Pagi ini 6 Disember 2018, seawal jam 8:45 pagi saya dan suami harus keluar. Anak-anak kami tinggalkan di homestay untuk mereka main air di kolam, makan, dan ulang sampai lebam sepuasnya sehingga kami balik.

Ada misi yang ingin kami lunaskan di Iceland pada hari-hari terakhir kami di sini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Cuaca pula seperti telah diramalkan, agak tidak baik sejak semalam. Angin kencang melanda bahagian selatan Iceland sejak awal malam tadi dan hanya akan beransur kurang menjelang petang.

Meski pun sudah hampir jam 9 pagi, suasana masih gelap seakan jam 5 pagi. Tiada apa yang dapat dilihat dalam suasa begini di sepanjang jalan menuju ke Thingvellir National Park.

snorkeling-di-iceland-11
View Tasik Thingvallavatn di Thingvellir National Park

Setiba di sana, selesai parking kereta, kami terus menuju ke van untuk tour snorkeling.

Sebaik tiba, seorang lelaki mat saleh menegur kami dengan ucapan ‘selamat pagi’ sambil tersenyum ramah.

Saya terpaku seketika seraya mulut berkata, “woooowwww. You can speak Malay”.

Rupanya mamat dari Itali tersebut pernah tinggal di Malaysia selama 2 tahun. Snorkeling di Mabul. Patutlah boleh cakap Melayu sepatah dua.

Tanpa buang masa kami diminta kami ke tandas, buang air dulu. Lepas ni dah tak boleh buka baju atau ke tandas lagi.

Eh? Tak register nama dulu ke?

Tak payah. Nanti datang sign borang saja. Korang berdua je pun dari Asia. Senang nak cam. Jawab mamat Itali.

snorkeling-di-iceland-8
Mamat Itali bersama guide kami untuk snorkeling

Selesai ke tandas, kami diberi baju khas untuk snorkeling iaitu dry suit.

Dry suit adalah suit overall khas untuk snorkeling dalam air bersuhu sejuk. Dengan suit ini, haba badan akan terperangkap seterusnya mengurangkan rasa sejuk sepanjang berenang di dalam tasik. Badan juga dilindungi daripada basah sepanjang suit ini dipakai.

Sebenarnya boleh tahan susah juga nak pakai baju ini. Pertama kena buka baju sejuk dan seluar tebal bahagian luar yang kami sedia pakai.

Hanya perlu tinggalkan baju thermal di bahagian dalam. Tukar baju jadi tambah susah disebabkan angin bertiup kencang. Sudahnya mereka suruh tukar baju di dalam van.

Seterusnya adalah sesi tandatangan borang pelepasan tanggungjawab dan kami sedar risiko yang bakal dihadapi andai ada kejadian tak diingini terjadi sepanjang sesi snorkeling.

Kemudian sesi penerangan. Masa ni baru perasan hanya ada 5 peserta saja termasuk saya dan suami. Less is better. Rasa lebih personalised untuk tour ini.

Antara yang diterangkan adalah dry suit yang dipakai akan buat kami timbul dan tak akan tenggelam. Jadi tak payah lah nak berdrama konon lemas dan nak terdampar ke dasar tasik. Haha.

Ke dua, jika air masuk ke tiub pernafasan di mulut, usah panik. Hanya perlu terbalikkan badan supaya muka mengadap ke atas, buka tiub di mulut dan telan lah air tasik. Haha. Senang gila kan.

Kemudian kami diberikan sarung tangan, kaki itik, tiub pernafasan dan penutup kepala. Sambil itu kami turut diajar cara pakai 4 benda ni. Kiranya masa berenang nanti hanya bahagian dagu hingga hidung saja yang terdedah. Bahagian lain semua tutup.

Guide kami sempat buat lawak. Nanti masa berenang kalau mulut rasa terjuih kebas sila rasa happy sebab dah jadi Angelina Jolie. Tak perlu buang duit buat pembedahan plastik. Hehe.

Dah selesai sesi penerangan, kami dibawa ke pinggir tasik Þingvallavatn iaitu di Silfra Fisurre. Ada tangga khas telah disediakan untuk turun snorkeling.

Dan sesi snorkeling di antara tectonic plates 2 benua pun bermula…

snorkeling-di-iceland-1
Sedia nak berenang

Guide adalah orang pertama yang masuk ke dalam air sambil beri arahan kepada kami untuk turun seorang demi seorang.

Bila badan masuk saja ke dalam air, terus rasa ringan dan terapung walaupun hakikatnya dry suit yang dipakai agak berat semasa di atas darat tadi.

Sejuk memang terasa tapi tak ketara. Ditambah keterujaan lebih banyak berada dalam diri berbanding rasa sejuk.

Kenapa snorkeling di Silfra Fissure di Thingvellir sangat istimewa?

1. Iceland sendiri sebagai sebuah pulau telah terbentuk akibat daripada pergerakan besar-besaran dan berterusan di antara kerak bumi hingga membentuk landskap unik pulau ini sejak 18 juta tahun yang lalu.

2. Silfra pula adalah keretakan terbaru yang terjadi di antara plat Amerika Utara dan Eurasia selepas gempa bumi berskala besar pada tahun 1789. Diikuti pula beberapa siri gempa bumi skala besar dan kecil selepas itu.

3. Kerak bumi di sini juga bergerak menjauh lebih kurang 2cm (0.79 in) setiap tahun.

4. Untuk pengetahuan, air di tasik Thingvallavatn adalah air yang mengalir terus dari glasier yang mencair. Suhu air di sini juga kekal antara 2°C ke 4°C sepanjang tahun, termasuk di musim panas.

5. Pihak berwajib di Iceland juga telah mewartakan air di tasik ini merupakan antara tasik glasier semulajadi terbersih di dunia. Proses pemampatan batu batan dan penapisan semulajadi yang berlaku turut menjadi faktor penyumbang.

Air dari glasier yang mengalir dari Langjökull glacier ke tasik ini telah melalui proses tapisan semulajadi oleh liang-liang di bawah permukaan tanah lava selama 30 ke 100 tahun sebelum akhirnya sampai ke tasik.

6. Thingvellir terkenal kerana pembentukan luar biasa antara batuan tektonik dan volkanik di lembahnya.

Lintasan dan pertemuan benua antara Amerika Utara dan Eurasia dapat dilihat dengan jelas di antara rekahan yang melintasi kawasan di sini. Ini turut menjadi ffaktor kenapa lokasi ini paling sesuai untuk mengira magnitud gempa bumi.

snorkeling-di-iceland-9
Tactonic plate Amerika Utara adalah di bawah tembok batu hitam di belakang sana
snorkeling-di-iceland-7
Dan tectonic plate Eurosia di bahagian gunung bersalji. Jarak antara 2 tectonic plates adalah 6km dan bergerak makin menjauh sebanyak 2cm setiap tahun. Dan saya berada di tengah-tengah antara keduanya.

7. Silfra fisurre pula adalah jurang yang terbentuk di sempadan antara plat tektonik  Amerika Utara dan Eurasia.

8. Iceland adalah satu-satunya tempat di dunia di mana kita boleh berenang dan menyelam dengan selamat di antara 2 benua.

9. Dan paling best, Silfra sangat mudah diakses oleh sesiapa sahaja tanpa perlu belayar atau menyelam jauh ke dalam gua di bawah air yang mungkin berbahaya. Dan kita tak perlu mempunyai latar belakang menyelam atau snorkeling yang hebat untuk cuba berenang di sini. Hanya perlu sihat, adventurous dan tahu bagaimana untuk berenang.

10. Thingvellir National Park telah diwartakan sebagai tapak warisan UNESCO kerana sejarah penting bagi penduduk Iceland banyak berlaku di sini termasuk persidangan parlimen pertama. Dalam erti kata lain, kita berenang di tapak warisan sejarah UNESCO beb.

snorkeling-di-iceland-2

Kami kemudiannya berenang dengan tenang sambil menikmati pemandangan di bawah permukaan tasik.

Air di sini sangat jernih membiru hingga boleh lihat sejauh 120 meter ke dasar tasik. Jelas terlihat alga yang menghuni tasik melekat di batu-batuan di sepanjang laluan Silfra Fisurre.

Sesekali saya terbalikkan badan ke atas bila air masuk ke tiub di mulut dan telan saja air tasik. Kebetulan tengah dahaga sebenarnya. Haha.

Ada masa di bahagian tasik yang agak terbuka, terasa angin kencang menghanyutkan saya ke arah berbeza, adakala ke belakang. Jenuh juga menguak tangan dan menolak kaki itik ke depan tapi angin makin kuat menolak ke arah bertentangan.

Hingga lah kemudiannya tangan saya ditarik oleh guide ke arah sepatutnya saya berenang. Situasi begini berlaku beberapa kali.

Mula-mula rajin lah juga saya kayuhkan kaki masa kena tarik. Tapi dah masuk kali ke 3, ke 4, saya jadi malas nak put effort dan hanya pasrah saja menikmati free ride sambil melihat keindahan alam. Ah, biarlah guide tarik. Sis dah penat.

snorkeling-di-iceland-5

Sekitar 45 minit kemudian tour berakhir dan kami semua naik ke atas. Ketika ini angin masih bertiup kencang dan belum menunjukkan tanda akan reda walaupun dah tengahari.

Sesi buka baju snorkeling terasa lebih mudah. Hanya bahagian menanggalkan sarung tangan saja yang kena minta orang lain tarikkan. Selebihnya boleh buka sendiri. Kecuali jika stuck di bahagian kaki, kenalah minta sesiapa tarikkan suit.

Misi snorkeling kami diakhiri dengan air coklat panas dan biskut. Diselang seli dengan lawak jenaka oleh guide dan mamat Itali tadi. Selesai semuanya, kami bersurai.

snorkeling-di-iceland-12
Lagi pemandangan di sekitar tasik. Gambar diambil selepas selesai snorkeling.

snorkeling-di-iceland-13

Alhamdulillah satu lagi bucket list saya telah tertunai pada hari itu. Misi berenang di antara tektonik 2 benua, iaitu  benua Amerika Utara dan Benua Eurasia terlaksana akhirnya. Ia pengalaman berharga yang manis dan akan saya kenang selamanya.

Ini 10 Lokasi Memukau Untuk Diburu Bila Anda Travel Ke Iceland