Selamat bekerja semua. Artikel ini agak panjang. Share dahulu untuk bacaan pada masa lapang.

Setiap orang pasti ada pengalaman pahit dan manis. Pengalaman tersebut melibatkan apa sahaja situasi.

Ada yang menjadi sejarah hitam. Ada juga yang berjaya menjadikan pengalaman sebagai batu loncatan.

Guru kenalkan

Pengalaman pelaburan saya bermula sekitar 2006. Waktu itu masih muda remaja.

Nak dijadikan cerita, saya bertemu Guru sewaktu sekolah menengah. Dia memperkenalkan kepada saya satu “Skim Pelaburan”.

Ia berkait dengan Oil and Gas. Nama Skim tersebut adalah ABB Fund. Seangkatan dengan Swisscash, Empay dan sebagainya pada waktu itu.

Bukti kejayaan

Saya ditunjukkan dengan pelbagai bukti-bukti kejayaan. Perancangan mahu melancong beramai-ramai ke Kota London dan bukti tempahan kereta mewah.

Disebabkan mudah terpengaruh dengan material, saya bersetuju untuk melabur dengan modal permulaan sekitar RM300.

Waktu itu saya adalah antara orang yang terawal masuk ke dalam skim ini.

Rakan universiti

Saya ceritakan kepada rakan universiti. Ramai yang berminat dan mula melabur.

Ada yang guna duit PTPTN, ada yang pinjam dengan ibubapa, ada juga yang guna duit berniaga.

Setelah beberapa minggu, saya dan rakan-rakan mula mendapat pulangan modal dan untung.

Waktu cuti semester, rakan universiti yang pulang ke kampung mengajak pula rakan mereka di kampung. Ada yang menambah pelaburan. Ada juga yang membuat pelaburan baru. Mewakili orang di kampung.

Operator utama

Saya sebagai operator utama di universiti semakin tak cukup tangan. Waktu itu, dalam e-wallet ada beribu-ribu duit untung. Separuh dilaburkan kembali. Separuh tunggu masa nak keluarkan.

Rakan- rakan pula semakin bersemangat menunggu pusingan untuk withdrawal seterusnya. Ramai yang mula menanam impian.

Ada yang material. Ada juga merancang membawa keluarga menunaikan umrah.

Panas pagi tak sampai ke petang. Hujan di tengahari.

Bila tiba masa nak withdraw, cubaan menghubungi Upline tidak berjaya. Talian asyik berada diluar kawasan.

Guru yang memperkenalkan saya skim ini juga menghadapi masalah yang sama. Upline tidak berjaya dihubungi.

Bank negara

Ada juga ura-ura mengatakan Bank Negara “menghalang urusniaga”.

Ada juga yang mengatakan kerajaan tak mahu rakyat terutama bumiputera maju dan kaya. Nanti hilanglah kebergantungan rakyat kepada kerajaan.

Bila dah kaya, subsidi pun tolak ketepi. Siapa yang memerintah, rakyat takkan ambil peduli.

Setelah beberapa minggu, Guru menjelaskan skim ini adalah satu penipuan. Laman web juga hilang dari pandangan. Upline tidak berjaya dihubungi sehingga ke hari ini.

Orang terawal

Waktu itu, saya dapat menarik nafas lega kerana saya adalah orang terawal yang masuk. Jadi modal dan untung telah saya peroleh. Tapi lega itu hanya seketika.

Bila memikirkan rakan-rakan yang masuk lewat. Rakan-rakan yang terkena hingga hilang segala wang simpanan. Rakan-rakan yang terpaksa bayar hutang wang pinjaman. Rakan-rakan yang terpaksa mencatu kudapan. Rakan-rakan yang menghadapi serangan ahli keluarga. Dan pelbagai lagi masalah yang menghantui.

Ada juga rakan-rakan yang bukan dari kalangan keluarga ada-ada. Terkena bukan disebabkan tamak haloba. Tetapi hanya memikirkan untuk mengubah nasib keluarga.

Keadaan ini yang menyebabkan hati saya tidak tenteram. Saya rasa seperti saya penipu dan punca kepada segala masalah ini.

Tetapi, setelah satu Malaysia heboh skim ini Skim Cepat Kaya dan ramai yang tertipu, saya mula mengangkat muka yang sebelum ini tunduk malu dan bermuram durja.

Rasa syukur paling tinggi apabila tiada seorang pun rakan-rakan yang menyalahkan saya. Di mulut mereka kekal menyebut, tiada rezeki dan pengajaran berharga.

Tiada kes saya bertumbuk, disimbah cat merah atau apa sahaja khianat. Mungkin Allah SWT menilai saya juga orang yang dikhianati. Alhamdulillah.

Pelaburan baru

Agak lama saya tidak berusaha mencari ruang pelaburan baru. Kerana dalam fikiran saya, apa sahaja pelaburan yang melibatkan orang di sekeliling adalah amat berisiko tinggi.

Kita terlibat dengan cara menarik orang lain untuk masuk bersama-sama. Jika untung tak mengapa. Jika rugi, rugi sama-sama.

Saya tidak bersedia untuk menerima risiko tersebut sekali lagi. Sehinggalah saya kenal sistem pelaburan seperti ASB Financing, Unit Trust dan Bursa Malaysia.

Sistem pelaburan begini ternyata diiktiraf kerajaan. Pulangannya juga amat berbaloi. Kita boleh tentukan sendiri berapa banyak yang kita nak untung.

Dan yang paling penting, untung atau rugi tidak langsung melibatkan orang lain. Kita sendiri boleh terlibat seorang diri. Ilmu juga banyak tersedia untuk ditimba.

Ada ramai pengajar yang bersedia mencurah ilmu. Jauh berbeza dengan skim cepat kaya yang pernah saya terlibat sebelum ini.

Inilah jalan sebenar bagaimana kerajaan nak kita kaya. Tapi sangka buruk yang selalunya menjadi hijab kepada segala kenikmatan yang ada.

Wallahua’lam.