Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Kami sampai awal. Sekitar sebelum jam 6.00 petang. Ambil wuduk siap-siap dan berjaga-jaga supaya tidak batal. Kemudian, kami membeli berger di luar dan duduk di mana-mana yang kosong betul-betul di kawasan orang menjual.

Bersembang dengan Kak Nurul, CF, Hafiz, Lyn, Abang Chedd, Azwan yang sekejap ke sana sekejap ke sini, Liah, Afifah serta menanti Diana dan Marr sampai.

Rata-rata memberi jangkaan begitu begini tentang hal malam tadi. Yang mana semua mahukan begitu begini. Ada antara yang bersungguh-sungguh mahu lagu itu, ada yang tidak kisah. Habis sahaja konsert, kami semua berkumpul ala ‘post morterm’, makan-makan bersembang, ada jugalah menahan sebak ada juga yang ketawa sampai meja sebelah duk pandang-pandang. Sampai rumah jam 3.30 pagi. Hehe.

Akhirnya selepas 3 kali menonton, baru saya dapat apa maksud metafora wayang kulit yang dibawa oleh Siti Nurhaliza On Tour kali ini. Awal persembahan, kami semua diperlihatkan dengan satu montaj sekitar 1-2 minit tentang seorang budak yang memegang bakul.

Berdiri di hadapan ibu bapanya dan kemudian keluar dari rumah. Selepas itu, budak itu menjadi dewasa dan disisip terus keluar seperti melodi di bibirnya dan beliau terbang ke angkasa. Rambutnya meliuk sana sini dan akhirnya beliau menyambut sebiji bola yang dilukis seperti bumi.

Dan kami semua bersorak gembira apabila sambutan dua tangan kepada objek seperti bola itu membuka tirai besar yang berada di hadapan kami. Lalu berdirilah di hadapan semua manusia yang suaranya itu membawa banyaknya makna dalam kehidupan seorang yang menjadi rakyat Malaysia dari tahun 1996 lagi.

Memilih pula Badarsila sebagai pembukaan adalah sebuah symbol yang Siti ini masih lagi merendah diri. Masih menjadi manusia yang sama seperti yang dia bilang malam tadi “dulu-dulu saya ini budak hingusan. Banyaknya saya kena belajar.”

Lagu itu tentang kain putih yang bersih. Yang mana ianya sering bersembunyi kerana cantik, sering juga menyorok kerana menjaga. Namun kehebatannya itu disebut-sebut hingga menjadi bualan dalam istana dan akhirnya menjadi kesukaan dari yang berada hinggalah ke taman dan desa sana. Lalu dipakai dan kemudiannya menjadi paduan keindahan orang-orang berbudi.

Siti meneruskan lagi dengan Joget Berhibur, yang mana lagu ini meminta-minta orang lain menyambut dengan tepuk tangan dan terus menerus kuasa lagu tradisional seperti Nirmala, Hati Kama dan Cindai ini menggamit kerinduan kepada Almarhum Pak Ngah.

Beberapa kali Siti sebak. Katanya, konsert ini mengimbau banyaknya kenangan 20 tahun lalu yang mana lokasi itu pernah menjadi lokasi konsertnya yang pertama.

Saya sangat suka segmen mengingati Almarhum Dato Adnan Abu Hasan. Yang mana inilah lagu-lagu yang memperkenalkan Siti kepada satu Malaysia. Dari Jawapan di Persimpangan dan Jerat Percintaan, Siti sengaja mengalunkan lagu tersebut dengan nada sama semasa kami melihatnya di kaca tv lebih 20 tahun lepas.

Beliau ini sudah menghasilkan lebih 25 album. Juga pernah merakamkan lebih 250 lagu. Lebih dari itu, jika nak dikira berapa kali beliau menyanyi di konsert, beliau sudah adakan lebih 53 kali di atas banyaknya pentas. Dan malam tadi, Siti berdiri gah dengan persalinan yang cukup indah, persembahan yang memukau serta lenggok suara dan tari yang sangat seiring.

Boleh kata kami semua tidak percaya yang sudah 32 lagu dinyanyikan dalam tempoh tersebut.

Siti bercerita di dalam lagu-lagunya. Sampai ke Biarlah Rahsia. Kita boleh lihat wanita ini menyampaikan dengan sangat beremosi. Saling semua mengikuti dengan penuh perasaan. Lagu ini antara irama yang pernah menjadi nadi dalam perjalanannya yang mana ianya dikeluarkan sebelum beliau menjadi suri hari Dato Seri Khalid Mohd Jiwa.

Lalu beliau meneruskan semuanya malam tadi dengan lagu-lagu cinta, dan beliau mengisi setiap hati kami semua dengan jiwang-jiwang keistimewaan lagu-lagu hitsnya suatu masa lalu.

Terus timbul kisah keluarga, yang diikuti dengan lagu untuk kesayangannya yang terbaharu, Siti Aafiyah. Lagu Ting Tang Ting juga dinyanyikan bersama. Sampai kami terasa sisi comel masing-masing dan mengingati anak-anak di rumah.

Boleh kata, kami semua sepakat dalam sebak apabila buat kali pertamanya di dalam tour ini, Siti menunjukkan gambar suaminya yang kemalangan beberapa tahun lalu. Dan segala muram dan suram suasana ketika itu disampaikan dengan lagu buat suami tercinta, Tuhan Jaga Dia Untukku.

Grafik dan permainan pentas menjadikan kami tidak sedar sahaja air mata mengalir ke pipi. Ianya sungguh simbolik seorang setia yang mana dirinya ini diangkap menjadi puteri namun masih berbakti dengan tangan sendiri untuk menjaga suami yang yang dicintai.

Siti menghabiskan konsert malam tadi dengan Bersandar Cinta. Lagu ini dibuat dengan sangat teliti dari album SimetriSiti. Yang mana naik turun melodinya itu disusun dengan sungguh menyakinkan. Kerendahan dan kemurahan budi insan ini disampaikan dengan lagu tersebut. Lalu boleh kata kiri dan kanan kami, mengesat-ngesat air mata.

Benar, inilah lagu yang disampaikan untuk peminatnya. Yang dari 1996 melihat beliau muncul dengan baju merah, seluar hitam di kaca TV1 untuk berlawan berperang suara dalam Hiburan Minggu Ini, akhirnya kini masih boleh berdiri seperti sama untuk terus berbakti kepada yang meminati arena ini.

Konsert Siti kali ini jujurnya adalah perjalanannya yang dirungkai pahit manis. Yang mana lagunya itu disusun supaya kita mengerti Siti yang hingusan dulu adalah Siti yang dewasa sekarang. Yang mana walau seluruh Malaysia memilikinya, meminatinya, menyukainya, namun kita semua perlu beringat, berkali-kali Siti mengulang ayat sama,

“Terima kasih buat suami, yang memberi restu, yang sentiasa memberi sokongan kepada Siti untuk terus menghiburkan orang.”

Dan inilah kata kunci beliau untuk konsert kali ini. Siti kini berkongsi hidupnya itu bersama keluarga yang diidam-idam selama ini. Beliau tahu dan faham yang mana kisahnya itu walau belum pernah dibukukan di mana-mana, ia tetap ada di sanubari seluruh rakyat Malaysia.

Untuk kekal lebih 20 tahun, berdiri dalam kelompok manusia yang berebut membeli tiket hingga penuh 1 stadium, 10,000 orang, bukan kerja senang. Momentum kerja keras serta tidak pernah kenal erti rehat, hanya semata memenuhi kehendak dan kebahagiaan peminat, adalah kerja yang beliau sangat dedikasikan.

Dan kita sebagai peminat, juga perlu bekerja untuk beliau. Sentiasa menghormati, terus juga menyayangi dalam modus yang berbeza. Hormat dan sayang ini jika disatukan, timbullah rasa tolak ansur, dan kita semua perlu mengakui, Siti hari ini adalah seorang ibu. Yang mana perlu habiskan banyaknya masa untuk bersama anak tersayang, keluarga tersayang juga teman-teman rapat yang beliau ada.

Malam tadi, kami mengenali Siti Nurhaliza. Dari seorang gadis menjual kuih. Berjalan sana sini di Pekan Kuala Lipis, Pahang, kemudiannya menaiki bas loncat-loncat dari Lipis ke Raub, Raub ke Bentong, Bentong ke Kuala Lumpur, kemudian menumpang di rumah Al-Marhum Dato Adnan Abu Hasan, memenangi juara lagu 1996 dan meraikan kejayaan itu di sebuah restoran tepi jalan menikmati nasi putih dan Tomyam dan kemudian balik semula ke Kuala Lipis malam itu juga.

Siti melambai kami dengan lambaian yang sama. Yang mana wanita ini sudah pun mencapai awan. Namun beliau masih turun membumi dan menginjak sisi tanah itu bersama-sama yang lain. Masih lagi memegang bakul, mengingati kisah itu dan seringnya menoleh ke belakang yang beliau ini kekal anak kampung yang dulunya menyeri sebuah keluarga, dan hari ini memberi cahaya kepada sebuah negara dan jiran-jirannya. Melempias semuanya mahu melihat dan memberi pelukan yang sama.

Cahaya yang ini, sinarnya masih sama lebih 20 tahun. Digilap-gilap dan seringnya dicuci dengan kemurahan hati. Dan itulah yang wajar kita semua contohi.

Jika hendak rehat, rehatlah sekejap. Kami memahami. Kemudian-kemudian, muncullah kembali, kami akan sokong dan terus berbakti cara kami.

Terima kasih untuk persembahan yang hebat, yang diingati dan kekallah ia menjadi sejarah besar untuk negara. Tahniah Dato Sri Siti Nurhaliza. Tahniah Puan Rozi, SNP, Shiraz, SitiZoners dan semua.

Tahniah. Kita adalah keluarga besar Siti Nurhaliza.

Khairul Hakimin Muhammad,
Seribu Kemanisan di Axiata Arena.