Jawatankuasa Amber Court, Genting Higlands mengecam tindakan menyebarkan maklumat tidak berasas dengan mendakwa bahawa bangunan tersebut dihuni oleh makhluk ghaib atau lebih kenali sebagai hantu.

Mereka turut menyelar tindakan beberapa pencipta kandungan yang menyiarkan video di laman YouTube dengan memalsukan bunyi dan menggunakan pelakon bagi memberi impak seram seolah-olah bangunan tersebut memang berhantu.

Agensi Pengurusan Pavilion Genting Caiyun dalam sidang media yang dilaporkan oleh Oriental Daily berkata bahawa pihaknya tidak teragak-agak untuk  mengambil tindakan undang-undang terhadap pencipta kandungan yang menyebarkan maklumat palsu sehingga memberi kesan ekonomi dan kemorosotan nilai hartanah bangunan tersebut.

Selain itu, pihak pengurusan turut mendedahkan bahawa YouTuber dan pencipta kandungan yang memasuki bangunan dengan niat untuk melakukan penggambaran cenderung memasuki bangunan tersebut secara haram dengan memecah masuk ke unit persendirian semasa kompleks itu sedang dalam pengubahsuaian.

“Kami memberi amaran kepada sesiapa sahaja yang cuba terus memfitnah dan merosakkan pangsapuri. Selain menghubungi polis, pemilik juga akan memulakan prosiding undang-undang terhadap semua mereka yang cuba merosakkan reputasi dan imej paspuri, termasuk selebriti internet, YouTuber, ahli Feng Shui, Pemimpin Pendapat Utama (KOL) dan lain-lain,” kongsi pengerusi Datuk Seri KK Chai.

Dalam pada itu, pihak pengurusan juga bercadang untuk menjenamakan semula bangunan dan memperbaiki imej bangunan tersebut dengan melakukan perubahan besar bagi memberi nafas baharu kepada bangunan tersebut.

“Dengan sokongan pemilik pangsapuri, pihak pengurusan telah menaik taraf sistem keselamatan pangsapuri, menambah CCTV, menambah bilangan pengawal keselamatan dan memulakan pengubahsuaian besar bagi menghidupkan semula pangsapuri tersebut dengan wajah baharu.”

‘Selalu dengar suara kanak-kanak..’ – Dokumentari ini papar ‘misteri’ yang menghantui Amber Court. Rujuk pautan di bawah untuk membaca.

‘Selalu Dengar Suara Kanak-Kanak..’ – Dokumentari Ini Papar ‘Misteri’ Yang Menghantui Amber Court