Sejak semalam, nama Khairul Aming menjadi bualan netizen di media sosial apabila muncul dakwaan pembantu peribadinya dikatakan sombong dan biadab ketika orang awam mahu berurusan berhubung khidmat pengiklanan atau kolaborasi bersama influencer tersebut.

Lantaran itu, Khairul Aming dalam satu kenyataan di Twitter miliknya memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat dan berjanji akan memperbaiki pada masa akan datang serta berterima kasih atas sokongan daripada semua pihak.

Baca Juga:

Menurutnya, individu yang hangat diperkatakan oleh netizen bukanlah pembantu peribadi tetapi pengurusnya dan ketika ini telah memadamkan nombor pengurusnya di semua media sosial untuk sebarang urusan dengannya. Malah, segala urusan akan diambil alih olehnya sehingga mendapat pengganti.

Tambahnya lagi, dia akan hanya fokus untuk menghasilkan video memasak dan akan berhenti seketika untuk hasilkan video client termasuk produk makanan, restoran, seminar dan lain-lain.

Berhubung isu pengurusnya, dia akui itu silapnya kerana tidak crosscheck kualiti kerja pengurusnya yang merupakan rakannya itu sehingga ramai orang terpaksa berdepan pengalaman tidak menyenangkan.

Malah, Khairul juga akan mengambil maklum segala nasihat yang diberikan oleh orang ramai dan mengatakan akan mengambil tindakan sewajarnya di masa depan serta meminta maaf atas semua kesulitan.