Semalam tular satu perkongsian video di media sosial yang menunjukkan kemalangan antara sebuah lori dan penghantar makanan di persimpangan jalan. Video tersebut menunjukkan sebuah motosikal merempuh lori yang mahu masuk ke simpang kanan jalan.

Difahamkan kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 10.00 pagi semalam yang mengakibatkan seorang penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh lori yang ingin masuk ke simpang di Jalan Welfare, Kampung Baru Sungai Buloh.

Mangsa yang berumur 32 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala selepas merempuh bahagian hadapan lori berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC dalam perjalanan ke arah Jalan Welfare.

“Setibanya di persimpangan, lori yang berada di jalan sama masuk ke simpang kanan, dalam masa yang sama mangsa ketika itu sedang memotong lori itu.

“Mangsa tidak sempat mengelak sebelum merempuh bahagian hadapan lori berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tambah beliau lagi, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh sebelum dituntut ahli keluarga dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Lihat lagi artikel yang menjadi pilihan pembaca The Vocket melalui pautan di bawah ini.

Ebit Lew Diminta Henti Beri Sumbangan Di Sabah, Diberitahu Boleh Dihukum Penjara 3 Tahun

Kerana Terlalu Obses, Lelaki Ini Sanggup Bakar Toyota Alphard Milik Artis Pujaannya

Sumber