Saya mula tertarik mengikuti kisah gadis ini apabila beliau berkongsi tentang kejayaan beliau sebagai pelajar terbaik bagi Master of Science (Engineering Business Management) yang telah dianugerahkan kepada oleh UTM baru-baru ini.

Namun yang lebih menarik, tidak ramai yang tahu cabaran yang dilalui oleh beliau sepanjang menyiapkan Master pertama, dan sebelum berangkat menyambung baki pengajian di Jepun.

Itulah kisah yang ingin saya kongsikan tentang Cik Siti Rozita binti Sabar atau lebih mesra dipanggil Ita.

Latar belakang

Kini berusia 30 tahun dan merupakan anak ke 3 daripada 5 adik-beradik yang kesemuanya perempuan, Ita mengambil program double master di bawah kelolaan bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Meiji University dari Jepun.

“Di UTM Ita buat Master of Science (Engineering Business Management) dan di Meiji University Ita buat Master of Business Administration (MBA). Di UTM dah habis, tinggal di Meiji lagi setahun nak habis. Insya Allah Ita grad pada bulan Mach tahun depan. – Siti Rozita”

Sebelum itu Ita telah berjaya menamatkan Diploma Kejuruteraan Mekanikal (daripada Politeknik). Dan bagi peringkat ijazah pula dalam Sarjana muda pengurusan (Teknologi).

Pernah hampir digantung sekolah

Ita dulu budak nakal sikit. Pernah kena gantung sekolah waktu tingakatan 3, tapi tak jadi digantung sebab Ita kapten bola baling sekolah,  nak kena pergi game MSSD waktu tu.

Disebabkan Ita dah ada senarai hitam di sekolah lama, masuk tingkatan 4 Ita pindah ke Sekolah Teknik Shah Alam sebab Ita minat mechanical engineering dan nak main bola baling untuk daerah lain dan nak lari dari sekolah lama.

Disebabkan rekod hitam yang ada, walau kesalahan kecil sekalipun yang Ita buat lepas tu, Ita akan kena buang sekolah. Hahaha. Terejal sungguh. Tapi sekolah teknik tu permulaan Ita dalam bidang engineering.

Bekerja sambil belajar sewaktu buat ijazah

Ayah kerja tukang sapu cat, mama kerja berniaga kecil-kecilan. Waktu Ita tahun akhir diploma ayah berpisah dengan mama. Sebab itu selepas diploma Ita terus kerja. Alhamdulillah sebulan selepas habis belajar, belum  pun konvo Ita dapat kerja ikut bidang mekanikal.

Dari situ Ita tanggung 2 adik Ita belajar sampai dorang habis diploma dan kerja. Dalam masa yang sama Ita belajar partime  buat ijazah.

Ita bekerja di syarikat yang sama sejak habis diploma. Ita mula sebagai production assistant. 2 tahun lepas tu Ita naik pangkat sebagai Store Executive. Dalam masa yang sama Ita dapat biasiswa daripada syarikat Ita bekerja untuk sambung ijazah.

Mereka taja 60% daripada yuran pengajian ita. Ita cuma ikat kontrak setahun setengah lepas grad. Lepas setahun pegang jawatan store executive Ita diberi tugas baru sebagai Factory Controller.

Baca: Anak Kampung Pangkat 2 SPM Buktikan Kegagalan Bukan Penghalang Meraih PhD

Cabaran sewaktu sambung belajar dan ambil double masters

Jujur master sebenarnya senang tapi tak mudah. Tak mudah kalau tak sanggup mengawal tekanan dan stress. Tak mudah kalau tidak sanggup bersengkang mata untuk meet due date.

Tak mudah kalau tak dapat berfikir lebih dalam dan luar dari kotak fikiran. Tak mudah kalau tak bijak membangkang atau mempertikaikan pendapat orang lain dan mempertahankan fakta dan idea sendiri dengan disokong dengan kajian-kajian yang sedia ada.

Senang cakap tak mudah kalau tak banyak mengkaji. Dan tak berapa mudah kalau tak ada pengalaman kerja (terutama dalam bidang saya).

Banyak dugaan selama 2 tahun ini terutamanya 3 bulan yang terakhir sewaktu Allah uji saya dengan masalah kesihatan. Bayangkan saya tak boleh buka mata kerana mengalami chronic dry eyes.

Saya tak boleh memandu, tak boleh menaip, membaca dan dapat cuti panjang sepanjang bulan Disember. Kerana semua tu, saya tak berapa performed dalam presentation master project saya. Kecewa kerana itu usaha 2 tahun saya, tapi alhamdulillah keputusan masih memberangsangkan.

Saya takkan lupa bila sahabat saya sanggup ambil cuti separuh hari untuk bantu saya siapkan postgraduate assignment saya. Dia ambil saya, bawa saya ke perpustakaan dan bantu saya siapkan assignment saya yang dah 2 minggu lewat daripada submission date.

Alhamdulillah, prof amat memahami masalah saya pada waktu itu. Supervisor yang sangat membantu. Saya masih struggled untuk submit master project saya 12 jam sebelum saya terbang ke Jepun.

Kawan yang tolong saya sediakan dan taip isi untuk presentation Meiji dan bantu saya berjalan sewaktu tu. Beberapa kali saya terlanggar tiang, dinding, orang, sampai cermin mata hitam Rayban saya tercabut.

Kawan-kawanlah yang bantu saya berjalan, mereka ‘tongkat’ saya waktu tu. Walaupun geng saya bukan Islam, mereka akan bawa saya ke surau untuk solat. “I risau tengok you,” kata-kata mereka yang saya takkan lupa. Saya tak tahu macam mana saya nak habiskan sisa-sisa pengajian saya tanpa mereka.

Mama antara orang yang tolong hantar Ita pergi kerja dan ke UTM; kadang-kadang mama nangis bila tengok Ita kurang rehat, supervisor; Assc.

Berterima kasih kepada keluarga dan rakan-rakan

Terima kasih kepada keluarga terutama mama dan adikberadik selalu doakan yang terbaik untuk Ita. Maafkan Ita sebab sepanjang buat master ni Ita tak banyak luangkan masa dengan mama.

Terima kasih Prof Abdul Rahman, kawan-kawan yang sangat awesome, ex-colleagues Halton Malaysia yang selalu bagi cooperations dan sokongan, para pelajar double masters program dan juga my two beloved friends, Mages & Jessicca.

“Tak sangka langsung akan dapat anugerah ni. Rancangan asal nak defer convo ke Oktober, sebab baru je sampai di Jepun. Tapi bila prof watsapp cakap Ita tersenarai dalam Best Postgraduate Student Award terus terkedu sekejap. Ok, cari tiket kapal terbang, total 12 jam perjalanan dan balik” – Ita.

Sambung pengajian di Jepun

Di Jepun ini sebenarnya Ita pergi siapkan kajian untuk  masters kedua Ita di Meiji University. Ita berhenti kerja di Malaysia lepas 8 tahun berkhidmat dan keluar dari zon selesa, cuba sesuatu yang baru. Ita tak ada biasiswa untuk tanggung pengajian. Jadi Ita cari kerja sambilan untuk tanggung kos sara hidup di Jepun. Sambil tu travel sikit-sikit dan siapkan kajian.

Di waktu yang sama Ita looking forward  untuk kerja di Jepun lepas habis belajar pada bulan Mach tahun depan. Dan sekarang Ita berusaha keras belajar bahasa Jepun. Ita juga dah mula cari kerja dari sekarang.

Pesanan kepada yang ingin buat Master

Saya nasihatkan kalau dah habis buat ijazah dan ada niat nak sambung master, kerjalah dulu. Cari pengalaman kerja kerana semua tu sangat membantu dalam proses kajian dan master project.

Melainkan nak buat full research mungkin ok untuk terus sambung master dan mungkin lebih baik PhD. Ramai pelajar yang dapat tawaran terus sambung master lepas degree dan lepas grad mereka komplen tak ada majikan tengok scroll master mereka.

Ketahuilah, majikan memang akan lihat pengalaman kerja dan degree anda lagi-lagi anda fresh graduate (kebanyakannya swasta). Janganlah ingat anda akan dapat kerja dengan gaji asas RM6k sebab ada master walaupun tak ada pengalaman kerja.

Gaji masih juga akan bermula dengan RM2500. Jadi saya nasihatkan kerja dulu. Dan bukan mudah nak cari mood belajar tu balik kalau dah kerja. Haha pandai-pandai la ye.

Saya bukan nak melemahkan semangat pada sesiapa yang dah ada niat nak terus sambung tu, saya hanya bercakap berdasarkan pengalaman saya belajar bekerja sambil semenjak buat ijazah lagi.

Saya kerja lepas diploma and slowly buat degree and masters partime. Sebab tu saya kata pegalaman kerja sangat2 membantu dalam proses pembelajaran.

Lain orang lain perjalanan dia, hanya anda yang tahu diri anda. Buat keputusan untuk diri sendiri.

Pesanan kepada pembaca

Jangan berhenti berangan kerana tiada yang mustahil dalam hidup selagi kita berusaha untuk mencapainya. Kerja keras, jika jatuh bangun semula kerana itu akan membuatkan kita lebih tabah dan mematangkan kita. Sentiasa tanya pada diri “siapa aku 5 tahun dari sekarang”

Kita juga kena sentiasa positif, setiap apa yang berlaku semua tu ada hikmahnya. Kena sentiasa kuat dan ingat Allah ada dengan kita. Jaga kelakuan, jangan sesekali pandang rendah pada seseorang kerana hidup ini macam roda. Sentiasa baik dengan semua orang dalam masa yang sama jangan pula biarkan orang pijak kepala kita.

Baca lagi: 3 Cara Bagaimana Menjadi Seorang Oportunis Dan Dapatkan 4 Biasiswa PhD Sekaligus