahan pada tempat tebukan arteri
2. Salur darah boleh tembus/terkoyak
3. Jangkitan kuman
4. Alahan kepada dye
5. Kerosakan buah pinggang
6. Strok
7. Serangan jantung
8. Kematian

Risiko kematian tetap ada walaupun kurang daripada 1 peratus. Tika anda terbaring di atas katil pembedahan dan mengetahui dye akan dimasukkan sebentar lagi, anda akan sedar bahawa betapa sikitnya amalan anda selama ini dan betapa banyaknya dosa anda. Sedangkan anda belum sempat bertaubat. Ia membuatkan saya benar-benar insaf.

Serangan jantung boleh datang secara tiba-tiba. Apatah lagi dengan cara hidup kita hari ini yang makan sesuka hati dan malas beriadah. Kalau yang merokok tu lagi la tak sayang nyawa.

Kini ia tidak mengenal usia. Ramai pemuda-pemudi berusia 20-an dan 30-an yang mendapat serangan jantung kini, petugas kesihatan juga tidak terkecuali.

Sebabnya? Lihat diri kita sendiri. Macam mana kita makan setiap hari, melantak tidak sedarkan diri. Bersenam pula malas. Naik tangga setingkat pun malas. Parking kereta pun sedekat yang boleh dengan kedai atau surau yang di tuju.

Dengan kata lain, kalaulah boleh parking sampai dalam kedai, pasti kita masuk terus ke dalam… (exaggerate sikit…)

Orang Yang Berisiko Kena Serangan Jantung

Antara yang lebih berisiko untuk mendapat serangan jantung ialah:

1. Perokok
2. Penghidap darah tinggi
3. Penghidap kencing manis
4. Kolesterol yang tinggi
5. Obes
6. Tekanan hidup / Stress

Saya tidak mahu mengambil risiko serangan jantung secara mengejut memandangkan kini begitu banyak serangan jantung berlaku di kalangan masyarakat yang masih muda.

Alhamdulillah angiogram saya tempohari adalah normal dengan semua salur darah yang sihat. Saya sertakan video angiogram saya agar anda dapat lihat sendiri. Syukur sangat.

Cuba anda pandang wajah isteri anda. Anda renung wajah setiap anak anda. Dengar suara manja dan rengekan mereka. Sayangi diri anda. Fikirkan isteri dan anak-anak anda. Berhentilah merokok. Jaga pemakanan dan bersenamlah secara berkala.

Simptom Serangan Jantung

Antara simptom masalah/serangan jantung ialah:

1. Sakit dada seumpama ditindih objek berat
2. Sakit dada yang menjalar ke rahang atau tangan kiri
3. Kesukaran bernafas
4. Tidak puas bernafas
5. Mengah
6. Rasa loya / muntah
7. Berpeluh-peluh

Namun, ada masanya masalah jantung ini tidak memberi sebarang petanda awal. Terus dapat serangan jantung mengejut dan lebih malang lagi, ada yang terus meninggal dunia. Sebab itulah, apabila saya merasa ketidakselesaan pada dada kiri saya tempohari, saya tidak berlengah untuk ke hospital.

“Do you play sport Doctor?” Tiba-tiba Dato Dr Balachandran memecah lamunanku.

“I jog sometimes and do indoor cycling Dato. Why Dato?”

“Well, look at this. Your heart is absolutely healthy. It’s pumping well. Your coronary vessels are all looking great Doctor. I will not expect to see you here again in 30 years time!”

AlhamdulilLah, alhamdulilLah, alhamdulilLah. Hatiku memanjatkan kesyukuran. Semuanya normal. Tiada langsung tanda-tanda salur darahku tersumbat.

Jika anda pernah merasa simptom-simptom ini bersegeralah ke hospital atau ke Institut Jantung Negara (IJN). IJN adalah pusat jantung yang tip-top perkhidmatannya. Kemudahan, keselesaan dan layanan staff IJN memang terbaik. Makanan pun sedap.

Terima kasih buat Dato Dr Balachandran, sahabatku Dr Beni Isman dan semua staff IJN yang telah memberikan rawatan terbaik. Teristimewa buat isteriku Nazatul Shahnaz yang menjaga diri ini sepanjang keuzuran tempohari. Itu pun jantung jugak, si Jantung Hati.

Kongsikan dengan orang yang tersayang. Please share.