Sepertimana orang lain, saya juga adakala terfikir, “layak ke aku ni jadi tetamu Allah di Mekah?” Pertanyaan yang sama bermain di kepala sehinggalah ke hari saya bertolak menaiki pesawat MAS pada 22 Feb yang lepas.

Siapa sangka, segala ini menjadi titik tolak untuk saya melihat ibadah umrah juga sebagai satu perjalanan kembara dengan pengalaman yang bukan hanya berbeza tetapi juga menyeronokkan (dan ada masa terasa hiba bila mengenang perjuangan Rasulullah dan para syuhada).

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Dengan tiket penerbangan semurah RM400 nett (pergi balik) yang berjaya dibeli sewaktu offer di MAS pada tahun lepas, alhamdulillah berjaya juga saya menunaikan ibadah umrah bersama suami. Dapat tiket semurah ini pun sudah satu rahmat. Harga yang dirasa bagaikan di luar logik akal tapi telah berjaya direbut.

Sebagaimana pernah saya berjanji kepada diri sendiri, saya kongsikan di sini bagaimana anda juga boleh tunaikan umrah cara DIY, termasuk persediaan yang perlu dilakukan sebelum berangkat.

Bila nampak ini terus rasa – wah. Dah ada depan mata. Nak nangis tapi tahan.
View di dalam Masjidil Haram.
Suasana sewaktu saie antara Safar dan Marwah. Masa ni saya dah selesai saie dan dalam perjalanan nak balik.

Persediaan ilmu

Umrah bagi saya adalah satu pengembaraan. Tapi yang membezakan umrah berbanding pengembaraan lain adalah pengisian rohani di tempat yang bakal kita tuju iaitu di Mekah dan Madinah.

Persediaan paling utama yang perlu dititikberatkan adalah – perlu tahu apakah ilmu dan amalan yang mesti dilakukan bila tiba di tanah suci iaitu:

  1. Rukun umrah
  2. Bacaan semasa umrah
  3. Pantang larang umrah
  4. Bacaan sunat lain

Amacam? Dah mula rasa tergugat? Sikit-sikit mesti rasa macam susah kan? Sebenarnya senang saja. Semua di hujung jari. Untuk semua perkara di atas boleh diselesaikan dengan:

1. Install apps umrah dan ziarah yang terdapat di PlayStore dan iTune. Ini 2 apps kegemaran saya:

(i) Panduan Umrah – menyediakan ringkasan step by step panduan umrah. Kita juga boleh tanda (/) tiap kali dah selesai lakukan setiap step dan rukun umrah di dalam apps ini. Untuk android boleh download di sini. Carian di Google untuk apps ini di iTune tak jumpa pula. Mungkin boleh cuba cari di iPhone anda.

(ii) Panduan Haji dan Umrah – menyediakan panduan lengkap haji dan umrah. Apps ini berikan panduan untuk kedua-duanya. Tapi untuk kes kali ini, saya jadikan apps ini sebagai rujukan untuk rukun dan bacaan umrah saja. Untuk haji saya skip sebab saya hanya buat umrah. Untuk android boleh download di sini. Apps ni pun saya tak jumpa untuk iPhone di Google.

Kedua-dua apps di atas dalam bahasa Melayu. Ada banyak lagi apps lain termasuk yang berbahasa Inggeris dan bahasa Indonesia. Pilih saja mana yang sesuai dengan jiwa dan keperluan anda.

Kursus umrah di Masjid Besi, Putrajaya.
Ustaz ni best. Banyak benda penting dia kongsikan.
Masa dah habis kursus baru perasan ada promosi cucuk daripada Klinik An Nisa Putrajaya di belakang. Pakej cucuk diskaun RM40 daripada harga pasaran + dapat buku umrah percuma. Ok lah tu.

2. Kursus umrah – boleh hadiri kursus umrah percuma anjuran Tabung Haji. Boleh terus pergi tanpa perlu daftar. Bagi kes saya, saya telah ke Masjid Besi, Putrajaya.

Kursus percuma ini diadakan setiap sabtu dari jam 9 – 12 tengah hari di beberapa lokasi termasuk di Sabah. Anda boleh semak jadual kursus di website Tabung Haji Travel. Jika sabtu jatuh pada hari cuti umum, kemungkinan besar kursus tak ada.

Sebaiknya cuba duduk di baris depan. Kadang tulisan di slide kecil sangat. Dah lah berwarna warni. Kadang background kuning, tulisan warna putih. Memang tak berapa nampak bila duduk di belakang.

Lain ustaz, lain gaya kelas dan info yang dikongsikan. Jadi nak pergi banyak kali pun boleh. Free saja.

3. Beli buku umrah – yang ini saya beli buku Travelog Umrah DIY (tulisan Zuera Abdul Ghani) untuk rujukan bagi beberapa perkara terutama melibatkan hukum hakam dan bacaan khusus untuk wanita yang tidak tersenarai di dalam apps di atas.

Jika anda nak beli buku lain pun boleh. Ada banyak buku rujukan dan  bacaan umrah di pasaran. Pilih saja.

4. Youtube – Ye, di Youtube ada banyak rakaman ceramah dan kursus umrah yang boleh dijadikan rujukan.

Di bawah adalah 2 video kursus umrah yang membuatkan saya rasa umrah memang sangat mudah. Nak mudah lagi? Tukarkan video ni ke bentuk mp3 dan download ke handphone anda. Boleh dengar di mana saja, bila-bila masa.

 

Barang keperluan umrah

Barang keperluan umrah taklah banyak. Saya ke Mekah 4 hari, dan Madinah 3 hari. Total 9 hari termasuk hari pergi dan balik. Berikut barang yang saya bawa:

1. Sepasang kain ihram (untuk suami)

2. Telekung solat wanita – 2 pasang. Saya bawa telekung saja. Kain tinggal di rumah. Di Mekah dan Madinah saya pakai telekung bersama jubah dan stokin. Adakala pakai jubah dan tudung labuh pun dah ok. Biasanya saya buat begini bila kami nak ziarah atau berjalan ke tempat lain.

3. Jubah wanita 3 pasang dan sepasang baju tidur. Tudung 3 helai. Boleh basuh baju dan tudung di dalam bilik di waktu malam, sangkut di tandas dan esoknya sangkut di tepi tingkap. Lusa dah boleh ulang pakai.

4. Jubah lelaki 1 pasang dan baju kurta 2 pasang. Seluar dan kain pelikat.

5. Kasut kanvas untuk wanita – 2 pasang. Saya juga bawa plastik untuk simpan dan bawa kasut ke tempat solat tiap kali di masjid.

6. Selipar lelaki – 2 pasang.

7. Stokin wanita – 3 pasang. Sebaiknya warna hitam. Tapi saya sebat je apa yang ada di rumah. Stokin yang saya bawa ada warna hitam, kelabu dan putih.

8. Kasut tawaf untuk wanita – 1 pasang. Kasut ini lembut di bahagian tapak. Bagus untuk lindungi stokin daripada basah terutama bila lalu di tempat ambil air zamzam. Juga boleh dipakai semasa tawaf dan sewaktu di dalam kapal terbang.

9. Ubat-ubatan. Antara yang dibawa adalah panadol, ubat cirit-birit, ubat batuk, ubat selsema, minyak angin dan minyak urut. Minyak urut ni bolehlah guna untuk urut kaki lepas dah selesai umrah dan tawaf sunat. Boleh tahan tegang juga urat kaki lepas tawaf. Haha.

10. Botol spray – memudahkan untuk ambil wudu sama ada di dalam pesawat dan sewaktu ziarah.

11. Gunting kecil – untuk gunting rambut lepas selesai saie. Kami minta Ustaz Afiq belikan gunting sebab beg yang kami bawa tak check in luggage. Kami hanya bawa beg kecil yang boleh dibawa masuk ke kabin.

12. Panty liner untuk wanita. Penting sebagai langkah berjaga-jaga dan memastikan diri sentiasa bersih sebab ia mudah ditukar.

Contoh visa umrah.
Kasut umrah. Lembut dan tapaknya ada plastik bintik-bintik macam kasut bayi. Stokin kekal bersih dan kering bila pakai kasut ni.

Visa umrah

Visa umrah boleh dipohon dengan ejen pelancongan yang turut uruskan visa umrah. Alhamdulillah hasil carian di internet menemukan saya dengan Facebook Page Safar Buddies yang boleh uruskan visa umrah.

Bayaran buat upah visa RM350 seorang. Perlu diingat harga ini adalah untuk caj urusan permohonan visa. Visa diberikan percuma oleh kerajaan Arab Saudi bagi mereka yang baru pertama kali tunaikan umrah.

Visa umrah hanya sah selama sebulan daripada tarikh ia dikeluarkan. Timing kena betul. Bahagian timing boleh bincang dengan ejen. Visa siap dalam masa 2 minggu.

Dokumen yang diperlukan untuk permohonan visa:

  1. Passport (original)
  2. Gambar 2 keping. Untuk wanita gambar mesti bertudung hitam atau tudung gelap. Sila maklumkan nak buat passport umrah sebelum anda shoot gambar di kedai.
  3. Buku suntikan. Suntikan vaksin boleh dibuat di klinik swasta. Cuma perlu cakap nak buat suntikan untuk umrah. Harga sekitar RM110 – RM130. Satu suntikan tahan 5 tahun. Jangan tipu suntikan. Ada yang bayar RM20 ke RM30 untuk dapatkan buku saja tanpa suntikan vaksin. Suntikan penting untuk tingkatkan imunisasi badan.
  4. 1 salinan sijil nikah yang dicop pengesahan oleh pejabat agama dan Wisma Putra (untuk wanita sahaja).
  5. Salinan bukti tempahan penerbangan (pergi balik).
  6. Salinan bukti tempahan hotel di Mekah dan di Madinah.
  7. Travel insurance. Saya beli online di AIG.my. Selain daripada itu boleh beli di AXA dan juga Takaful.
Hotel di Madinah. Yang di Mekah mana? Lupa nak snap gambar. Haha.
Kedai serbaneka Bin Dawood terdapat di Mekah dan Madinah. Tuan punya Bin Dawood ni hartawan kaya, ada 4 isteri. Masa dalam perjalanan ke Arafah sempat Ustaz Afiq tunjuk 4 buah banglow berderet milik hartawan ini. Satu banglow untuk setiap isteri. Sempat lagi bergossip. Haha.
Jus buah di Mekah. Mesti cuba. Sempat lagi haji kat depan photobomb. Haha.
Siapa dapat minum kopi Arab sampai habis memang power. Rasa rempah dia memang buat saya berhuhu nak habiskan.
Restoran berdekatan hotel. Dok ulang ke sini saja lah sepanjang di Mekah.
Van aiskrim di Jabal Rahmah. Aiskrim antara yang mesti dicuba di Mekah. Aiskrim adalah makanan pertama saya selepas selesai umrah wajib pada jam 2.30 pagi.
Nasi Arab lejen dengan ayam bakar. Memang marvelous. Tapi di kedai ni perempuan tak boleh makan, hanya boleh tapau saja. Satu hidangan boleh kongsi 2 orang. Makan sampai kenyang.
Ayam Al Baik yang terkenal tu katanya. Kami dapat makan di Madinah. Memang sedap.
Di restoran Al Baik Madinah. Bangunan restoran makanan segera ini 3 tingkat. Tingkat 1 untuk take away, tingkat 2 untuk lelaki sahaja. Tingkat 3 untuk keluarga. Untuk bahagian keluarga ada bilik kecil untuk setiap meja. Jika datang satu rombongan 8 orang ke atas memang kena berpecah dan duduk di bilik berasingan.

Penginapan

1. Tempahan untuk hotel boleh dibuat paling kurang sebulan sebelum tarikh penerbangan. Lagi awal lagi bagus, dan dapat harga lebih murah. Anda boleh survey harga hotel di Booking.com, Agoda.com dan Hotelscombined.com. Lepas dah kenal pasti hotel yang sesuai dengan bajet dan lokasi, biasanya saya akan buat carian dan tapisan ke 2 berdasarkan harga termurah yang ditawarkan oleh penyedia laman web bagi carian hotel.

2. Di Mekah saya menginap di Nawazi Ajyad Hotel. Memang dekat dengan Masjidil Haram. Dalam 10 minit jalan kaki melenggang. Kedudukan hotel ini di belakang hotel Meridian dan tak jauh daripada Menara Jam. Kena naik bukit sikit. Tapi hotel ada sediakan pengangkutan macam kereta golf untuk ke Masjidil Haram. Ada masa rasa malas nak jalan kaki, naik saja kereta ni.

3. Di Madinah saya menginap di Elaf Meshal Al Madinah Hotel. Kedudukan hotel ini agak jauh sedikit bagi warga emas. Tapi bagi orang muda dan masih sihat, tiada masalah menginap di sini. Hotel juga selesa dan dekat dengan Pasar Kurma,  dekat dengan pintu no 8 Masjid Nabawi. Ramai warga Turki menginap di sini. Maka apa lagi, suka lah saya dapat beramah mesra dengan mereka.

4. Kedua-dua hotel di atas ada kemudahan wifi yang laju di dalam bilik.

5. Carilah hotel yang berikan pilihan untuk pembatalan. Manalah tahu beberapa hari kemudian kita jumpa hotel yang lebih murah dan dekat dengan masjid.

6. Jangan percaya jika di laman web tertulis lokasi hotel 500 meter, 600 meter dari Masjidil Haram atau dari Masjid Nabawi. Anda kena semak secara manual dengan Google Maps dan letak setting berjalan kaki.

7. Kami pernah terkena. Hotel pertama yang kami tempah bertulis 600 meter dari Masjidil Haram. Bila semak di Google Maps, 5KM rupanya. Nasib baik boleh batalkan tempahan dan cari hotel lain yang lebih dekat.

8. Memang sesetengah hotel ada sediakan bas dan pengangkutan pergi balik antara hotel dan masjid, tapi bagi saya masa itu emas. Kalau boleh berjalan kaki, lebih mudah dan cepat berbanding perlu tunggu hingga bas penuh setiap kali nak balik ke hotel atau nak ke masjid.

9. Sahabat saya Hafifi tinggal di hotel berikut:
Hotel di Madinah: Hotel Al-zahrah. Pintu masuk di pintu 15 (5 minit berjalan kaki). Satu bilik untuk 4 orang. Masuk je masjid terus tempat solat wanita.

Hotel di Mekah: Shatha Al Wesam (masuk ikut pintu Babusalam). Dekat dengan tempat Saei di ground floor. Berjalan kaki lebih kurang 15 minit dari hotel ke Masjidil Haram.

Hafifi ke Madinah dahulu selama seminggu, dan tinggal di Mekah selama seminggu. Total beliau di Tanah Haram selama 2 minggu. Juga umrah DIY.

Baca: Bagaimana Kami Buat Umrah DIY Selama 10 Hari (Bahagian 1)

Sewaktu ziarah di Mekah. Di Mekah dan Madinah ada diletakkan sempadan tanah haram dan tanah halal.
Flynas. Tambah dari Mekah ke Madinah hanya 98 Riyal. Tempah sebulan sebelum tarikh terbang. Kapal terbang tak penuh. Banyak kerusi kosong.
Jamrah, tempat melontar di musim haji.
Inilah Mina, tempat di mana jemaah haji duduk selama 4 hari (10 – 14 Zulhijjah). Hanya penuh di musim haji. Di musim lain kosong kosong, kosong.

Pengangkutan di Mekah dan Madinah

1. Jeddah ke Mekah

Bagi penerbangan MAS, kami turun di terminal haji. Dari sini anda boleh ambil teksi di luar terminal. Pastikan nego sampai habis sebab Pak Arab di sini suka cekik darah. Jika anda kenal jemaah Malaysia lain yang turut buat umrah DIY, berpakatlah dengan mereka untuk nego bersama.

Dan sebolehnya ambil yang di luar pintu terminal, bukan teksi yang tunggu dan tegur anda di pintu ketibaan. Jika nasib anda baik, boleh dapat seorang 50 Riyal untuk perjalanan dari Jeddah ke Mekah.

2. Mekah ke Madinah

Pilihan 1 : Naik teksi, Uber atau bas Saptco ke Madinah. Perjalanan selama 5 ke 6 jam. Untuk jadula bas Saptco dan tambang, boleh rujuk di laman web Saptco.

Pilihan 2 : Naik flight dari Jeddah ke Madinah. Penerbangan hanya 1 jam. Kami ambil penerbangan Flynas. Harga tiket 98  Riyal seorang. Dari Mekah ke Jeddah boleh naik Uber. Tambang sekitar 200 Riyal.

Madinah ke Jeddah

Boleh tempah kereta sewa, Uber atau naik bas Saptco. Uber di Arab Saudi setakat ini sangat boleh dipercayai. Jika anda dah install apps Uber di hp anda sewaktu di Malaysia, apps yang sama boleh digunakan di Arab Saudi.

Dan ini pula ringkasan pengangkutan kawan saya Hafifi. Beliau juga pergi umrah DIY bersama 6 rakan lain (semua lelaki):

Jeddah – Madinah =115 Riyal
Madinah – Mekah = 115 Riyal
Mekah- jeddah =60 Riyal (guna van HiAce 9 tempat duduk).

Kad Sim

1. Disebabkan hotel saya menginap telah sediakan wifi yang laju, saya tak beli simkad. Tapi jika anda perlukan talian internet sepanjang di sana, bolehlah beli simkad di lapangan terbang atau di kedai menjual sim kad di Mekad atau di Madinah.

2. Kawan saya Hafifi beli simkad STC di Airport Jeddah. Bayaran simkad dan kredit 100 Riyal, berkongsi 4 orang (data 15 gig). Jadi hanya bayar 25 Riyal seorang. Masih dikira murah, internet laju dan tak habis guna. Hafifi buat umrah dan ziarah selama 2 minggu. Ada banyak pakej lain juga boleh dipilih untuk line STC ini.

Muzium pameran barangan sejarah daripada 2 masjid iaitu Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Masuk percuma.
Antara tiang lama Masjidil Haram yang dipamerkan di luar muzium
Di belakang adalah Jabal Nur. Di sinilah Gua Hirak, tempat turunnya wahyu pertama kepada Rasulullah saw.
Di pekarangan masjid Hudaibiah. Di sinilah tempat berlakunya Perjanjian Hudaibiah. Geram dan marah bila lihat vandalism yang berlaku di sini.. Tempat bersejarah dan penting bagi umat Islam begini seharusnya dipelihara dengan baik. Terkilan sungguh. Sedih. Nampak tulisan putih di batu hitam tu? Hasil vandalism. Isk.
Ziarah ladang unta. Susu unta kaya dengan probiotik. Bagus untuk penghadaman. Tapi awas. Jangan minum sebelum ke masjid. Nanti nak ke tandas saja kerjanya. Minum sebelum tidur malam tak apa.
Pak Arab ni beli susu unta. Kami beli yang diisi dalam botol. 5 Riyal 1 botol. Balik ke hotel kena simpan dalam peti ais.

Mutawif dan ziarah

1. Untuk urusan mutawif umrah saya berhubung dengan pelajar Malaysia,  Ustaz Afiq yang belajar di Universiti Umm Al Qura, Mekah.

2. Beliau boleh aturkan ziarah private, maksudnya tidak libatkan jemaah lain. Jika anda pergi berdua atau 4 orang, boleh kongsi bersama untuk bayar upah ziarah.

3. Upah mutawif 200 Riyal, private mutawif sebab ustaz muda hanya bawa saya dan suami saja (berdua). Tiada jemaah lain.

4. Ziarah – 350 Riyal termasuk pengangkutan untuk setiap sesi. Ustaz Afiq bawa saya dan suami ke beberapa lokasi ziarah dengan kereta dan turut menceritakan sirah di lokasi tersebut. Bagi saya ini sesuatu yang bagus dan menjadikan ziarah kami lebih penghayatan.

5. Bagi ziarah di Madinah pula kami dihubungkan oleh Ustaz Afiq dengan rakan beliau yang merupakan pelajar Malaysia yang menuntut di Madinah Islamic Universiti, iaitu Ustaz Qusyai, Ustaz Ramzul Hakimi dan Ustaz Shariffuddin.

6. Ketiga-tiga mereka ini menjalankan perniagaan bersama di bawah jenama Sahabat Haramain dan bersedia membantu jemaah Malaysia yang ingin mendapatkan khidmat lawatan dan ziarah peribadi di Madinah. Boleh hubungi 3 ustaz muda ini di Facebook Sahabat Haramain.

Upah ziarah dalam di Madinah – 200 Riyal
Upah ziarah luar di Madinah – 350 Riyal

7. Upah mutawif dan ziarah jadi lebih murah jika kongsi dan bahagi 4 jika anda pergi dalam kumpulan 4 orang. Dalam kes saya hanya bagi 2. Upah di atas adalah untuk setiap sesi (belum bahagi 2).

8. Untuk urusan mutawif dan ziarah di Mekah, boleh hubungi Ustaz Afiq di Whatsapp 0135101078.

9. Jika mahu guide bagi ziarah di Madinah, anda boleh berhubung dengan Ustaz Ramzul Hakimi di Facebook Sahabat Haramain atau Whatsapp 0139569133.

Masjid Nabawi. Yang hijau itu lah kubah nabi.
Saya tak mampu nak ungkapkan ketenangan suasana di sini. Tengok sajalah gambar.
Lepas solat macam ni lah ramainya umat di Masjid Nabawi.
Masa ni payung besar di Masjid Nabawi bari nak dibuka lepas solat subuh.
Tong air zamzam di Masjid Nabawi. Diangkut pakai lori dari Mekah. Tong dengan bentuk dan warna yang sama turut terdapat di Masjidil Haram.
Ziarah dalam di sekitar Masjid Nabawi bersama Ustaz Qusyairi yang sangatlah gentleman. Hihi.

Masih terngiang di kepala pesanan Ustaz Qusyairi kepada saya dan suami – akak, abang, kalau anak akak abang pandai, didiklah mereka supaya belajar dua-dua, sains dan agama.

Kalau nak jadi doktor, biarlah jadi doktor yang juga pandai agama. Kalau jadi engineer, biarlah jadi engineer yang tahu hal agama, kalau jadi usahawan biarlah jadi usahawan yang luas ilmu agama agar lahir generasi yang dapat mengimbang dunia dan akhirat. Dan supaya Islam dilihat sebagai sumber inspirasi buat umatnya dan agama lain.

Dulu-dulu orang kita, bila anak pandai terus hantar belajar medic, engineering, dan ilmu lain. Yang nampak nakal pula hantar ke sekolah pondok. Semoga kita tidak ulang lagi kesilapan yang sama ini.

Tips lain

1. Buat umrah pagi, lepas solat subuh hingga jam 10 pagi. Masa ni tak ramai orang, tak sesak, tak perlu perlu bergasak dengan orang ramai dan cuaca tak terlalu panas.

2. Atau buat umrah malam, lepas isyak. Pun orang tak ramai sangat. Malam tak panas, lebih selesa.

3. Jemaah umrah biasanya lebih ramai daripada biasa pada hari jumaat. Bilangan pengunjung ke Masjidil Haram juga ramai pada hari Jumaat kerana rakyat Saudi dan mereka yang tinggal di luar Mekah (tapi menetap di Arab Saudi) datang buat umrah.

4. Bersangka baiklah dengan Allah. Bawalah hati dengan penuh rendah diri, tawakal dan buang segala prasangka. Niatkan nak jadi tetamu Allah, nak jumpa orang-orang baik dan nak buat ibadah sebaik yang boleh. Insya allah tiada perkara pelik yang terjadi. Tapi jika ada juga perkara tak diingini berlaku, anggaplah itu ujian agar kita lebih bersabar.

5. Jangan pelik atau rasa diri lebih baik bila lihat cara solat mahupun cara berpakaian jemaah lain (terutama jemaah wanita). Di sinilah kita akan lihat perbezaan ketara antara mazhab bila tibanya waktu solat. Hormati dan raikan perbezaan kerana di akhirnya tujuan kita tetap sama – sembah tuhan yang satu dan sayang nabi yang sama, Muhammad saw.

6. Peluang buat pahala terbuka luas di mana-mana. Malah kita turut terdorong untuk hanya fikir tentang ibadah, tak ada perasaan atau kurang rasa nak shopping. Itu normal. Haha.

7. Bawa botol spray ke mana saja termasuk ke masjid. Senang nak ambil wudu bila air sembahyang terbatal.

8. Gunakan peluang di Masjdil Haram untuk minum air zamzam sebanyaknya. Ada 2 jenis tempat minum air di Masjidil Haram. Satu dalam tong yang disusun banyak-banyak dan satu jenis lagi ada kepala paip. Yang dalam tong adalah air zamzam. Yang ada kepala paip adalah air mineral. Jangan salah pula.

9. Bagi yang terus ke Mekah seperti saya, boleh beli air zamzam di Airport Jeddah masa nak balik ke Malaysia. Harga 9 Riyal 1 tong (5 liter), dah siap pack elok dalam kotak. Kuota bagi setiap jemaah adalah 1 kotak saja.

10. Tapi jika anda bercadang nak bawa balik ke Malaysia lebih daripada sekotak air zamzam, pandai-pandailah sumbat dalam beg bertayar dan cover dengan baju. Insya Allah lepas.

11. Tips untuk jemaah lelaki yang akan terus ke Mekah dari Jeddah seperti kami. Disebabkan kena pakai ihram, pakai kain ihram (bahagian bawah) di rumah, dan pakai jubah. Untuk kain ihram di bahagian atas, boleh tukar dan pakai sebelum melintasi mihrat.

Lebih senang begini berbanding nak pakai semuanya sewaktu di dalam pesawat. Dan di waktu yang sama, taklah ketara sangat anda pakai ihram sebab dah cover dengan jubah di bahagian atas.

12. Waktu masuk ke Raudhah bagi wanita (di Madinah) biasanya lepas subuh dan lepas isyak. Saya berpeluang masuk sekali saja. Itu pun di waktu pagi. Agak bersesak juga. Jemaah juga telah dibahagikan mengikut beberapa kumpulan. Bagi jemaah dari Asia Tenggara (Malaysia, Indonesia, Brunei) telah diletakkan ke dalam kumpulan jemaah berbahasa Melayu.

13. Usah berebut ke Raudhah. Memang semua nak masuk, tapi jagalah adab dan banyakkan bersabar. Memang akan ada tolak menolak, siap ada yang berlari macam marathon (ini jemaah negara lain). Pahala mereka yang bersabar sewaktu di Madhinah juga sangat besar.

14. Rebutlah peluang untuk solat jenazah setiap kali selepas solat fardhu di kedua-dua Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Ganjaran pahalanya adalah sebesar Bukit Uhud. Lagi pun di Malaysia amat jarang wanita ada peluang solat jenazah. Cara solat jenazah juga sangat ringkas dan mudah. Hafallah siap-siap sebelum ke sana. Nak hafal dalam kapalterbang pun masih sempat.

15. Untuk wanita, pakai jubah hitam dan tudung hitam sangat digalakkan di Mekah dan Madinah (senang kata di Arab Saudi). Tapi secara peribadi memang selesa pakai warna ini di sana. Nak masuk kumpulan lain masa di Raudhah pun jadi lebih senang bila serba hitam. Sudah macam orang Arab lah. Haha.

16. Mudah sebenarnya bergerak solo terutama sewaktu di masjid sebab boleh menyelit di mana-mana saja tanpa terikat dengan orang lain. Jika dengan kawan, mungkin ada tempat kosong yang muat untuk seorang saja, jadi susah nak menyelit bersama dan mungkin kena berpecah terutama bila kita tiba lambat di masjid.

17. Bagi saya, dari segi komunikasi semasa umrah masih sama dengan situasi sewaktu kita travel ke negara luar terutama apabila berhubung dan berbual dengan jemaah dari negara lain. Bahasa ayam itik ada di mana-mana. Janji sama-sama faham dah kira ok sangat.

18. Tapi dari sudut rohani pula sewaktu di Mekah dan Madhinah, memang terasa damai dan tenang di hati. Setiap hari hanya fikir nak pergi masjid jam berapa, nak bangun jam berapa, lepas solat baru fikir nak makan apa. Satu perasaan yang susah nak diungkap dengan kata-kata. Memang tak akan sama dengan travel ke tempat lain.

19. Makanan  (terutama nasi Arab) dijual lebih murah (dalam 2 ke 3 Riyal) di restoran biasa berbanding di food court Menara Jam.  Sewaktu di Mekah kami beli nasi di kedai berdekatan dengan hotel, kedai yang sama saja setiap hari. Harga berpatutan, satu hidangan boleh kongsi 2 orang makan dan rasanya pun sedap.

20. Di Madinah pula, hampir setiap hari kami makan nasi lejen. Mentang-mentanglah ada  date dengan ustaz student, maka ambil peluang kirim nasi lejen. Nasi lejen ini adalah nasi Arab yang terkenal di Madinah, menjadi kegemaran beberapa tokoh ternama di Malaysia yang pernah belajar di sini. Antaranya adalah Haji Hadi Awang dan Dr Abdul Basit Abd Rahman (graduan universiti di Madinah daripada ijazah hingga ke PhD).

21. Jika anda nak buat umrah DIY sepenuhnya tanpa libatkan guide untuk ziarah ke tempat bersejarah di Mekah dan Madinah, bacalah sirah sebelum berangkat ke sana. Atau bawa sekali buku sirah dan baca di lokasi yang dilawati.

Tapi bila ada yang bercerita di tempat tersebut ia memang sangat memberi kesan di hati. Terasa betapa besar pengorbanan Rasulullah dan para sahabat. Sayu, sedih dan terasa Islam adalah anugerah yang mesti dipelihara, diamalkan, dijaga dan dihargai dengan sesungguh hati.  Bila ada yang bercerita di sebelah, tak sama perasaannya dengan baca buku. Sebab itu saya dan suami ambil guide.

22. Pekerja di Airport Jeddah akan minta tips di mana-mana. Geram pula rasanya bila tolong angkat beg ke atas troli dan angkat beg di kaunter masa nak check in pun kena bagi tips. Jadi, buat saja semuanya sendiri. Macam tak biasa angkat beg dan tolak troli sendiri kan?

23. Penting: Sewaktu baru tiba di Airport Jeddah, cepat-cepat ambil beg anda sendiri. Jangan benarkan pekerja airport letak beg atas troli dan tolak troli anda. Mereka bukan tolong bawa free, tapi caj 100 Riyal. Jiran saya baru saja terkena pada umrah mereka baru-baru ini. Nasiblah kami bawa handcarry saja.

24. Ziarah di luar Tanah Haram di Mekah lebih mudah dan selesa dilakukan di waktu petang. Biasanya waktu pagi banyak travel agensi bawa jemaah mereka untuk ziarah. Keadaan boleh jadi agak sesak di tempat ziarah.

25. Ada 3 muzium di sekitar Masjid Nabawi. Jika ada masa, masuklah. Di muzium juga ada disediakan tour dalam bahasa Melayu (Indonesia).

26. Uber sangat reliable di Mekah dan Madinah. Jadi usah risau untuk gunakan Uber di sana. Boleh download aplikasi Uber ke hangphone and di sini – Apps Uber.

27. Teksi dan kenderaan luar yang tiada tiket penerbangan tak boleh masuk ke Terminal Haji. Jika anda naik MAS, dan akan terus ke Mekah, biasanya kena turun di Terminal Haji. Anda boleh berurusan dengan Pak Arab di luar terminal. Tapi pastikan nego sampai habis. Cari yang di luar terminal. Bukan Pak Arab yang tunggu dan tegur anda di pintu keluar. Yang ini memang cekik darah.

28. Solat di Masjid Nabawi. Ganjaran pahala eperti 1000 solat di masjid lain adalah solat di dalam masjid sebab pasti ada saja ruang yang masih kosong dan boleh diisi. Jadi cubalah solat di dalam masjid, bukan di perkarangan masjid.

Inilah Masjid Quba. Masjid pertama dibangunkan oleh Rasulullah sebaik saja tiba di Madinah.
Inilah Bukit Memanah, terletak di sebelah Bukit Uhud. Sewaktu perang Uhud, Rasulullah menempatkan 50 tentera memanah di atas bukit ini.
Bukit Uhud – menjadi saksi perjuangan Rasulullah dan para sahabat. Panjang Bukit Uhud sekitar 8km dan lebarnya 3km. Gambar diambil dari Bukit Memanah. Di bawah adalah pasar menjual kurma, kekacang dan berbagai barangan.
Tak jadi ke ladang kurma, kami singgah di Universiti Islam Madinah. Tapi perempuan tak boleh masuk ke dalam kawasan universiti. Bergambar di luar sajalah.
Suami saya bersama Ustaz Khusyairi dan Ustaz Ramzul Hakimi, pelajar Malaysia di Universiti Islam Madinah. Paling kanan tu driver bawa kami ziarah. Pak syeikh ni siap belanja kopi, air, jemput makan di rumah tapi tak sempat nak pergi.

Ringkasan Itinerari

Berikut ialah itinerari ringkas sepanjang saya di tanah haram:

Hari 1 – 22 Feb (Rabu)
11 am: Berlepas ke Jeddah via MAS. Sejam sebelum tiba di Jeddah juruterbang umumkan kami berada di ruang udara miqat dan boleh niat umrah.
8 pm : Tiba di Jeddah.
11 pm : Tiba di Mekah dan terus check in hotel.
11.30 pm : Mutawif datang jemput kami di hotel untuk umrah. Beliau adalah pelajar Malaysia yang belajar di sana.
2.30 am : Selesai umrah wajib. Lega.

Hari 2 – 23 Feb (Khamis)
Pergi masjid, tawaf sunat dan rehat. Nak shopping atau jalan-jalan di sekitar masjidil haram pun boleh.

Hari 3 – 24 Feb (Jumaat)
Tawaf sunat. Saya buat tawaf lepas jam 11. Sesak ya ampun. Tapi tabahkan diri sajalah. Hari jumaat kan. Petang jalan-jalan di sekitar luar Masjidil Haram.

Hari 4 – 25 Feb (Sabtu)
Pagi : Tawaf sunat
Petang : Ziarah ke Jabal Rahmah, Jabal Thur, Arafah, Muzdalifah dan Mina serta ke muzium. Ziarah kami di bawa oleh Ustaz Afiq. Sepanjang dalam perjalanan beliau turut menyampaikan sirah dan kami juga mengambil peluang ini untuk bertanya beberapa soalan berkaitan isu semasa.

Dalam perjalanan balik ke Tanah Haram, kami niat umrah dan tunaikan umrah ke 2 selepas isyak.

Hari 5 – 26 Feb (Ahad)
Bertolak Mekah – Jeddah – Madinah. Naik penerbangan Flynas RM115 sehala, seorang. Dari Mekah ke Jeddah boleh guna Uber.  Check in hotel dan solat di Masjid Nabawi.

Hari 6 – 27 Feb (Isnin)
Pagi dan petang : Solat di Masjid Nabawi dan berjalan di sekitar hotel. Ada banyak kedai yang boleh dikunjungi untuk survey harga kurma dan jubah.
Malam : Ziarah dalam. Kami dibawa oleh Ustaz Qusyairi melawat tempat bersejarah di sekitar masjid Nabawi sambil beliau bercerita tentang sirah dan sejarah di setiap tempat yang dikunjungi.

Hari 7 – 28 Feb (Selasa)
Ziarah luar : Ke Masjid 7, Masjid Quba, Bukit Uhud dan Universiti Madinah. Kami dibawa oleh Ustaz Shariffuddin. Beliau bercerita tentang sirah dan perjuangan Rasulullah serta kisah kehilangan cincin tinggalan Rasulullah daripada Saidina Osman sepanjang dalam perjalanan dan juga di lokasi lawatan.

Hari 8 – 1 Mach (Rabu)
Pagi : Ziarah akhir di Masjid Nabawi dan ucapkan selamat tinggal kepada Rasulullah dan para sahabat. Insya Allah nak datang ziarah lagi.
Petang : Madinah – Jeddah.
Malam : Berlepas pulang ke Malaysia. Tiba di Malaysia pada 2 Mach.

Akhir kata, umrah itu mudah sahaja. Usah risau. Tiada yang pelik dan sukar seperti yang sering kita dengar. Yang penting jaga hati, jaga mulut, jaga tingkah laku. Pendek kata, banyakkan jaga hati sendiri sepanjang di sana. Jauhkan daripada judge orang lain.

Buat anda yang masih muda, pergilah tunaikan umrah sewaktu masih muda, tenaga masih kuat dan sihat. Seronok dan lain rasanya bila di sini. Rasa terisi rohani, tenang dan damai di dalam diri.

Malahan adakala makin rasa bersyukur bila lihat bagaimana golongan warga emas sanggup bersusah payah beribadat meskipun kudrat dan tenaga mereka sudah berkurang. Apalah sangat dibandingkan dengan diri ini yang masih berupaya dan sihat.

Saya doakan anda juga dijemput menjadi tetamuNya di waktu terdekat. Insya Allah.

Apa? Berapa total? Untuk umrah DIY dengan private tour  untuk ziarah, memang jauh lebih murah berbanding pergi dengan pakej umrah. Bila dapat tiket murah, bajet yang lain turut jadi murah. Jadi, cari tiket kapal terbang dulu ye.

Perlu sentiasa alert dan intai promo syarikat penerbangan seperti MAS, Saudi Airlines, Emirates, Qatar Airways, Turkish Airlines (di antaranya) dengan menyertai mailing list mereka. Dengan cara ini update promo akan dihantar ke email anda.

Baca lagi: Umrah DIY Memang Murah Tapi Pertimbangkan 7 Risiko Ini Dulu