Bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), Harry Lee Vui Khun mengesahkan kepada Mahkmah Tinggi bahawa pihaknya ada menghantar wang tunai kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung kontrak Sistem Visa Luar Negara (VLN) sebanyak SG$200,000 (RM633,801) bermula akhir tahun 2014 dan kemudiannya jumlah itu meningkat kepada SG$520,000 (RM1,647,613) sebulan pada 2017.

Menurut Awani, Zahid Hamidi, yang kini berusia 69 tahun berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB, untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Harry dalam kenyataannya kepada Mahkamah Tinggi berkata bahawa beliau juga sudah beberapa kali ke rumah Ahmad Zahid di Country Heights, Kajang dan diminta oleh Zahid Hamidi untuk menaikkan sumbangan bulanan. Selepas berbincang dengan Wan Quoris (Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani, Pengarah UKSB) dan David Tan, mereka bersetuju untuk memberi SG$300,000 sebulan.

Pada 2017 pula, satu pertemuan diadakan dengan Zahid Hamidi di kediamannya dan beliau sekali lagi meminta bayaran bulan dinaikkan berikutan pilihan raya umum akan diadakan. Harry, bersama-sama Wan dan David bersetuju untuk menaikkan bayaran bulanan daripada SG$300,000 kepada SG$520,000 sebulan.

Difahamkan bahawa wang itu bakal digunakan untuk membantu bahagian UMNO yang memerlukan bantuan kewangan, “”Dalam perbincangan kami, kami bersetuju untuk membayar sejumlah RM10,000 bagi setiap bahagian iaitu lebih kurang 100 bahagian UMNO dan selepas pengiraan jumlah keseluruhan mencecah SG$520,000 sebulan,” kata Harry yang merupakan saksi pendakwaan ke-15.

Beliau menambah sepanjang 40 kali penghantaran yang dilakukannya, Ahmad Zahid tidak pernah memulangkan wang itu.

Selain itu, The Star turut melaporkan bahawa bekas pengarah UKSB turut mengaku telah menaja perjalanan luar negara Ahmad Zahid, hari lahir isterinya dan sambutan hari raya. Ia berkata tajaan itu adalah tambahan kepada sumbangan bulanan daripada syarikat itu dari 2014 hingga 2018.

Senarai pendakwaan yang dikenakan ke atas Zahid Hamidi melibatkan rasuah bernilai RM21.5 juta. Rujuk pautan di bawah untuk membaca.

Senarai Pendakwaan Yang Dikenakan Ke Atas Zahid Hamidi Melibatkan Rasuah Bernilai RM21.5 Juta

AS Tawar RM21 Juta Kepada Individu Yang Mempunyai Maklumat Rasuah Babitkan 1MDB

Pandora Papers Dakwa 10 Rakyat Malaysia Simpan Kekayaan Di Luar Negara, Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu