Salah satu peranti Apple yang menjadi perhatian orang ramai pada hari ini adalah iPhone 14 Pro Max. Model ini secara khususnya dilihat menghadapi beberapa masalah serius meskipun datang daripada siri iPhone paling terkini.

Terbaharu, seorang pemilik iPhone 14 Pro Max menerusi kumpulan Malaysia iPhone Users telah berkongsi masalah bateri kembung yang dihadapinya. Agak mengejutkan juga melihat perkara ini boleh berlaku walaupun dimaklumkan baru digunakan dalam sebulan sahaja.

Baca Juga:

Sumber Gambar: FB Group Malaysia iPhone Users

Difahamkan beliau boleh menuntut waranti untuk peranti tersebut selepas menghubungi pihak Apple. Dalam pada itu, iPhone 14 Pro Max ini juga dikatakan hanya digunakan untuk melayari laman media sosial dan lebih parah lagi Battery Health sudah menurun sebanyak 3% dalam tempoh sebulan penggunaan.

Menjengah ke komen hantaran tersebut, rata-ratanya pengguna mempertikaikan tahap kualiti produk iPhone yang dilihat semakin teruk pada saban tahun. Walaupun harga mencecah lebih RM5,000, para pembeli merasa kualiti yang ditawarkan seperti tidak setimpal dan mula mempersoalkan sejauh mana tahap premium menerusi produk Apple pada hari ini.

Sumber Gambar: FB Group Malaysia iPhone Users
Sumber Gambar: FB Group Malaysia iPhone Users

Model iPhone 14 Pro Max yang baru sahaja dilancarkan pada September lalu dilihat mengalami pelbagai masalah serius seperti skrin berkelip, kamera bergegar dan masalah bug pada perisian. Malah, siri model iPhone 13 Pro juga tidak terkecuali dengan isu white screen yang membuatkan peranti tidak boleh digunakan langsung.

Jika Apple masih tidak menangani isu berkenaan, terdapat kemungkinan majoriti pengguna iPhone beralih ke jenama lain pula kerana merasa tidak berbaloi dengan wang yang dibelanjakan. Dalam pada itu, ramai juga yang menjangkakan masalah white screen juga berpotensi berlaku pada siri iPhone 14 kali ini kerana pengawalan kualiti yang teruk.