Berkunjung dan travel ke Korea Selatan sudah ramai yang bejaya buat. Tapi tidak bagi Korea Utara. Negara yang masih mengamalkan dasar pintu tertutup dan pemerintahan komunis ini bukanlah negara yang mudah untuk dikunjungi.

Lawatan ke Korea Utara hanya boleh dilakukan melalui ajensi pelancongan yang diiktiraf oleh kerajaan Korea Utara. Bagi backpacker yang lebih gemar bergerak bebas, ini bukanlah pilihan yang mengembirakan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baru-baru ini saya berpeluang menemuramah seorang rakyat Malaysia yang telah dijemput berkunjung ke Pyongyang, Korea Utara. Beliau yang saya maksudkan adalah Cik Atira Ariffin, berusia 26 tahun dan berasal dari Kuala Lumpur.

Sedikit pengenalan tentang Atira yang telah menamatkan pengajian master beliau pada Julai 2016, graduan master dalam bidang arkitek dari Architectural Association School of Architecture, London ini pernah menetap selama 5 tahun di London.

Terkini Atira baru saja berpindah ke Amterdam sejak 4 bulan yang lalu selepas menerima tawaran kerja daripada firma arkitek antarabangsa terkemuka dan berpangkalan di sini iaitu UNStudio.

Atira di hari graduasi beliau pada Julai 2016.

Ikuti temubual dan perkongsian pengalaman Atira tentang kunjungan beliau ke Pyongyang serta beberapa soalan tentang minat fotograf dan kembara beliau di bawah:

Vocket: Saya lihat Atira seorang yang meminati seni lukis dan fotografi. Bagaimana ia bermula dan apakah yang mendorong Atira terus aktif dan fokus sehingga kini.

Atira: Minat saya dalam bidang seni lukis bermula dari kecil lagi. Dorongan terbesar adalah ibubapa saya yang tidak pernah menghalang minat saya, terutama bapa yang juga berkerjaya di bidang yang sama dan juga mahir melukis.

Mereka sentiasa memberi sokongan penuh kepada saya. Untuk fotografi pula, saya dihadiahkan kamera filem analog pada hari jadi saya yang ke-12 tahun dan sejak itu saya mula berjinak dengan seni fotografi.

Kami sekeluarga berpindah ke Oxford, England ketika saya berusia 13 tahun atas urusan kerja ibu saya dan pengalaman tinggal di luar negara pada zaman awal remaja juga banyak memberi inspirasi terutamanya ketika travel bersama keluarga.

Sebagai anak sulung saya sering ‘ditugaskan’ untuk mengambil gambar ahli keluarga yang lain sewaktu kami bercuti bersama. Kami sering mengadakan road trip ketika musim cuti sekolah atau hujung minggu dan melawat banyak lokasi-lokasi menarik di sekitar United Kingdom, terutama kawasan semulajadi (nature) dan sepanjang tempoh itu saya banyak mengambil peluang untuk asah dan kembangkan skill fotografi saya.

Namun pada masa itu fotografi cumalah sekadar hobi. Saya mula menceburi hobi ini secara lebih serius sejak beberapa tahun lalu.

Pada saya, seni lukis dan fotografi adalah sesuatu yang progresif. Ia menuntut proses belajar yang berterusan dan saya sendiri seronok dan sentiasa ingin belajar sesuatu yang baru. Salah satu cara untuk saya kekal aktif adalah dengan sentiasa mencabar diri sendiri agar melakukan yang lebih baik.

Saya gemar mengkritik diri dan sangat susah berpuas hati dengan hasil kerja sendiri. Jadi saya sentiasa berusaha untuk perbaiki dan tambah skill sedia ada untuk mendapatkan hasil yang lebih baik.

Vocket: Saya lihat Atira juga aktif travel. Bagaimana pula dari segi kaitan antara travel dan seni? Adakah ia turut memberi kesan ke atas hasil seni yang Atira hasilkan? Atau adakah ia adakala turut menjadi sebahagian daripada projek yang Atira jalankan? Atau menjadi inspirasi kepada hasil seni yang di hasilkan?

Secara tidak langsung, saya akui travel sedikit sebanyak memberi inspirasi seni kepada saya terutamanya dari lawatan ke galeri-galeri dan pasar-pasar seni yang banyak mempamerkan artworks dari artis tempatan.

Sesetengah negara juga mempunyai genre seni dan budaya setempat yang bukan hanya tersendiri serta juga unik dan sangat kuat seperti di China, India, Afrika, Asia Tenggara, Timur Tengah dan lain-lain. Sudah menjadi tabiat bagi saya untuk mengumpul hasil seni lukisan dari setiap negara yang saya lawati.

Dari sudut fotografi pula, travel telah memupuk minat saya terhadap genre photojournalism. Jika anda melihat Instagram saya, majoriti gambar-gambar travel yang diupload adalah gambar berunsur photojournalism.

Saya jarang memotretkan diri sendiri sewaktu travel tapi lebih gemar merakam itipati tempat yang dikunjungi dalam bentuk yang paling natural – warna, tekstur, orang-orang di sana dan kehidupan harian mereka. Saya mahu kongsikan kehidupan dan apa yang dilihat tentang di tempat yang telah saya kunjungi dari lensa kamera dan mata saya.

Vocket: Pada tahun lepas Atira telah berpeluang travel ke Pyongyang, Korea Utara. Boleh kongsikan bagaimana Atira mendapat peluang ini dan adakah ia untuk projek tertentu? Maksud saya adakah ia sebahagian daripada projek seni Atira? Dan berapa hari Atira berada di sana?

Saya berpeluang ke Pyongyang setelah terpilih sebagai salah seorang daripada 5 pelajar untuk program architecture workshop yang di anjurkan oleh institusi pengajian saya. Ia merupakan program kolaborasi bersama Pyongyang University of Architecture. Saya di sana selama 2 minggu.

Saya juga mengambil peluang ini untuk membuat projek peribadi saya sendiri, iaitu dokumentari fotografi yang saya namakan ‘Unveiling Pyongyang’.

Vocket: Bagaimana perasaan Atira bila berpeluang ke negara yang boleh dikira sebagai masih misteri dan tersembunyi daripada dunia luar ini? Dan sejak bila Atira menyimpan impian mahu travel ke Korea Utara.

Atira: Sudah tentu teruja! Korea Utara adalah antara negara yang sangat ingin saya kunjungi. Sejujurnya saya telah lama menyimpan hasrat ini tetapi tidak pernah merancang secara serius. Jadi apabila institusi saya menganjurkan program ini tahun lepas, saya terus hantar permohonan dan portfolio saya.

Pada mulanya saya agak keberatan untuk turut serta kerana yuran yang dikenakan bagi program ini agak tinggi (sekitar RM15,000). Namun akhirnya ibubapa saya bersetuju untuk menanggung kos tersebut sebagai hadiah graduasi. Jadi saya amat berterima kasih kepada kedua ibubapa saya!

Vocket: Apakah antara perkara menarik yang dapat Atira lihat sewaktu di sana. Mungkin dari segi cara hidup, sikap penduduk negara ini, dan dari segi kemajuan dan pembangunan. Atau dari sudut lain berdasarkan pemerhatian Atira.

Atira: Antara yang sangat menarik bagi saya terutama sebagai pelajar senibina, adalah perancangan bandar (urban planning) bandar Pyongyang dan juga bangunan-bangunan di sana yang mempunyai pengaruh senibina Soviet, sama seperti di Russia dan di negara Eropah Timur.

Saya percaya ini berpunca daripada hubungan politik yang rapat antara Korea Utara dan Russia sewaktu di zaman pemerintahan presiden pertama Korea Utara iaitu Kim Ill Sung.

Ditambah sejak dahulu lagi kerajaan Korea Utara banyak menghantar pelajar senibina mereka untuk belajar di Rusia dan Eropah Timur. Oleh itu ibu negara mereka dibina mengikut gaya yang sama iaitu Stalinist Architecture dan Socialist Classicism.

Dari segi cara hidup pula, walaupun mereka kelihatan sedikit old-fashioned (bayangkan era 80-an), namun mereka menjalani cara hidup yang tidak terlalu berbeza dengan kita semua.

Vocket: Apakah peristiwa manis atau paling istimewa yang pernah Atira alami sepanjang di Pyongyang?

Atira: Berpeluang untuk berkawan rapat dengan pelajar-pelajar seni bina dari Pyongyang University of Architecture. Biasanya pelancong asing tidak dibenarkan sama sekali untuk berinteraksi dengan penduduk Korea Utara.

Namun sepanjang menjalani architecture workshop di sana, saya dan peserta lain dari luar berpeluang beramah mesra dan mengenali mereka dengan lebih dekat. Kami berkongsi cerita tentang dunia luar dan mereka berkongsi cerita tentang dunia mereka.

Mereka boleh berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris walaupun sedikit terhad. Kami juga mempunyai translator dari Korea Utara yang membantu kami untuk berkomunikasi antara satu sama lain.

Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan dan boleh dikatakan rare adalah kami bertemu Kim Jong Un in real life! Namun atas faktor sensitiviti dan undang-undang di sana yang melarang kami membawa kamera dan apa-apa peralatan elektronik sewaktu menghadiri perhimpunan politik bagi Workers Party of Korea, saya tidak dapat rakam dan abadikan pengalaman ini dalam bentuk gambar. Memang terasa sangat rugi.

Vocket: Ada tips atau info penting yang Atira kongsikan buat rakyat Malaysia yang ingin travel ke Pyongyang. Mungkin dari segi visa, jenis pengangkutan atau undang-undang yang mesti dipatuhi sewaktu di sana (atau tips berkenaan isu lain mengenai negara ini)?

Atira: Ramai yang salah faham tentang isu visa. Walaupun warganegara Malaysia dan Singapura tidak memerlukan visa ke Korea Utara, banyak presedur lain yang perlu dilalui.

Setiap pelawat mesti mempunyai surat jemputan rasmi daripada ejen rasmi (official agent) dan wajib berdaftar dengan mereka. Banyak kertas kerja dan dokumen-dokumen lain yang perlu disediakan.

Persediaan kami pengambil masa beberapa bulan. Anda tidak boleh sewenang-wenangnya ke sana tanpa persediaan.

Vocket: Pesanan buat pembaca vocket, jika ada

Atira: Jika berminat untuk membaca lebih lanjut tentang pengalaman saya di Korea Utara, boleh lawati Instagram saya atiraariffyn atau cari hashtag #unveilingpyongyang di mana saya banyak bercerita tentang pengalaman saya disana.

Untuk dokumentari fotografi peribadi saya sewaktu kunjungan ke Pyongyang boleh dibaca di issuu.com/atiraariffin

Majalah Masses bakal menyiarkan kisah penuh travelogue saya bersama photo essay di isunya akan datang yang bakal diterbitkan tidak lama lagi. Jadi sesiapa berminat boleh mendapatkan majalah tersebut. Majalah ini boleh didapati secara percuma di kedai-kedai kasut sneakers dan streetwear. Atau boleh kunjungi website mereka di http://masses.com.my/

Vocket: Info lain yang ingin Atira kongsikan, jika ada.

Atira: Sehingga kini, saya telah menjejaki 45 buah negara. Ia mungkin tidak banyak jika dibandingkan dengan traveller lain namun ia adalah satu pencapaian peribadi buat saya.

Baca lagi: Pandangan Anda Tentang Korea Utara Mungkin Berubah Selepas Melihat Ini