Hari Raya Eidul Fitri merupakan perayaan yang terbesar dan paling dinanti-nantikan oleh semua masyarakat Malaysia terutamanya bagi mereka yang beragama Islam iaitu majoritinya berketurunan etnik Melayu. Malah, mereka yang bukan beragama Islam dan bukan etnik Melayu pun turut ternanti-nantikan perayaan ini.

Jika ditanya kepada kepada saya, etnik Melayu di Malaysia sebenarnya kaya dengan budaya dan adat resam. Malah, antara waktu yang sesuai untuk kita mempromosikan budaya masyarakat Malaysia terutamanya etnik Melayu adalah ketika waktu bulan Ramadhan dan bulan Syawal.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Mengapa? Ini kerana, ketika inilah kita akan dapat merasai dan melihat banyak perkara yang jarang-jarang sekali kita alami atau jumpa, kebiasaannya kita akan dapat merasai dan temui ketika masuk bulan Ramadan dan Syawal.

kuih:vckt

Jika anda ada rakan-rakan warga asing dan berkesempatan membawa mereka ke kampung halaman anda, adalah lebih baik untuk kita menjemput mereka menyambut Ramadhan dan Syawal bersama-sama dengan keluarga kita sekali.

Keluarga kami berkesempatan meraikan perayaan Eidulfitri bersama-sama dengan 4 orang rakan saya yang berasal daripada Jepun pada tahun ini. Setelah bersama keluarga kami sejak hari terakhir Ramadan sehingga hari ke-2 Syawal. Ini pandangan mereka tentang Ramadan dan Syawal;

Morita (30 tahun): “Saya dan Isteri telah tinggal di Malaysia selama 1 tahun 6 bulan, kami tahu akan kewujudan perayaan ini tetapi kami tidak berkesempatan untuk meraikan perayaan ini kerana tiada siapa yang sudi menjemput kami untuk meraikan perayaan ini bersama-sama. Namun, tahun ini saya dapat merasai perayaan Eidulfitri apabila saya dipelawa oleh rakan saya (Syukhri) pada beberapa bulan yang lalu.

rendang:vckt

Tanpa berfikir panjang, saya dan isteri saya bersetuju untuk bersama-sama merayakan Eidulfitri pada tahun ini. Ia merupakan perayaan yang paling meriah bersama ahli keluarga yang pernah saya sertai selain Majlis Perkahwinan saya. Saya berpeluang turut serta sembahyang sunat Eidulfitri di Masjid dan ia merupakan kali pertama saya menyertai solat bersama-sama umat Islam. Saya dan isteri juga berpuasa pada hari terakhir bulan Ramadan dan berbuka puasa dengan ahli keluarga Syukhri. Saya tidak sangka yang beliau mempunyai keluarga yang sangat besar tetapi itulah yang membuatkan suasana perayaan ini menjadi meriah dan seronok untuk dirasai bagi saya dan isteri. Ia pengalaman yang tidak akan saya lupakan sehingga akhir hayat saya”.

Reina (21 tahun): “Apabila saya dijemput untuk menyertai perayaan Eidulfitri, Pada mulanya, saya hanya terfikir tentang makanan yang istimewa sahaja. Akan tetapi, perayaan ini menjangkau jangkaan saya. Di pagi Syawal, setelah kaum lelaki selesai solat, kesemua ahli keluarga akan berkumpul dan melakukan tradisi ‘saling meminta maaf’  diantara mereka.

Saya sebagai rakyat Jepun, kami tiada budaya seperti ini, apabila saya melihat suasana ini, saya tidak dapat menahan air mata saya daripada mengalir kerana semua orang kelihatan sedih ketika meminta maaf antara satu sama lain walaupun kali pertama saya berjumpa dengan ahli keluarga Syukhri. Ia memberi mesej yang jelas kepada saya bahawa Umat Islam di Malaysia sangat mementingkan hubungan kekeluargaan dan itulah yang kekurangan yang paling ketara yang wujud di masyarakat Jepun pada hari ini terutamanya generasi muda. Saya sangat berharap dapat membawa keluarga saya datang ke Malaysia untuk merasai suasana perayaan Eidulfitri di masa akan datang.”

masak

Yuriko (30 tahun): “Perayaan Eidulfitri sangat istimewa kepada saya kerana terdapat pelbagai hidangan tradisional dihidangkan untuk dijamu oleh kesemua ahli keluarga dan tetamu yang hadir pada hari tersebut. Saya berpeluang untuk menganyam ketupat serta memasak rendang bersama-sama keluarga kepada sahabat suami saya.

Apa yang menariknya tentang budaya masyarakat Melayu Muslim di Malaysia, mereka tidak kedekut untuk menghidangkan makanan dan minuman kepada kesemua para tetamu walaupun tetamu bersebut datang dengan bilangan ahli keluarga yang ramai. Budaya memberi duit raya kepada kanak-kanak setelah bersalaman meminta maaf mengingatkan saya kepada perayaan kami di Jepun iaitu perayaan Tahun Baru. Ia merupakan pengalaman yang sangat indah untuk dikongsi kepada kesemua warga asing yang tinggal di negara yang bertuah ini.

Yukiko (22 tahun): “Saya mengenali Syukhri beberapa bulan yang lalu dan pada ketika itu beliau baru sahaja pulang daripada Jepun. Ketika beliau membantu saya untuk berjalan-jalan di kawasan kampung beliau, beliau menceritakan tentang bulan Ramadan dan perayaan Eidulfitri. Saya nekad untuk menyertai perayaan ini memandangkan saya akan pulang semula ke Jepun pada tahun ini. Saya turut berpuasa bersama-sama dengan beliau serta ahli keluarga beliau.

makan

Akan tetapi, saya terlupa untuk bersahur, namun saya nekad untuk teruskan berpuasa sehinggalah waktu Maghrib. Saya terkejut kerana saya mampu untuk melakukannya kerana saya fikir mungkin saya tidak dapat bertahan kerana saya tidak makan dan minum lebih kurang 20 jam. Pada malam raya, kami bersama-sama menyusun kuih mengikut balang kuih dan sempat saya merasa setiap kuih yang ada iaitu lebih kurang 12 jenis kuih.

Apa yang menarik perhatian saya ialah budaya saling kunjung mengunjungi, bukan sahaja rumah ahli keluarga tetapi rumah jiran yang terdekat. Di Jepun, kami tiada budaya kunjung mengunjungi rumah jiran terdekat kerana masing-masing hanya sibuk dengan hal masing-masing sahaja. Bagi saya, perayaan Eidulfitri adalah ibu segala perayaan kerana ia melibatkan kesemua kominiti yang terdapat di sesebuah kawasan. Saya belum pernah jumpa mana-mana perayaan di dunia ini yang meriah tapi pada masa yang sama, memberikan kesedaran kepada saya tentang betapa pentingnya menjaga hubungan kekeluargaan serta orang sekeliling kita. Saya akan menceritakan pengalaman ini kepada kesemua ahli keluarga saya dan sahabat saya apabila saya pulang ke Jepun nanti.”

Dengan membawa mereka semua untuk turut serta bersama-sama dengan keluarga saya pada perayaan ini, sekaligus dapat memperkenalkan budaya masyarakat kita kepada mereka serta memberi pengalaman yang baharu kepada mereka. Tidak ramai dalam kalangan warganegara asing yang ada di Malaysia dapat merasai menyambut Ramadan dan Syawal terutamanya apabila mereka berada di bumi asing. Maka, peranan kita adalah untuk membawa dan memperkenalkan mereka kepada budaya dan adat di negara kita.

photo

Benar, ia bukanlah suatu yang mudah dan senang kerana banyak aspek yang harus diambil kira sebelum dapat melakukan perkara tersebut. Tidak semua orang yang mampu dan berkesempatan untuk melakukannya. Kadang-kala, ia memerlukan sedikit pengorbanan dalam bentuk wang ringgit, tenaga ataupun masa serta mungkin juga halangan dari sudut bahasa itu sendiri.

Namun, percayalah, suatu hari nanti, pasti Allah akan membalas semula setiap kebaikan yang kita lakukan kepada setiap insan, tanpa mengira mereka berasal daripada mana sekali pun. Kerana Allah telah berjanji akan membalas setiap perbuatan baik yang kita lakukan.

Dikesempatan ini kami ingin mengucapkan;
Happy Eidulfitri (Inggeris)
Eidul Mubarak (Arab)
Eito Sai Omedato Gozaimasu (Jepun)
Eidul Chukka Hamnida (Korea)
Selamat Hari Raya Eidulfitri, Maaf Zahir dan Batin (Bahasa Melayu)

Semoga Allah menerima amalan kami dan anda semua.
(Nota seorang musafir)