Bagi anda yang baru sahaja memiliki iPhone, tentulah perkara pertama yang anda lakukan adalah memuat turun aplikasi. Tapi bagaimana pula dengan muzik? Kebanyakan kita menggunakan aplikasi penstriman muzik seperti JOOX, Spotify dan lain-lain lagi sama ada secara percuma mahupun berbayar.

Walaubagaimanapun, mungkin anda belum pernah mencuba aplikasi Apple Music yang tersedia dalam setiap peranti iOS. Berikut merupakan pengalaman saya menggunakan Apple Music sepanjang langganan saya selama setahun.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Apa itu Apple Music?

Apple Music adalah sebuah aplikasi penstriman muzik dari Apple yang setanding dengan Spotify, TIDAL dan kebanyakan pesaingnya yang lain. Memandangkan ianya tersedia dalam setiap peranti iOS termasuk iPhone, iPad dan Apple TV, pengguna hanya perlu log masuk Apple ID sedia ada untuk memulakan tempoh percubaan percuma selama 3 bulan. Pakej langganan bulanan selepas tamat tempoh percubaan adalah RM14.90 bagi individu dan RM22.90 untuk 6 orang ahli keluarga.

​Buntu dengan pemilihan lagu? Mulakan dengan ‘For You’

Pengguna yang pertama kali mengaktifkan Apple Music perlu memilih tiga artis dan genre muzik yang disukai supaya Apple dapat mencadangkan beberapa lagu dan album yang berkaitan.

Pada permulaannya ia agak janggal dengan pilihan artis dan lagu yang saya tidak pernah dengar. Tetapi pilihan yang dibina semakin baik setiap minggu. Ramai yang mengatakan fungsi ini adalah kekuatan Apple Music selepas mengambilalih syarikat dan pembina aplikasi Beats Music yang suatu ketika dahulu terkenal dengan algoritma muzik yang terbaik.

‘Browse’ memudahkan pencarian lagu terbaru dan terbaik

Apple Music mempunyai katalog muzik terluas berbanding pesaing terdekatnya Spotify, dengan 40 juta lagu. Kebanyakan artis terkemuka memilih Apple Music kerana pengaruhnya dalam industri muzik antarabangsa dengan aplikasi iTunes. Contohnya Taylor Swift melepaskan semua katalog muziknya pada Apple Music berbanding Spotify.

Walaubagaimanapun, kebanyakan artis lokal Malaysia mempromosikan single terbaru melalui Spotify kerana fungsinya yang lebih sosial. Jika anda gemarkan kombinasi katalog lagu yang luas dan terbaru, pilihlah Apple Music. Jika tidak, Spotify mungkin pilihan yang terbaik buat anda dengan pilihan lagu tempatan yang lebih banyak.​

‘Radio’ 24 jam yang dihoskan oleh DJ dan artis terkemuka

Salah satu fungsi tambahan yang tidak wujud pada mana-mana aplikasi penstriman muzik yang lain adalah Beats 1. Stesen radio yang bersiaran secara langsung ke 100 negara 24 jam sehari.

Apa yang menarik mengenai radio Beats 1 adalah program yang terkandung di dalamnya dihoskan oleh artis dan DJ yang terkemuka seperti Elton John, Drake, Major Lazer dan ramai lagi.

Setakat ni belum ada lagi pilihan lagu Melayu walaupun Beats 1 pernah memasangkan lagu Yuna suatu ketika dulu. Walaubagaimanapun, Radio juga tidak terhad pada siaran langsung. Ia juga mempunyai fungsi dimana pengguna boleh membina playlist lagu berdasarkan lagu yang tertentu secara automatik.​

Kesemua koleksi muzik dalam ‘Library’

Kesemua muzik yang anda simpan sama ada melalui katalog Apple Music, Beats 1 mahupun iTunes dihimpunkan di sini. Ia terbahagi kepada kategori tertentu seperti Playlists, Albums dan Videos.

Aturan antaramukanya juga sangat mudah walaupun memakan banyak ruang pada skrin disebabkan penggunaan font dan butang yang besar. Saya sarankan penggunaan swipe dengan satu jari untuk navigasi yang lebih cekap kerana konsepnya yang tidak lagi memadatkan kesemua pautan dalam satu halaman.

Adakah Apple Music berbaloi?

Jika anda pengguna iOS dan inginkan sesuatu yang terbaik dan konsisten dari segi kandungan, pilihan dan fungsi, Apple Music pastinya menjadi pilihan yang paling berbaloi.

Ia juga boleh dikawal menggunakan Siri, juga boleh diakses melalui Apple TV dan PC menggunakan iTunes walaupun masih lagi tidak boleh diakses melalui web browser.

Dari segi harga, Apple menawarkan harga setanding dengan pesaingnya yang terdekat. Dengan pelan individu bermula dengan RM14.90 sebulan atau anda boleh dapatkan pelan famili yang ternyata lebih jimat dengan harga RM22.90 untuk perkongsian 6 orang pengguna.

Pengguna Android juga boleh mencuba sendiri Apple Music dengan aplikasi rasmi sedia ada di Google Play Store. Dengan tempoh percubaan penuh percuma untuk tiga bulan pertama, ia adalah satu-satunya servis penstriman muzik yang memberikan jangkamasa yang agak panjang untuk pengguna mencubanya.