Semalam, laman Sotheby’s secara rasmi telah mengumumkan penjualan model vintaj yang rare oleh Nike, Moon Shoe yang terjual pada harga RM1.8 juta dalam satu acara lelongan.

Hanya 12 pasang model ini dihasilkan dan model yang terjual ini adalah model yang masih dalam keadaan tidak dipakai (deadstock). Namun, tahukah anda salah seorang collector tegar Nike di Malaysia dikhabarkan menyimpan sepasang daripada baki 11 model kasut ini? Insan bertuah berkenaan adalah Mohd Saufee atau lebih mesra dikenali sebagai Hatu Guni.

Berita ini dikongsikan oleh saudara Ide Adol, pengumpul adidas vintaj yang disegani di Malaysia. Ide turut berkongsikan gambar Hatu Guni mempamerkan model Moon Shoe berkenaan berlatarkan koleksi kasut Nike vintaj miliknya.

Hatu Guni - nike moon shoe
Hatu Guni bersama kasut Nike ‘Moon Shoe’. Kredit gambar: Ide Adol

Sedikit info tentang saudara Hatu Guni. Hatu Guni merupakan salah seorang pengumpul kasut Nike vintaj terbesar dunia dan sangat dikenali dalam kalangan collector Nike. Beliau kerap mendapat undangan ke Jepun untuk berkongsikan model vintaj yang ada dalam simpanannya untuk dilihat oleh pengumpul di sana.

Pada awalnya beliau hanya minat membeli dan pakai sahaja, tetapi setelah mengumpul beberapa koleksi menyebabkan minat beliau bertukar kepada hobi.

Kami akan cuba mendapatkan info lanjut tentang model ini daripada saudara Hatu Guni dan nantikan, bagaimana kisah beliau boleh mendapat kasut yang super rare ini dalam simpanannya. Tunggu!