Seorang pengerusi tahfiz dikecam oleh rakyat Malaysia apabila mengeluarkan satu hantaran yang berbaur ketidakadilan apabila menyalahkan mangsa rogol yang masih di bawah umur.

Negara kita baru-baru ini dikejutkan dengan kisah seorang pendakwah bebas yang ditahan oleh pihak berkuasa kerana didakwa merogol kanak-kanak berusia 14 tahun.

Orang celek akal akan melihat situasi seorang guru merogol mangsa bawah umur sebagai antunan seksual (sexual grooming). Tetapi bagi pengerusi tahfiz, beliau merasakan kejadian ini berlaku atas dasar suka sama suka dan sebenarnya adalah salah mangsa.

“Ustaz F&N penceramah bebas di tahan kerana merogol berkali-kali seorang gadis berumur 14 tahun.

“Berkali-kali hebat juga, ustaz yang hebat atau gadis 14 tahun tu yang hebat, berkali-kali perginya? Ada kemungkinan juga ustaz ini yang dirogol oleh gadis tersebut,” katanya di Facebook.

Hantaran beliau ini terus menerima kecaman dari pengguna maya yang tidak berpuas hati apabila seorang pengerusi tahfiz sanggup menyalahkan mangsa bawah umur sebagai ‘perogol’.

Apa yang jadi lebih kurang enak adalah apabila seorang pengerusi tahfiz, yang kerjanya dekat dengan remaja bawah umur, tidak faham atau terlalu bodoh untuk mengetahui apa itu atunan seksual.

Ini memberi gambaran bahaya buat anak-anak yang dihantar untuk ke kem tahfiz di bawah pengurusan pengerusi tahfiz tersebut. Boleh jadi anak-anak ini pula akan dipersalahkan jika wujud gangguan seksual.

Selain itu, kejahilan yang dipaparkan oleh pengerusi tahfiz ini akan membuatkan ramai lagi mangsa-mangsa antunan seksual tidak berani ke hadapan untuk melaporkan kepada pihak polis.

Kerana mereka risau mentaliti masyarakat – seperti pengerusi tahfiz – ini yang sanggup menyalahkan mangsa apabila kes rogol atau gangguan seksual berlaku.

Apa itu antunan seksual?

Antunan seksual adalah satu perbuatan dengan sengaja mendekati mangsa sambil berbuat baik atau berlagak alim bagi membina kepercayaan mangsa bawah umur untuk melakukan hubungan seksual.

Kepercayaan yang dibina oleh pemangsa akan membuatkan mangsa terleka dan dalam sesetengah kes yang mangsanya adalah kanak-kanak, boleh jadi mereka ini tidak faham atau belum cukup matang untuk mengetahui bahawa mereka sudah dipengaruh oleh perwatakan pemangsa.

Antunan seksual masih belum difahami secara meluas oleh rakyat Malaysia kerana masih wujud stigma yang menyalahkan mangsa – seperti apa yang dilakukan oleh pengerusi tahfiz tersebut.

Sebahagian mangsa pula tidak berani untuk tampil ke hadapan disebabkan pemangsa adalah orang-orang yang berpengaruh dan mempunyai pangkat.

Bagaimanapun, pada November 2021, kerajaan telah mengubal Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017.

Individu yang didapati bersalah mempengaruhi kanak-kanak untuk melakukan hubungan seksual boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebat.

Guru tuntut RM1 juta daripada Ain Husniza, dakwa tuduhan jenaka rogol sebagai fitnah. Rujuk pautan di bawah untuk membaca.

Guru Tuntut RM1 Juta Daripada Ain Husniza, Dakwa Tuduhan Jenaka Rogol Sebagai Fitnah

Lantang Suarakan Isu Jenaka Rogol Di Sekolah, Pelajar Ini Terima Ancaman Dibuang Sekolah

Ain Husniza Dan Bapanya Disaman Bekas Guru, Dakwa Tuduhan Jenaka Rogol Sebagai Fitnah