Terdapat beberapa senjata yang sinonim digunakan dalam seni bela diri Melayu. Antaranya adalah keris (senjata yang menjadi simbolik dalam persilatan Melayu), buku lima atau senjata sulit yang juga dikenali dengan nama ‘tapak harimau’, kerambit, sundang, pedang, golok termasuk tekpi.

Uniknya, tekpi bukan digunakan dalam seni bela diri Melayu sahaja. Tekpi atau juga disebut sai atau tjabang (sebutan: chabang dalam bahasa Indonesia) ini turut digunakan oleh kebanyakkan seni bela diri antarabangsa yang lain. Namun, di dalam seni bela diri Melayu, tekpi lebih terkenal digelar sebagai Raja Segala Senjata. Ini adalah kerana fungsi dan reka bentuknya terbukti mampu memerangkap serta menangkis segala ancaman daripada senjata lain. Baik yang bersifat pendek, panjang atau tajam.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →
Sumber: Flickr

Tekpi selalunya diperbuat daripada besi, memiliki bentuk cabang 3 yang mana cabang utama berbentuk lurus dan panjang (tidak tajam) dan 2 cabang lagi berbentuk seperti huruf ‘U’ atau seperti tanduk kerbau yang dipanggil sampir. Teknik penggunaan tekpi sebagai senjata dalam seni bela diri berbeza mengikut corak permainan seni bela diri masing-masing. Sebagai contoh, teknik penggunaan tekpi dalam silat dan karate adalah berbeza. Meskipun begitu, fungsi tekpi sebagai senjata melibatakan pergerakan memukul, menusuk, menghentak atau mengunci boleh dikatakan hampir sama sahaja.

Senjata yang tidak dituntut

Tidak seperti kerambit atau keris, sehingga ke hari ini masih lagi belum ada mana-mana seni bela diri di dunia yang mengiktiraf tekpi sebagai senjata asli mereka. Ini kerana terdapat pelbagai pendapat yang membahaskan asal usul kewujudan tekpi. Sebahagian daripada pengiat seni bela diri mempercayai bahawa tekpi berasal dari China kemudian tersebar ke Malaysia melalui Kedah semasa perdagangan India, China di utara Malaysia iaitu sempadan Malaysia dan Thailand.

Dalam pendapat yang lain mendakwa, tekpi sebenarnya berasal dari Indonesia sebelum tersebar ke Malaysia, India, China , Indochina dan Okinawa iaitu wilayah Jepun yang paling selatan. Manakala, satu lagi pendapat mengatakan tekpi ini sebenarnya senjata yang diadaptasi daripada trisula (tombok bermata tiga) berasal dari Benua India sebelum tersebar ke Indonesia dan Malaysia.

Secara kasar, asal usul tekpi mempunyai 3 pendapat yang berbeza. Pertama, tekpi berasal dari China kemudian tersebar ke Malaysia. Kedua, tekpi berasal daripada Indonesia kemudian tersebar ke Malaysia, China, Indochina dan Jepun. Dan yang ketiga, tekpi berasal dari Benua India kemudian tersebar ke Indonesia dan Malaysia.

Sumber Gambar: SendengHajiAhmad.com

Menurut salah seorang pengiat seni bela diri tanah air, Tuan Mohd Asnan selaku tenaga pengajar di Persatuan Lingkaran Gerak Lian Malaysia semasa pertemuan bersama tim editor Vocket di Muzium Seni Kuantan, Pahang pada minggu lepas juga bersetuju bahawa sejarah berkenaan asal usul tekpi masih tidak boleh dibahas secara terperinci oleh kerana terlalu banyak pendapat yang berbeza.

Bagi pengiat seni bela diri, memiliki kefahaman serta kemahiran yang tinggi untuk mengendali ‘Raja Segala Senjata’ ini adalah perkara yang paling utama. Tanpa ilmu dan kemahiran,  tiada ada apa yang menjadikan senjata ini istimewa berbanding senjata yang lain. Antara seni bela diri Melayu yang menggunakan tekpi sebagai senjata dalam latihan ialah, Silat Warisan Tekpi Endau, Silat Kuntau Tekpi, Silat Sendeng, Silat Gayong, Silat Harimau Berantai dan banyak lagi.

BACA: Untuk Apa Saya Belajar Seni Bela Diri Jika Boleh Gunakan Pistol