Sapa, terletak di wilayah Lao Cai, berketinggian 1500 meter dari aras laut, dan hampir 400km di Utara Hanoi, adalah kawasan yang bersempadan di antara Vietnam dan China.

Perjalanan ke sana menempuh beratus selekoh di jalan pergunungan dan mengambil masa 12 jam dengan menaiki bas malam dari Hanoi. Di Sapa, bas akan berhenti betul-betul di tepi tasik.

Rasa teruja bila pertama kali sampai di sana. Walaupun suhu pagi tu 6⁰ C, saya berswafoto habis-habisan kat tepi tasik tu, seorang diri. Hahaha.

Cerita saya bersama etnik tempatan bermula bila Auntie Ling (suku Hmong) secara sukarela nak tolong ambik gambar saya kat depan gereja masa saya masih galak berswafoto sendirian.

Dan secara langsung Auntie Ling mempelawa saya tinggal bersama keluarganya berbanding menginap di hotel. Kat situ juga saya kenal dengan Peter & Nara, pengembara dari Peranchi dan Mongolia yang juga turut dipelawa Auntie Ling untuk tinggal bersamanya.

Mulanya saya pelik macam mana Auntie Ling boleh bercakap English dengan baik. Katanya, ada satu NGO yang ditubuhkan untuk menyokong etnik minoriti di Sapa.

Dengan bantuan para sukarelawan, organisasi ini cuba untuk menangani isu-isu sosial dan ekonomi kaum minoriti seperti buta huruf dan peluang pekerjaan yang terhad.

Didorong dengan keperluan hidup yang mendesak untuk menyara keluarga, ramai penduduk etnik dari kampung-kampung sekitar cuba untuk mencari kerja di bandar Sapa.

Kebanyakan mereka kurang dari segi kelayakan dan kemahiran. Jadi organisasi inilah yang telah membuka jalan untuk kaum-kaum minoriti ini dengan menyediakan kursus Bahasa Inggeris, dan latihan menjadi trekking guide untuk pelancong. Sekaligus ini memberi peluang kepada mereka untuk mencari rezeki dalam industri pelancongan.

Tiket pengangkutan ke Sapa

Saya memilih bas berbanding kereta api sebab bas akan membawa saya terus ke pusat bandar Sapa. Manakala kereta api pula akan membawa penumpang ke Lao Cai, yang mana kita perlu menaiki satu lagi bas selama sejam untuk ke Sapa.

Kita boleh menempah tiket bas melalui tempat-tempat penginapan di sekitar Hanoi, online, atau buat tempahan terus di stesen bas macam apa yang saya buat.

Kalau kita ambil bas malam, bas akan tiba di tasik Sapa pada pukul 4 pagi. Tetapi pemandu akan membiarkan kita tidur di dalam bas sehingga pukul 6.

Membuat keputusan

Sama ada bermalam di bandar Sapa atau terus mencari hos hari itu juga. Tanya diri sendiri, adakah bas malam dah ‘layan’ kita dengan baik? Haha.

Kebanyakan orang pasti akan kata tidak. Perjalanan bas dari Hanoi ke Sapa sememangnya menyeksakan. Beratus selekoh akan ditempuh di jalan pergunungan yang bergulung dan memang takkan bagi kita tidur yang lena semasa dalam perjalanan sepanjang malam.

Itu belum lagi yang muntah-muntah. Kalau kita dapat tidur yang lena sepanjang perjalanan, maka kita sudah bersedia untuk trekking. Jika tidak, berehatlah dahulu dan mulakan keesokan hari.

Nota: Pastikan anda mendapatkan rehat secukupnya sebab trekking ke kampung etnik minoriti mengambil masa sehingga 4 ke 5 jam.

Mencari hos

Mencari hos bukanlah susah. Bila kita turun dari bas, akan ada ramai wanita dari kaum etnik akan menunggu di luar, dan mengerumuni kita untuk menawarkan rumah mereka sebagai homestay.

Ya, dalam keadaan penat dan tak cukup tidur, kita pasti akan rasa terganggu dengan mereka. Walau bagaimanapun kita perlu juga pilih salah seorang daripada mereka untuk dijadikan hos dan berbincang sama ada mahu terus trekking pagi itu juga ataupun keesokan pagi.

Dan itu tidak menjadi masalah sebab mereka faham, kita perlukan rehat setelah menempuh perjalanan yang menyeksakan. Dapatkan nombor telefon mereka untuk kita hubungi lepas kita buat deal dengan mereka.

Satu lagi cara untuk mencari hos sendiri adalah di depan gereja bandar Sapa.

Nota: Cara ini jauh lebih murah kalau dibandingkan dengan membuat tempahan homestay kaum etnik di agensi pelancongan ataupun di tempat-tempat penginapan

Mula trekking

Pagi itu saya dibawa berjalan kaki sejauh 13km ke Hao Tao Village yang mana akan menjadi tempat penginapan saya selama 2 malam. Trekking yang sangat menyeksakan sebab 3 kali kaki saya kejang! Haha.

Tapi bagi saya perjalanan itu amat berbaloi sebab sepanjang perjalanan mata saya disajikan dengan kawasan pergunungan dan padi bukit yang menghijau.

Ketika dalam perjalanan kita juga mungkin akan bertemu atau berselisih dengan pelancong-pelancong asing yang sedang trekking di kawasan sekitar. Tapi semakin kita jauh ke pedalaman, semakin kurang pelancong yang kita akan jumpa.

Saya beruntung sebab Auntie Ling amat memahami saya. Dia akan tunggu setiap kali saya berhenti untuk mengambil gambar-gambar pemandangan kawasan sekeliling.

Hospitaliti dia amat superb. Dia sentiasa di sisi saya sejak mula trekking sehinggalah di akhir penginapan. Sebelum saya meninggalkan kampung itu, dia ada berikan hadiah perpisahan dan pelukan terakhir pada saya. Rasa sebak sekejap!

Adakah tinggal di homestay sesuai untuk kita?

Ini adalah sebahagian apa yang perlu kita pertimbangkan sebelum menetap bersama kaum etnik minoriti tempatan. Tepuk dada, tanya diri sendiri beberapa soalan berikut:

1. Bolehkah aku berjalan kaki sehingga 4 ke 5 jam naik dan turun bukit?
2. Bolehkah aku ‘melepaskan hajat’ dengan sebaldi air? Tandas mereka tiada paip air.
3. Bolehkah aku mandi dengan sebaldi air, dan adakala mandi dalam suhu 6°C?
4. Bolehkah aku makan makanan yang mereka hidangkan?
5. Bolehkah aku tidur dalam keadaan angin malam yang masuk ke dalam rumah?
6. Bolehkah aku tidur tanpa tilam?
7. Bolehkah aku tinggal di rumah kecil yang tiada paip dan cuma ada 2 biji mentol sebagai lampu?

Jika kita tiada masalah dengan semua yang di atas dan menghormati cara hidup mereka, maka kita pasti akan suka dengan homestay penginapan kita.

Kita akan rasakan hidup dengan cara hidup mereka. Tapi kalau anda perlukan air panas untuk mandi, perlukan makanan yang sentiasa ada dan boleh didapati, sebaiknya menginaplah di hotel atau hostel sekitar bandar Sapa.

Mengapa kita tak perlu buat tempahan homestay di agensi pelancongan atau di tempat-tempat penginapan?

Agensi-agensi pelancongan atau pihak hotel akan beritahu kita yang wanita-wanita ini tidak mempunyai lesen atau permit yang sah untuk pelancong menginap dirumahnya dan ia mungkin mendatangkan masalah sekiranya berlaku apa-apa.

Bagi saya, itu hanyalah alasan mereka untuk ‘mencantas’ pendapatan kaum-kaum etnik tempatan di sini. Jika kita menempah secara langsung dengan etnik tempatan, wang yang dibayar sepenuhnya akan dapat pada mereka dan tidak dapat ‘dimakan’ sedikitpun oleh agensi-agensi tersebut.

Selain itu, kita dapat terus keluar dari bandar yang dipenuhi pelancong ini dan terus ke kampung mereka di pedalaman. Selama 3 hari, saya langsung tidak bertemu pelancong asing yang lain kecuali Peter & Nara. Yang lain semuanya kaum tempatan.

Saya juga rasa lebih gembira sebab duit yang saya bayar tidak melalui ‘orang tengah’, sebaliknya terus kepada keluarga Auntie Ling sepenuhnya.

Saya sangat sukakan pengalaman saya di sini dan kalau boleh, saya nak tinggal di sini lebih lama! Sepanjang saya di sini, hos saya telah membawa saya berjalan-jalan di kawasan sekitar, melihat tanaman, binatang ternakan, dan juga memperkenalkan saya kepada keluarga dan jiran-jiran setempat.

Ini membuatkan saya rasa diri ini adalah sebahagian daripada keluarga mereka sepanjang tempoh menginap. Inilah sebahagian pengalaman indah saya tinggal bersama kaum etnik minoriti di sini.

Jadi jika anda mahu merasai pengalaman tinggal bersama kaum etnik, seeloknya buatlah deal terus dengan mereka sebab secara tak langsung anda dah menyuntik wang terus ke dalam ekonomi mereka tanpa melibatkan orang tengah.

Selain dapat mewujudkan pengalaman kembara yang pure untuk diri sendiri, mungkin anda juga telah membantu mereka mencipta kehidupan yang lebih baik untuk diri mereka sendiri.

Usaha ini bukan saja telah membuka pintu rumah mereka se,uasnya kepada duia luar sehingga traveler boleh merasai sendiri warisan budaya etnik mereka yang pelbagai, malah membawa masyarakat tempatan bersama-sama untuk menjana pendapatan, seterusnya membantu mereka membina masa depan yang lebih cerah untuk generasi mendatang.

Perhaps the most memorable part was learning not about the differences between people, but how similar we all are in the end.

Baca lagi: 5 Tip ‘Survival’ Jika Anda Naik Bas Malam Sewaktu Travel Di Vietnam