Kali terakhir saya mendaki adalah pada tahun 2014 di Bukit Pergasingan, Lombok, Indonesia. Disitu jugalah berlakunya titik hitam apabila saya patah tulang belakang setelah membuat ‘cliff dive’ di Benang Stokel. Mendaki adalah salah satu hobi saya, terasa sedih dan kecewa kerana mungkin tak dapat teruskan aktiviti outdoor lepas ni.

Proses pemulihan tulang belakang berjalan lancar dan saya mula kembali aktif bersenam di pertengahan tahun 2015. Aktiviti senaman utama adalah renang kerana itu adalah senaman terbaik untuk menguatkan otot belakang dan tak melibatkan beban. Kebetulan anak-anak saya memang ‘hantu air’, jadi sambil berenang, kami beriadah sekeluarga di tepi kolam.

our_business_resize
HYPE
TNB Fokus Bantu 7.6 Juta Pelanggan Dengan Bantuan Prihatin Elektrik
Baca lagi →

Tahun ni sakit belakang sudah hampir hilang sepenuhnya. Yang penting, postur badan harus dijaga dan saya tak duduk pada jangkamasa panjang. Anak-anak dah semakin besar dan mungkin sudah tiba masanya untuk kembali aktif
aktiviti luar.

Kasihan kat budak-budak ni, tempat permainan terdekat kebanyakannya terletak di dalam pusat membeli belah. Sudah lah berbayar, tempoh diberi agak terhad dan terpaksa menunggu giliran sekiranya tempat permainan
tersebut penuh.

Setelah berbincang dengan orang rumah, kami memutuskan untuk pergi mendaki. Nak cuba bukit yang rendah-rendah dulu sebab dah lama sangat tak mendaki.

Fiz Said, rakan rapat kami yang masih aktif mendaki dan mengambil gambar terdengar rancangan kami terus ajak kami mendaki di Bukit Panorama, Sungai Lembing, Pahang. Buat research sikit di Google, kami terus bersetuju dan yang agak gila sikit, kami memutuskan untuk membawa anak-anak kecil kami sekali.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Persiapan mula dibuat seminggu sebelum pendakian. Kami belikan kasut sukan yang baru untuk anak kami dan sepanjang minggu itu kami dah mula ‘brainwash’ mereka dengan bermacam-macam cerita seronok bila mendaki nanti. Contohnya, “Kakak boleh tengok awan dekat-dekat!”, “Nanti kita boleh mandi dekat air terjun ok?”, dan macam-macam lagi.

mendaki-dengan-anak-1

mendaki-dengan-anak-4

Pendakian

Kami menggunakan beg Deuter Kid Comfort 2 yang kami beli tiga tahun lepas. Lagi satu beg kami pinjam dari kawan. Khas untuk angkut budak-budak ke ekspidisi yang sebegini. Memang jarang guna tapi sangat berbaloi. Kami bertolak dari Cyberjaya jam 2 pagi dan tiba di Masjid Sungai Lembing tepat jam 6 pagi. Selesai solat Subuh, kami terus mendaki ke puncak.

Disebabkan musim cuti sekolah baru bermula, memang ramai pendaki-pendaki khususnya budak sekolah yang datang dengan bas. Memang penuh tapi seronok dapat tengok semangat mereka. Sebelum naik, ada tandas awam yang bersih untuk pendaki. Lebih kurang 90% laluan naik adalah tangga simen beserta tempat pegangnya sekali. Memang selesa.

15 minit pertama pendakian adalah yang paling mencabar kerana laluan agak curam. Anak-anak kami masih nyenyak tidur dalam beg Deuter kami. Mungkin sebab suhu pagi yang nyaman, beg yang selesa dan berbuai-buai semasa mendaki, memang lena diulit mimpi dibuatnya. Elok juga bawa lampu suluh kepala kerana keadaan awal pagi yang masih gelap.

Tak sampai suku perjalanan, anak sulung kami yang berumur 3 tahun sudah mahu keluar dari beg dan mahu mendaki sendiri. Walaupun lubang hidung saya kembang kempis mencari oksigen, terasa bangga melihat anak kecil kami ada inisiatif sendiri nak mendaki.

Sepanjang perjalanan asyik bertanya “Bila boleh pegang awan?”, kami menyahut, “Macam mana kakak nak pegang, awan dah kat bawah tu”, sambil menuding jari kearah lautan awan yang luas dikaki gunung. Memang cantik!

Setelah 30 minit, laluan menjadi semakin landai, makin seronok pendakian. Masa tengah curam tadi, nak minta air pon guna bahasa isyarat.

Kami bersembang sambil mendaki. Terdapat macam-macam bunyi haiwan dan serangga, maka soalan bertubi-tubi diajukan oleh anak kami tentang bunyi-bunyi yang didengar. Kepada ibu bapa yang membawa anak kecil mereka, pastikan nama-nama dan bunyi haiwan dan serangga dalam kepala anda.

Kami tiba dipuncak sejam kemudian, masyaAllah memang cantik pemandangan dari puncak Bukit Panorama ni. Yang menariknya adalah lautan awan yang terbentang masih kelihatan walaupun pada ketika itu sudah jam 8 pagi.

mendaki-dengan-anak-2

mendaki-dengan-anak-3

Ramai yang mengucapkan tahniah kepada kami kerana berjaya sampai keatas. Yang penting, kita mendaki ikut keupayaan masing-masing. Tak perlu panjat laju-laju pada awalnya kemudian muka bertukar biru di pertengahan jalan.

Saya juga amat berbangga kerana rakan-rakan saya yang lain juga berjaya sampai ke puncak. Mereka bukan sahaja mendaki, mereka juga membawa plastik kosong dan mengutip sampah-sampah kecil yang dibuang oleh orang yang ‘tak pergi sekolah’.

Saya juga kecewa dengan beberapa kumpulan remaja yang terpekik terlolong di puncak bukit. Kelihatan beberapa pendaki lain agak terganggu dengan gelagat mereka. Bayangkan apabila tetamu datang rumah anda dan terjerit-jerit di rumah anda, pasti kita akan rasa tak selesa. Kita datang dengan adab, bukan biadap.

Kawasan Sungai Lembing juga terkenal sebagai pusat pelancongan di Pahang. Selesai mendaki, kami menaiki Shuttle Drop-On Drop-Off dan melawat beberapa tempat tarikan, antaranya bekas lombong bijih, jambatan gantung, menaiki keretapi didalam lombong bijih, melawat muzeum dan akhir sekali bermandi-manda di air terjun pandan. Tak sabar nak cari destinasi lain yang mesra kanak-kanak.

Berikut video yang telah saya hasilkan daripada pendakian ini. Selamat menonton.

Baca lagi: Pengalaman Saya Dan Keluarga Jelajah Pantai Timur Dengan Kancil

Artikel di atas disumbangkan oleh Tamimi Tarmizi. Boleh ikuti beliau di sini.

Anda Mungkin Suka