Abah seorang lelaki yang suka menyanyi lagu Hindustan klasik. Di dalam lori yang dipandu Abah, saya selalu berduet menyanyi bersama. Di telinga ini, suara Abah sangat merdu. Sudahlah Abah seorang arjuna kacak, pandai menyanyi pula. Jadi, anda janganlah pelik jika bakat menyanyi Abah turun pada saya. Eh! Haha.

Abah dan Mak tinggal di kampung. Ya, sangat kampung yang perlu masuk ke pedalaman. Bas pun tak masuk ke kampung ini. Kena hari Abah dan Mak lambat ambil dari sekolah ke stesen bas, menapaklah saya jalan berkilometer nak sampai ke kampung. Sebab itu zaman sekolah saya slim.

BeFunky-collage-2
HYPE
Gaya Hidup Sudah Berubah, Ini Antara Perkara Yang Anda Akan Rindu Ketika PKP
Baca lagi →

Membesar di kampung, mainan saya cuma lumpur dan selut sawah. Panjat pokok, main masak-masak, tembak-tembak dan keluar masuk hutan. Zaman itu kalau berkubang di dalam bendang, keseronokannya ibarat anak-anak sekarang mandi kolam di KLCC.

Balik rumah pasti kena libas dengan Mak sebab satu badan berselut. Nampak mata dan gigi saja. Berbanding Abah, Mak lebih garang dan tegas. Yang best, selepas kena libas, Mak akan suruh mandi dan hidangkan nasi panas dengan air teh suam.

Kami keluarga peniaga. Melalui perniagaan, Abah telah melahirkan beberapa lagi “Towkey” yang sekarang memiliki perniagaan sendiri. Abah sangat minat berkongsi ilmu. Abah suka bercakap dan melatih anak-anak muda dalam perniagaan.

Malangnya saya tiada bakat berniaga. Tapi apabila diberi peluang untuk bercakap dan berkongsi ilmu, saya tersangatlah seronok.

Sebab itu saya sangat gembira memegang jawatan sebagai pengurus sumber manusia (HR), selalu dijemput memberi ceramah motivasi dan perkongsian ilmu di pejabat.

Pengaruh Abah Ke Atas Diri Saya

Abah mempunyai aura dan pengaruh yang besar ke atas diri saya. Abah tak pernah pukul atau angkat tangan dengan anak-anak. Abah tidak pernah sesekali meninggikan suara pun. Tapi apabila abah berdehem, terus rasa kecut perut dan tak senang duduk.

Membantu abah meniaga, ikut abah naik lori masuk kampung ambil sayur adalah antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Waktu itu Abah bayar gaji, RM3-RM5 sehari bergantung kepada berapa ramai pelanggan pada hari itu.

Dari situ saya mengenal nilai wang. Segala wang gaji saya sorok dalam tin milo. Malam-malam sebelum tidur saya akan kira duit gaji. Dari RM3-RM5 menjadi belasan ringgit dan menjadi puluhan ringgit.

Saya mula faham konsep bergaji dan duit bukan senang untuk diperolehi. Saya mula faham konsep sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Dan minat saya terhadap proses menabung mula berkembang secara semulajadi. Dari situ saya mula sukakan digit angka di dalam wang.

Zaman itu abah bawa telefon bimbit sebesar botol air. Hebat sangat! Mana ada orang kampung akak pakai telefon bimbit masa itu. Apabila pergi ambil sayur dari pembekal, Abah tugaskan saya pegang telefon bimbit glamour itu.

Fuh! Kembang hati saya apabila telefon bimbit berbunyi di depan orang. Ibarat setiausaha, saya tolong jawab panggilan telefon bimbit sebelum serahkan kepada Abah. Cayalah!

Saya mula belajar jadi berani apabila seronoknya berniaga di pasar malam. Saya jumpa macam-macam jenis orang. Abah juga bawa saya pergi Pasar Besar.

Abah dedahkan saya dengan negotiation skill. Abah sangat petah bercakap beberapa dialek Cina. Selalu apabila Abah negotiate, saya perhati dan belajar.

Abah ajar saya tegas jangan benarkan pelanggan tukar-tukar sayur. Bagi Abah, sesiapa yang tukar sayur adalah tidak jujur. Abah suruh saya cakap terima kasih apabila pembeli serahkan bayaran. Abah juga selalu pesan suruh hormat orang yang beri kita ilmu dan rezeki.

Suka Belajar Dengan Orang

Melalui pendedahan sejak kecil, saya membesar sebagai manusia tak tahu malu. Demi ilmu, saya sanggup mendekati sesiapa saja. Demi belajar, saya sanggup rendahkan diri agar sang pintar ikhlaskan hati memberi tip dan kemahiran.

Kebanyakan masa, guru yang mendidik saya rela mengajar secara percuma. Mereka ini kebanyakannya adalah rakan sejawatan dan bos saya.

Walau sekecil atau sebesar benda, saya sering bertanya dan belajar. Dek kerana mereka yang menghalalkan ilmu, banyak kali juga Allah mudahkan saya mencapai matlamat tanpa ada halangan yang besar.

Bangga Dengan Abah

Masa saya sekolah menengah, Abah menunggang motosikal besar. Fuh! Sekampung dengar bunyi motosikal Abah. Apabila Abah ambil saya di stesen bas, saya rasa bangga tersangat.

Masa itu juga Abah pakai kereta Kembara. Mak aih berkilat-kilat menjalar di dalam kampung. Dan itu adalah Abah saya.

Di zaman tu, saya selalu bangga sebab Abah lelaki yang sangat kuat bekerja dan sentiasa terkedepan. Satu-satunya sikap yang membuat saya sangat cintakan Abah adalah dia tidak pernah mengeluh.

Melalui Abah, saya belajar untuk sentiasa bekerja keras, bersaing dan kedepan melebihi kawan-kawan. Dia selalu membuatkan saya berbangga dalam segala hal. Dan segala pengalaman ini saya gelar LEGASI ABAH.

Pertama Kali Bekerja Di KL

Semasa pertama kali saya bekerja di Kuala Lumpur, Abah dan Mak hantar saya. Waktu itu umur saya 22 tahun. Saya tak sempat menganggur. Mana taknya tiga bulan sebelum habis belajar, saya mula mengendeng-ngendeng minta pensyarah tolong edit resume bagai.

Tamat saja belajar, seminggu kemudian saya dapat tawaran temuduga. Minggu kedua saya interview dan terus bekerja. Takut sangat apabila pertama kali sampai KL untuk bekerja. Gayat dan berdebar tengok bangunan besar-besar.

Tapi saya beranikan hati. Saya sentiasa ingin hebat dan terkedepan seperti Abah. Kali pertama dalam hidup saya nampak Abah menangis. Saya tahu, Abah risau tinggalkan anak dara di bandar besar memulakan hidup. Macam-macam Abah pesan.

Abah tinggalkan kereta untuk saya gunakan di KL. Dua tiga kali Abah peluk cium saya sebelum naik bas. Apabila bas mula bergerak, Abah tak pandang muka saya. Saya tahu Abah tak sanggup saya melihat Abah sedih. Selamat tinggal Abah!

Hari ini dah 13 tahun saya hidup di KL. Saya dah faham sangat selok-belok dan permainan di sini. Saya tahu Abah dah tak risaukan saya sebab dah ada arjuna beta yang sering menjaga saya.

Legasi Abah Akan Diteruskan

Saya tahu Abah selalu bercerita pada kawan-kawan tentang saya. Abah bangga beritahu orang tentang pekerjaan saya. Abah bangga bercerita tentang beberapa hartanah yang saya miliki di usia muda.

Tapi Abah lupa bercerita satu perkara. Sebenarnya, saya hari ini tidak punya apa-apa kalau bukan kerana aura dan pengaruh hebat Abah ke atas saya. Aura Abah mencabar saya untuk berusaha menjadi lebih baik setiap hari.

Saya selalu bermimpi bahawa suatu hari nanti Double A juga akan menulis tentang saya. Sebab itu sekarang saya cuba bekerja kuat seperti Abah. Saya tabahkan hati dan cuba untuk tidak mengeluh jika ada kesusahan. Saya berusaha mendidik Double A agar sentiasa berdikari.

Saya mendidik Double A supaya berani bersuara. Dan saya yakin suatu hari nanti Double A akan menulis dan bercerita kepada anda semua. Double A akan menulis bahawa di sebalik kehidupan mereka, ada legasi seorang bonda. Percayalah, anda akan membaca nukilan Double A suatu hari nanti.

Saya mengajak anda semua memiliki cita-cita yang sama. Jom kita sama-sama berusaha, bekerja keras dan meninggalkan legasi buat anak-anak. Semoga suatu hari nanti anak-anak kita akan menulis tentang kita. Semoga setiap masa, anak-anak berbangga apabila bercakap tentang kita.

Dan ya, untuk meninggalkan legasi sebegitu, kita semua perlu melakukan sesuatu yang hebat. Sesuatu yang menjadi memori dalam ingatan. Sesuatu yang menjadi kebanggaan anak-anak. Sesuatu yang memerlukan pencapaian yang luar biasa.

Dan saya harap kita tidak menunggu esok. Bermula hari ini, kita akan membina legasi. Kita akan mendidik anak-anak. Kita mahu, setiap anak-anak kita bangga untuk bercerita tentang kita.

Yang paling penting, kita mahu setiap kenangan anak-anak mengenai kita digelar LEGASI ABAH atau LEGASI BONDA.

Seperti yang dijanji, ini saya kongsi gambar hobi Abah. Abah suka menghias laman rumah cantik-cantik. Dan yang berseninya, Abah susun batu ikut warna, saiz dan bentuk. Abah siap cuci dan berus batu hiasannya satu per satu. Memanglah Abah kan arjuna yang rajin dan gemarkan kesempurnaan.

Salam sayang dari anak seorang arjuna yang hebat (menaip sambil mengelap airmata).

Artikel di atas disumbangkan oleh Aqil Awliya. Beliau merupakan seorang pengurus sumber manusia. Boleh ikuti beliau di sini. Pautan artikel asal.

Anda Mungkin Suka