Sarawak adalah negeri yang asing bagi saya. Kata orang, tidak cukup Malaysia jika belum pernah berkunjung ke tanah Borneo. Sepanjang membesar di semenanjung, Sarawak adalah satu-satunya negeri yang saya tidak pernah sampai. Dan siapa sangka, di usia 30 tahun, saya dijemput oleh Sarawak Tourism Board untuk mengenali lebih dekat budaya dan cerita-cerita kecil tentang negeri yang mempunyai pelbagai jenis kaum.

Beberapa hari sebelum penerbangan ke Sarawak, negeri yang mempunyai lebih daripada 40 kumpulan sub-etnik dan 2,907,500 penduduk, persoalan pengalaman apa yang boleh dibawa balik bermain-main di kepala. Ia timbul mungkin disebabkan pengalaman peribadi atau boleh jadi kerana negeri ini akan melengkapkan sebahagian daripada saya. Persoalan ini menolak-nolak saya sehinggalah diri saya berada di dalam perut kapal terbang Malaysian Airlines, tertanya-tanya dengan teruja apakah yang bakal ditawarkan negeri yang paling besar di Malaysia ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

***

Sampai di Kuching International Airport dan dijemput oleh Melintan anak Ina – pemandu pelancong. Wajahnya garang, tapi orangnya lembut. Kami bertegur sapa sepanjang perjalanan ke bandar Kuching. Dibahagian tingkap van, suara Melintan bergabung menjadi satu dengan pemandangan Kuching yang diam dan tenang. Bangunan putih, pemandangan hijau dan rakyat Sarawak yang ‘kacak’. Melintan menerangkan bagaimana Sarawak bergabung menjadi satu negeri damai dengan pelbagai latar kaum dan pengalaman. Kata Melintan, perang saudara yang terjadi ratusan tahun dahulu dan kehadiran keluarga Brooke menjadikan Sarawak yang sekarang, Sarawak yang makmur di bawah satu payung.

Van yang dipandu Melintan membawa kami menyelusuri Jalan Lapangan Terbang, selepas itu ke kanan menyimpang ke Jalan Tun Jugah dan seterusnya ke Jalan Tabuan. Di hujung Tabuan sebelum sampai di Jalan Mcdougall, ada simpang tiga yang menyambut kami. Kawasan jalannya agak sempit dan penuh dengan kereta. Ada dua bangunan ikonik yang menangkap mata, St Mary School dan St. Thomas’ Secondary School yang terletak di bahagian kiri kanan jalan. Kedua sekolah ini merupakan sekolah ketiga tertua di Malaysia dan dibina pada tahun 1848 oleh mubaligh Kristian atas pertolongan Rajah James Brook. Di bahagian hadapan sekolah pula terletak gereja St Thomas Cathedral yang bergaya dengan seni bina Basilian, siling berkubah warna merah terang dan disokong oleh 12 tiang dengan setiap satunya ditanda dengan salib.

Kami berada di antara tiga bangunan ikonik yang hidup ditengah-tengah Kuching, ibu kota dengan lebih 800,000 penduduk. Kelihatan anak-anak bergegas pulang dari sekolah. Usai melewati sekolah dan gereja, Melintan memberhentikan kenderaannya di hadapan Pejabat Sarawak Tourism Board. Seorang wanita masuk ke dalam perut van dan memperkenalkan namanya sebagai Rossalynn Ismail . Sama seperti Melintan, Lynn akan membawa saya hidup dalam cerita-cerita kecil yang ada di Sarawak.

Restoran Lepau yang terletak di tengah perut kota Kuching jadi destinasi pertama. Terong Asam, Cangkuk Manis, Sup Ayam dan beberapa jenis makanan lain jadi santapan tengahari kami. Alas perut sebelum teroka Kuching, kata Melintan.

Selesai makan, kami bergegas ke Main Bazaar, jalan tertua yang berada tengah-tengah Kuching lama. Ia dihiasi dengan beberapa seni bina rumah kedai Cina, kebanyakannya telah diduduki oleh keluarga yang sama selama beberapa generasi. Di hujung lorong, kami bertemu dengan Carpenter Street. Lorong yang dipenuhi dengan peniaga kecil yang membuka kedai kopi dan gerai makan. Di tengah-tengahnya terdapat tokong Cina. Selepas itu kami menyelusuri India Street, bau rempah menemani kami di sepanjang jalan. Ada satu Masjid India lama yang tersembunyi di sini. Struktur Masjid ini telah mengalami banyak perubahan sejak ia dibina oleh masyarakat India Muslim di Kuching pada pertengahan abad ke-19. Kini masjid ini sudah diganti baharu dengan masjid terapung di gigi Sungai Sarawak. Manakala yang lama sudah dijadikan madrasah.

Dari kejauhan Sungai Sarawak, kelihatan kediaman James Brooke atau dipanggil Astana yang merupakan rumah ketiga dan terakhir yang diduduki oleh keluarga Brooke. Kediaman pertama, yang dibina oleh James Brooke pada tahun 1842, telah dibakar semasa pemberontakan pada bulan Februari 1857. Rumah kedua James Brooke, dibina untuk menggantikan yang pertama, namun dirobohkan pada tahun 1869 untuk memberi laluan kepada Astana. Masa duduk di hadapan sungai sambil menikmati ais krim Gula Apong, rumah ini kelihatan suram dengan sejarah yang di simpan.

Bandar Kuching masih menghirup udara yang sama, dengan seni bina bangunan penjajah dan diadun dalam pelbagai etnik budaya berbeza. Dari penjual air, gerai cenderamata, butik baju sehinggalah kedai yang menjual rempah ratus. Semuanya manis dengan senyuman. Menyambut tamu untuk berdagang. Di bahagian-bahagian bahu jalan pula tumbuhan hijau memayung teduh lorong-lorong kecil yang akhirnya menjadi tempat berkumpul masyarakat setempat. Kami menghabiskan hari ini dengan menaiki Sarawak River Cruise. Menikmati matahari turun sambil melayan pemandangan Kuching dari sudut pandang Sungai Sarawak.

***

Saya bangun awal. Melintan mahu bawa ke Kampung Peraya yang terletak sejam dari bandar Kuching. Selesai makan pagi, perjalanan kami bermula ke destinasi luar bandar. Sebelum sampai ke Kampung Peraya, Melintan dan Lynn bawa ke Semenggoh Orangutan Centre. Lynn beritahu di kawasan tersebut hanya ada 26 orangutan yang dilatih untuk membiasakan diri dengan habitat mereka. Daripada 26 ekor, hanya 2 orangutan sahaja yang keluar bertegur sapa dengan kami. Selebihnya lebih selesa duduk diam di dalam hutan tebal. Habis aktiviti di sini, kami kemudiannya meneruskan perjalanan ke Kampung Peraya. Jalan ke sana sempit. Tidak digalakkan untuk memandu dengan laju. Kiri kanannya penuh hutan. Terdapat beberapa kampung di sepanjang jalan. Selebihnya banyak bukit kosong yang ditarah untuk dijadikan jalan.

Sampai di Kampung Peraya, Valentine Val Ritong menyambut kami. Lelaki dengan seluar pendek dan baju biru ini adalah pemilik Peraya Adventure Stay, rumah panjang yang dijadikan resort. Dia lahir dengan darah Bidayuh dan pertemuan kami banyak berkisarkan budaya Bidayuh yang dibina disekeliling rumah panjang miliknya. Salah satu simbol Bidayuh adalah jambatan unik yang menghubung rumah panjang dan kawasan kampung. Katanya, kaum Bidayuh menjadikan jambatan ini salah satu seni bina wajib ada tidak kira sungai itu besar atau kecil. Semasa menerang, Valentine menggunakan bahasa inggeris, melayu dan kadang-kadang bercampur Bidayuh. Loghat ini kaya dengan keunikannya sendiri berdasarkan sebutan,pertuturan, gerak gaya dan alunan yang dipertuturkan.

Rumah panjang milik Valentine dibina menggunakan buluh dan sebahagiannya pula dibina dengan kayu. Rumah ini mempunyai 10 ruang tidur, manakala tandas pula terletak di bahagian luar. Bahagian legar atau tempat berkumpul dihiasi dengan tikar yang dibuat sepenuhnya dengan buluh. Di bahagian atap pula ditutup dengan buluh yang dijadikan corak bulatan. Ruang ini bersambung dengan balkoni dan di hadapan balkoni hutan hijau mengelilingi ruang. Terasa segar berbanding hutan konkrik yang terdapat di Kuala Lumpur. Kami dijemput makan tengahari yang dimasak oleh kakak Valentine dengan menggunakan dapur kayu. Ada Terong Goreng, Cangkuk Manis, Kacang Panjang dan Ikan Masin.

Semasa di sana, kami dibawa mendaki ke Muan Tabi, salah satu air terjun yang menjadi punca air masyarakat kampung di sana. Sepanjang 2 jam perjalanan ke Muan Tabi, kami dihidangkan dengan cerita-cerita zaman kecil Valentine. Dia menunjukkan kami bekas tapak yang pernah menjadi lokasi rumah panjang bagi kaum Bidayuh. Dibahagian lain pula adalah tapak rumah yang menyimpan tengkorak semasa aktiviti penggal kepala masih menjadi sebuah budaya di sana. Tengkorak pahlawan yang berjaya ditewaskan disimpan sebagai trofi dan sebahagiannya pula diikat di tiang rumah. Kami turut dibawa ke pondok biru yang dibina untuk menyimpan tengkorak tersebut. Sebelum dibenarkan untuk masuk, Valentine larang kami sentuh atau ambil apa-apa barang yang terletak di sana. Katanya, takut roh si mati ikut balik ke rumah panjang. Kami senyum menutup takut yang ada di dada dan mengangguk tanda faham. Selesai melihat tengkorak, kami meneruskan perjalanan ke air terjun. Dinding hijau jauh meninggi. Bunyi serangga, angin dan pohon-pohon redup memayungi arah kami. Sampai sahaja di air terjun, pemandangan hijau memenuhi ruang dan bunyi air menguasai telinga. Matahari jam 5 petang menyelinap masuk di celah-celah daun menjadikan tompokan bayang-bayang. Kami memilih untuk duduk di bahagian atas air terjun. Berehat sebentar sebelum meneruskan jalan pulang.

Dari air terjun ke van mengambil masa sekitar 30 minit. Valentine laju melalui celah-celah jalan kecil. Lelaki berusia 50-an ini tidak menunjukkan langsung tanda-tanda bahawa dia penat. Kata Melin, hutan ini dah jadi sebahagian Valentine, ini taman permainan dia. Sampai di rumah panjang, saya mengambil peluang mandi sungai. Airnya sejuk dan segar. Arusnya pula perlahan dan di satu bahagian yang lain pula tenang. Kadang-kadang ada juga timbul bayangan buaya.  Menjengah malam, kami makan dan selepas itu habiskan sisa-sisa hari dengan bersembang. Melintan dan Valentine bertukar-tukar cerita.

***

Suasana rumah panjang di awal hari nyaman. Udara hutan berebut-rebut masuk ke ruang bilik. Sejuk menjentik-jentik kulit. Saya bangun mencapai berus gigi lalu terus keluar ke tandas. Kelihatan Valentine di dapur sudah mula menyediakan sarapan pagi. Di luar, langit masih kelabu. Bunyi cengkerik, sungai dan daun-daun kedengaran sayup. Saya mandi menyiapkan diri. Setelah itu, kami berkumpul di ruang legar rumah panjang. Menyantap sarapan pagi yang disediakan Valentine. Kopi panas dan nasi goreng jadi punca tenaga kami.

Tepat jam 9 pagi, kami dibawa ke sungai yang berada kurang setengah jam dari rumah panjang. Kelihatan beberapa orang sedang membuat rakit dari pokok buluh. Arus sungai tenang walaupun semalam hujan. Kami akan menghabiskan masa hari ini dengan berakit dan selepas itu berhenti di suatu tempat untuk makan tengahari. Kata Valentine, makan tengahari kami akan dimasak sepenuhnya menggunakan buluh.

Ini adalah kali kedua saya berakit, sebelum ini di Lombok, Indonesia. Pengalaman berakit di sungai negeri Sarawak adalah pengalaman yang luar biasa. Cerita-cerita mengenai buaya dan tanda-tanda tempat tinggalnya bermain-main di kepala. Menurut laporan 2019, lebih 100,000 ekor buaya yang berkeliaran di sekitar Sarawak. Misteri bujang senang dan cerita orang kampung dibaham berkeliaran di lorong-lorong fikiran. Tetapi Valentine memadam kerisauan itu apabila dia memberitahu saya bahawa sungai ini adalah tempat dia membesar, tempat bermain masa kecil. Dia tahu selok belok sungai ini. Di mana tempat yang banyak udang galah. Di mana tempat yang kiri kanan banyak pokok buluh. Di mana tempat yang arusnya deras, airnya dalam dan batu-batunya banyak. Tempat ini turut melihat Valentine tumbuh menjadi seorang dewasa. Sudah hampir sejam berakit, kami akhirnya berhenti di pinggir sungai. Kelihatan orang kampung yang membantu menyiapkan rakit tadi bergegas mencari kayu api untuk memasak makan tengahari. Sebahagian yang lain pula mengutip ulam yang tumbuh di bibir sungai. Saya mahu tolong, tapi lupa tak pandai masak. Jadi saya bantu dengan mengambil gambar. Ada ayam gulai tempoyak, sup, rebung, ulam-ulaman, ikan rebus dan sambal kicap. Tengahari itu, kami makan dengan lahap.

***

Sepanjang di Sarawak, malam-malam banyak dihabiskan dengan duduk mendengar cerita Melintan, Valentine dan Rossalynn. Mereka adalah anak jati Sarawak yang melihat bagaimana negeri ini tumbuh dan menjadi besar. Mereka juga adalah simbol bagaimana perbezaan bahasa, budaya dan tatacara tidak memberi kesan kepada hubungan mereka sesama manusia. Perpaduan yang dibina sudah berlangsung sejak berpuluh tahun dahulu. Kini hasil kesatuan yang dituai, sudah boleh dinikmati dari generasi ke generasi.

Beberapa tahun lalu, sewaktu Yee I-Lann – salah seorang artis dari Sabah – berkata bahawa orang Sabah dan Sarawak lebih Malaysia daripada orang semenanjung. Saya sedikit marah, tetapi apabila melihat sendiri bagaimana penyatuan itu dibentuk melalui masyarakat berbilang bangsa dan agama di dua negeri ini, saya akur dan bersetuju. ‘Malaysia’ itu sendiri tidak boleh ditakrifkan dengan hanya melihat Kuala Lumpur kerana sangat tidak mewakili seorang ‘Malaysia’.

Orang-orang berkata bahawa sebahagian daripada realiti itu datang dengan membaca dan sebahagian lagi dengan mata. Bagi memahami idea ini, anda sendiri perlu berkunjung ke Sarawak. Melihat sendiri bagaimana kemesraan dalam perbezaan itu diraikan. Kunjungan ini bukan berlangsung kosong, tetapi penuh dengan pengalaman dan pelajaran. Satu-satunya buah tangan yang berharga untuk dibawa pulang.

Malam panjang mula beransur. Membunuh dengan kegelapan. Di ruang legar, perbincangan mula bertukar dengan gelak ketawa sambil ditemani Langkau. Arak tempatan yang dibuat daripada beras. Di dalam bilik. Penat mata, lelah badan. Saya tidur sambil memeluk kenangan.

Sarawak diundi negeri yang mempunyai rakyat paling romantis di Malaysia. Rujuk pautan di bawah untuk mengetahui lebih lanjut. 

Sarawak Diundi Negeri Yang Mempunyai Rakyat Paling Romantis Di Malaysia

17 Jam Ke Negeri Che Siti Wan Kembang, Kelantan Sebenarnya Bukanlah Syurga Makanan

7 Aktiviti Pelancongan Unik Di Sarawak Yang Ramai Belum Tahu