Pagi ini (22 Mei 2017), ketika saya mendapat tahu tentang kehilangan bot Tim Menggeledah KD Perdana di perairan Sedili terus saya mengigil dan sebak bila membaca kronologi kejadian serta tindakan serta merta yang telah diambil pihak atasan. Setinggi-tinggi tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua yang sedang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) tatkala ini.

Satu persatu maklumat berkenaan insiden ini cuba saya cari di Facebook. Paling menyedihkan bila saya terbaca komen-komen netizen, ada yang memerli serta mengutuk aset-aset TLDM termasuk anggota dan pegawainya. Pada saya biarlah orang sebegitu. Takkan runtuh awan di langit , takkan berkocak air di tempayan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Jika nak diceritakan pengalaman kami sebagai Pasukan Keselamatan, saya percaya ada perkara-perkara yang tak pernah terlintas pun dalam benak kalian (tak perlu saya ceritakan di sini). Namun, ketahuilah oleh kalian. Bahawa mereka ini bersengkang mata mengerah tulang empat kerat demi mendaulatkan perairan serta kawasan tanah air kita.

Ya, ada juga yang pernah bertanya kepada saya, apa kerja TLDM di kala aman? Makan gaji buta ke? Duduk goyang kaki sahaja ke? Nah, Tuhan telah tunjukkan pada kalian betapa merbahayanya kerja kami.

Demi hendak membela sumber laut dari diambil tanpa kebenaran yang sah oleh nelayan asing dan demi hendak menjaga kepentingan, keselamatan serta pendapatan nelayan tempatan yang pastinya terjejas akibat dari kecurian hasil laut negara ini kesan dari penggunaan kaedah tangkapan oleh warga asing yang diharamkan (bom ikan, pukat hanyut dsb) oleh Kerajaan Malaysia. Ini belum cerita lagi tentang ancaman lanun.

Ketika sesebuah kapal berada dalam tempoh pelayaran, apabila terdapat objek asing di laut, perkara pertama yang akan kami lakukan ialah melaporkan ke Pegawai Bertugas Anjungan (PBA) (anjungan-tempat bawa kapal) dan Pegawai Memerintah (PM) kapal.

Pegawai yang telah ditauliahkan ini menyemak maklumat tersebut melalui dua cara iaitu secara visual dan melalui pengawasan radar. Apabila sahih terdapat sebarang objek asing (dalam insiden ini – bot nelayan) yang tidak dikenali berada di dalam perairan negara kita, kebiasaannya satu hubungan telekomunikasi melalui radio akan cuba diwujudkan di antara kapal peronda dan objek tersebut.

Kapal juga kebiasaannya akan menukar haluan ke arah objek asing tersebut dan mendekati pada jarak selamat untuk melakukan pengecaman visual sekiranya terdapat sebarang pergerakan mencurigakan di atas bot tersebut.

Jika hubungan telekomunikasi ini tidak berbalas ataupun objek asing tersebut dilihat cuba mengubah haluan dengan mendadak dan di atas pertimbangan PM kapal, Tim Menggeledah dikehendaki bersiap sedia untuk menurunkan bot serta dikerah ke lokasi objek asing tersebut.

Tim Menggeledah juga dibekalkan dengan Jaket Keselamatan dan selepas taklimat ringkas serta pemeriksaan keselamatan dilaksanakan, bot akan diturunkan. Senjata juga tersemat di badan sebagai langkah persediaan.

Untuk pengetahuan kalian, semua aset TLDM yang diarahkan keluar untuk tujuan rondaan berada dalam keadaan yang sangat baik dari segi kesiapsiagaan. Setiap SOP sentiasa kami patuhi untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini memandangkan ini melibatkan nyawa kami sendiri.

Masa inilah semua anak kapal akan mengalami saat debaran yang tak dapat saya ungkapkan. Terbayang wajah ibu, ayah, isteri dan anak-anak serta terbayang tentang sebarang kemungkinan yang bakal terjadi.

Cuaca di laut bukan seperti di darat. Tiada amaran, tiada tanda, tiada jaminan. Dahulu setiap kali saya bertugas di laut dan dihempas ombak badai yang adakala sampai singgah percikan airnya ke muka, di saat itulah terasa kerdilnya kita sehingga sebak bertandang di hati. Hanya mampu berdoa agar setiap perjalanan itu selamat dan berjalan lancar.

Berbalik kepada insiden ini. Ya, siapa yang mahu perkara sebegini terjadi? Saya sendiri tidak mahu. Saya sendiri tidak dapat membayangkan apa yang telah terjadi dan mengikut kenyataan rasmi TLDM sendiri bahawa mereka dipercayai berlindung di daratan terhampir atau di bot nelayan yang berada di sekitar perairan Sedili.

Saya dan kalian sendiri belum tahu apakah kesudahan cerita ini. Mohon kalian panjatkan berbanyak doa ke atas mereka yang terlibat. Moga Tuhan memberikan mereka dan keluarga terdekat mereka kekuatan, ketenangan serta kesabaran dalam menerima berita ini.

Dan kalian, usahlah pula kalian mengaitkan insiden ini dengan isu politik negara, ekonomi negara, mahupun harga minyak yang naik baru-baru ini. Sudah-sudahlah. Biarlah mereka yang terlibat dalam operasi menyelamat melaksanakan kerja mereka sehingga selesai.

Ingatlah, kadangkala musibah yang melanda, terjadi akibat dosa-dosa maksiat yang kita sendiri pernah lakukan sehingga Tuhan menghukum komuniti dan negara kita dengan rentetan isu-isu sebegini. Bersyukurlah dahulu. Baru Tuhan tambah nikmat.

Untuk sahabat yang terlibat, LT Hidir Gabenor Ximuk. Kau kuat, kau tenang dalam menghadapi benda-benda macam ni. Aku bukan kenal kau hari ini. Sejak zaman sekolah dulu aku tahu dah kuat kau macam mana, Tuhan membantu kau mok. Terus kuat bro! Kuat!

LT (B) Mohd Fuad Bin Abd Khalid TLDM

Ex KD Mahawangsa
Ex KD Sri Gaya
Ex RMN Stn Uniform

“Sedia Berkorban”