Jangan terlalu gembira dengan nilai Bitcoin yang naik mendadak ketika ini. Pengasas bersama salah satu laman Bitcoin terbesar di dunia Bitcoin.com telah menjual kesemua Bitcoin yang dimilikinya dan membuat kenyataan bahawa matawang kripto ini secara digitalnya ‘tidak berguna’.

Emil Oldenburg adalah chief technology officer (CTO) untuk Bitcoin.com menambah bahawa pelaburan dalam matawang kripto ini adalah pelaburan paling berisiko yang anda boleh lakukan. Ramai ketika ini yang gelap mata apabila melihat nilai matawang ini yang naik mendadak dan mahu membuat pelaburan tanpa berfikir panjang.

Emil mempunyai sebabnya yang tersendiri kenapa beliau berbuat demikian. “Kos untuk membuat pemindahan Bitcoin sangat mahal ketika ini. Jika saya menjual bitcoin ketika ini, setiap transaksi akan dikenakan cas USD50 (RM200+-) dan saya perlu menunggu sehingga 12 jam untuk transaksi ini berjaya. Bagi saya, ianya satu yang tidak dapat saya terima,” terang Emil.

emil2
Emil Oldenburg (kanan) pengasas bersama Bitcoin.com

Emil kini melabur dalam Bitcoin Cash selepas menjual kesemua Bitcoin miliknya. Bitcoin.com selepas ini akan berhenti membangunkan servis baharu untuk network Bitcoin lama dan akan memfokuskan kepada matawang kripto baharu iaitu Bitcoin Cash.

Tidak pasti apa perbezaan antara Bitcoin dan Bitcoin Cash buat masa ini tetapi bagi Emil, Bitcoin Cash adalah penyelesaian untuk masalah yang beliau hadapi dan akan menjadi masa depan matawang kripto ini. Tiada siapa yang tahu permainan pemain matawang kripto ini. Jadi melaburlah di saluran yang betul jika anda mahu berjinak dengan Bitcoin.