Semalam, semasa on the phone dengan emak, emak memberitahu dirinya bertembung dengan jiran lama kami, Kak Non ketika keluar makan bersama ayah.

Kak Non ialah jiran kami semasa di Lorong 3A Kampung Bahagia kira-kira 13 tahun yang lepas. Apabila kami berpindah ke kuarters hospital, jarang sekali dapat bertemu dengan mereka serta jiran-jiran lama dahulu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Dari perbualannya, saya menangkap nada gembira emak dan ayah dapat bertemu kembali jiran sama susah senang dahulu.

Masing-masing sudah semakin baik kehidupannya berbanding dahulu. Anak-anak juga ada yang sudah berkahwin dan mempunyai anak sendiri.

Terbayang kembali kenangan-kenangan lama semasa di Lorong 3A. Terdapat kira-kira 20 buah rumah di sepanjang lorong tersebut.

Rumah ketiga di baris hadapan adalah rumah Cik Ti dan Cik Mail. Rumah kami berada jarak lima rumah dari rumah mereka.

Selang dua buah rumah sebelum rumah kami didiami oleh Kak Non dan Abang Al Mansuri. Sebelah kiri rumah kami pula ialah keluarga Cik Ya dan Cik Epul.

Setiap daripada mereka ini punya sumbangan besar dalam sebahagian kehidupan kami.

13 tahun dahulu, kehidupan kami benar-benar susah. Seperti kata pepatah, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tidak makan itu perkara biasa.

Waktu itu, ayah melakukan pelbagai jenis kerja untuk menampung kehidupan selepas berhenti dari perkhidmatan tentera. Emak pula hanya suri rumah tangga.

Tetapi semasa adik bongsu saya bersekolah di tadika KEMAS, emak ditawarkan oleh penyelia tadika tersebut sebagai tukang masak tetapi emak bekerja tidak lama hanya sehingga adik tamat tadika.

Saya pula tinggal di asrama SMK Seri Perak semasa tingkatan satu. Pada masa itu, teknologi tidaklah maju seperti sekarang. Untuk berhubung dengan keluarga di rumah memang payah lagi-lagi rumah kami tidak mempunyai telefon.

Di rumah Cik Ti dan Cik Mail lah kami menumpang belas, menggunakan telefon rumah mereka. Saya akan menghubungi rumah Cik Ti dan Cik Ti akan memanggil emak di rumah untuk menjawab panggilan tersebut.

Pernah saya menangis-nangis dalam telefon, laju Cik Ti memanggil emak dek risaukan keadaan saya walhal pada masa itu saya menangis kerana masih tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan dan rakan-rakan di asrama.

Jika ingin ke pekan pula, memang agak susah kerana bas tidak masuk sehingga ke dalam Kampung Bahagia. Hanya berhenti di persimpangan jalan raya besar yang jaraknya sangat jauh dari rumah.

Melihat kesusahan ini, sekali lagi Cik Ti dan Cik Mail bermurah hati meminjamkan kami basikal agar mudah untuk kami ke pekan.

Jika mengikut jalan belakang, sudah tidak jauh dari pekan. Hanya perlu menyeberangi jambatan kereta api lama.

Lama juga kami hanya menaiki basikal jika ingin ke pekan. Apabila berpindah ke kuarters, basikal tersebut kami ingin pulangkan semula tetapi kedua mereka menolak. Katanya gunakan untuk masa hadapan.

Kak Non pula seorang yang rajin memasak. Jika dia memasak lebih pasti tidak lupa untuk dihulurkan kepada kami.

Kerja ayah yang tidak tetap, menyebabkan ada masanya pasti akan kekurangan duit. Dengan merekalah kami selalu berkongsi juadah. Makan nasi berlaukkan telur atau kicap sahaja.

Masih saya ingat perbualan saya dan Epi, anak bongsu Kak Non,

“Epi, mak masak apa hari ni?”
“Mak masak telur hijau.” jawab Epi.
“Eh opah (Epi panggil emak saya opah kerana pangkat saudara yang saya sendiri tidak ingat kaitannya) pun masak telur jugak. Telur sambal.”

Begitulah variasi menu telur yang dimasak oleh emak kami supaya tidak jemu.

Setiap kali hari raya pula, Kak Non juga rajin membuat biskut. Keluarga saya tidak mampu hendak membeli biskut raya kerana harga yang agak mahal.

Dari anak-anak Kak Non lah kami merasa pelbagai jenis biskut raya sehinggakan mereka tipu badam itu biji rambutan pun saya percaya. Begitu naifnya saya masa itu.

Keluarga Cik Ya dan Cik Saiful pula berpindah ke rumah sebelah kami setelah Cik Mail membeli rumah di bahagian hadapan.

Cik Ya orangnya riuh berbeza dengan suaminya, seorang yang pendiam tetapi mereka berdua sangat prihatin dengan kebajikan dan kesusahan kami.

Kami biasa berkongsi bahan mentah untuk kegunaan bersama. Jika ada baju-baju yang elok, Cik Ya tidak lokek memberi. Kerana itulah semasa di asrama, saya tidak ada baju baru. Hanya memakai baju-baju pemberian jiran.

Melalui Cik Ya jugalah bermulanya detik perubahan kehidupan kami setelah bertahun-tahun merempat di kampung sendiri.

Satu hari, Cik Ya mencadangkan kepada ayah untuk memohon jawatan kosong sebagai attendan (kini dikenali sebagai Pembantu Perawatan Kesihatan atau singkatannya PPK) menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Perak.

Ayah bersetuju dan menghantar borang permohonan. Kebetulan, tarikh temu duganya jatuh pada hari lahir adik kedua saya, Angah. Kata emak, jika ada rezeki anak, insya-Allah adalah rezeki ayah untuk jawatan tersebut.

Benar kata emak, apabila jawapan temu duga dikeluarkan, ayah berjaya dalam temu duga tersebut dan melaporkan diri di Hospital Teluk Intan.

Sejurus menerima tawaran tersebut, kami memohon untuk tinggal di kuarters. Alhamdulillah permohonan itu berjaya dan berpindahlah kami ke kuarters selepas itu.

Semasa proses perpindahan, saya di asrama, maka saya kurang pasti bagaimana suasana perpisahan pada ketika itu.

Saya pasti bukan mudah untuk meninggalkan sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan tetapi demi taraf hidup yang baik direlakan jua.

Dalam Islam itu sendiri telah menggariskan beberapa hak terhadap jiran. Antaranya;

1. Jika ia meminta tolong kepadamu, engkau akan menolongnya.
2. Jika ia meminta pinjaman, engkau akan memberinya pinjaman.
3. Jika ia meminta sesuatu, engkau akan memberinya.
4. Jika ia sakit, engkau akan menziarahinya.
5. Jika ia mendapat sesuatu kebaikan, engkau ucapkan tahniah kepadanya.
6. Jika ia meninggal dunia, engkau menghantar jenazahnya dan sebagainya.

Ketahuilah walau jasad tidak selalu bertemu, jasa kalian tidak pernah kami lupakan hatta sebesar biji sawi. Rentetan dari itulah, jika kami bertemu di pekan Teluk Intan atau di mana sahaja, suasana menjadi seperti bertemu semula saudara-mara yang sudah lama berpisah.

Saya sentiasa mengingatkan diri serta adik-adik jangan berkira dalam membuat kebaikan kerana kami sendiri pernah merasai kebaikan orang lain. Boleh jadi kehidupan kita pada hari ini kerana terangkatnya doa-doa mereka.

Cik Ti. Cik Mail. Kak Non. Abang Al Mansuri. Cik Ya dan Cik Epul. Semoga kebaikan dan rahmat Allah sentiasa mengiringi kehidupan kalian dan keluarga di mana sahaja kalian berada. Amin.