Pihak berkuasa tempatan akan menggunakan kamera badan bagi mengumpulkan bukti dalam membanteras kesalahan merokok di kawasan larangan. Para perokok kini perlu lebih berhati-hati kerana anda mungkin tidak tahu kelakuan anda merokok di kawasan awam mungkin akan dirakam.

Terbaharu, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya kini sudah mula menggunakan kamera badan untuk merekod mereka yang didapati merokok di kawasan larangan merokok, lapor Malaysia Gazette.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pengarah jabatan itu, Dr Nor’Aishah Abu Bakar berkata, rakaman video dan gambar itu akan digunakan sebagai bahan bukti dan sokongan bagi memastikan keselamatan dan integriti pegawai penguat kuasa.

Beliau berkata sejak 12 Disember hingga semalam, sebanyak 147 notis kesalahan merokok dikeluarkan hasil daripada 10 operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Daripada jumlah itu, beliau berkata 140 notis dikeluarkan bagi kesalahan melanggar Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 iaitu merokok di tempat larangan.

“Sebanyak tujuh notis telah dikeluarkan kerana melanggar Peraturan 13 iaitu larangan merokok, mengunyah, membeli atau memiliki sebarang produk tembakau oleh kanak-kanak di bawah umur,” katanya.

Beliau menegaskan larangan merokok di pusat beli-belah, perhentian awam dan kedai makan di Kuala Lumpur dan Putrajaya akan terus dikuatkuasakan.