Jam pintar yang digunakan pada setiap hari juga mempunyai potensi untuk mengalami masalah serius seperti meletup secara tiba-tiba berpunca daripada bateri kembung. Hal ini kerana dilaporkan seorang pengguna Apple Watch Series 7 mengalami masalah terlalu panas sehingga akhirnya meletup.

Kes ini sudah pun dimaklumkan kepada Apple dan mereka mengesahkan akan melakukan siasatan terperinci berhubung perkara itu. Malah, Apple didakwa meminta pengguna untuk berdiam diri dan tidak berkongsi insiden tersebut secara terbuka.

Baca Juga:

Sumber Gambar: 9to5mac

Berdasarkan maklumat yang dikongsi, pengguna Apple Watch yang ketika itu berada di rumah dengan suhu optimum menjelaskan beliau menyedari jam yang dipakai di pergelangan tangan menjadi lebih panas daripada biasa. Selepas itu, beliau mendapati bahagian belakang Apple Watch telah retak secara tiba-tiba.

Perisian WatchOS juga memberi amaran untuk mematikan jam pintar itu kerana suhu terlalu tinggi. Beliau kemudian menghubungi Apple Support untuk tindakan lanjut dan hanya menerima respon yang mengarahkan pengguna tidak menyentuh Apple Watch berkenaan sehingga mendapat maklum balas Apple.

Pada hari berikutnya, keadaan jam pintar itu kelihatan lebih parah apabila didapati semakin panas sehingga mengeluarkan asap dan menjejaskan paparan peranti. Akhir sekali, Apple Watch tersebut mula mengeluarkan bunyi retak dan akhirnya meletup.

Ekoran insiden tersebut, beliau menghubungi Apple sekali lagi dan mereka mengatur pengambilan produk itu semula dan akan dibawa ke makmal ujian untuk tindakan lanjut. Bukan itu sahaja, Apple juga telah menghantar dokumen untuk ditandatangani oleh beliau agar tidak mendedahkan insiden ini kepada umum.

Beliau memilih untuk tidak berbuat sedemikian lalu mendedahkan mengenai insiden dan juga dakwaan permintaan untuk menyimpan rahsia daripada khalayak ramai. Perkara ini sekaligus menjadi bualan di internet dan ramai yang memberi respon merasa agar ngeri kerana sedang menggunakan jam pintar tersebut.