Semakin hari semakin ramai individu mula berminat untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan makanan terutama sekali di kawasan bandar. Maka, kedai makan, restoran mahupun cafe muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan membuatkan persaingan semakin sengit. Untuk memulakan perniagaan kedai makan ini bukanlah satu benda yang mudah. Jika salah percaturan boleh gulung tikar pula nanti.

Menyedari hal ini, seorang pengguna media sosial @FadzilahMamat terpanggil untuk berkongsi tips dan kos keseluruhan untuk memulakan perniagaan kedai makan. Tips yang dikongsikan ini adalah melalui panduan dan pengalamannya yang bakal membuka sebuah kedai makan Nasi Ayam Cincang di Seremban 2 bermula 19 September ini.

EEqEYD9U0AAXRN2

1. Deposit & Sewa

Sebagai permulaan, beliau perlu membelanjakan sejumlah wang untuk membayar duit deposit dan sewa kedai mengikut perjanjian iaitu 2 bulan deposit  + 1 bulan sewa bulan pertama beserta RM 2000 deposit api air dan RM 300 untuk agreement dengan pemilik kedai tersebut dan jumlahnya adalah sebanyak RM 8900.

2. Kerusi Meja

Perkara penting yang perlu dititik beratkan untuk membuka kedai makan ialah konsep dan jenis perabot seperti kerusi meja yang ingin digunakan. Menurut Puan Fadzilah, beliau menggunakan kerusi meja second hand yang dibeli melalui Carousell kerana proses jual beli yang mudah dan secara terus dengan penjual tanpa melalui orang tengah.

Beliau membeli meja sebanyak 9 unit yang beharga RM120 untuk sebuah meja dan kerusi sebanyak 36 unit yang berharga RM13 setiap satu dan jumlah keseluruhannya ialah RM1548

3. Awning

Salah satu aspek penting terhadap perniagaan makanan anda adalah dengan cara menyediakan ruang dapur yang sesuai untuk aktiviti memasak dan menyediakan makanan yang ingin dijual. Menurut Puan Fadzilah, terdapat ruang besar di bahagian hadapan kedai dan beliau bercadang untuk menggoreng dan membungkus nasi di situ. Jadi beliau telah memasang awning dengan kos sebanyak RM2000.

4. Plumbing

Bagi kedai makan, sudah semestinya perkara penting yang perlu ada ialah tempat mencuci tangan untuk keselesaan pelanggan. Jadi beliau telah meminta bantuan plumber untuk memasang 3 sinki iaitu di bahagian dapur, tempat membancuh air minuman dan tempat pelanggan mencuci tangan. Kos untuk pemasangan sinki ini melibatkan jumlah sebanyak RM700. Beliau kemudian membelanjakan sebanyak RM1600 untuk membeli 3 sinki di bahagian tersebut.

5. Ruang Kaunter Pembayaran

Sudah nama pun perniagaan makanan pastinya perlu ada ruang untuk ruang letak makanan dan kaunter pembayaran. Beliau menggunakan laman Carousell iaitu website yang digunakan untuk para penjual dan pembeli melakukan urusan jual beli.

Menurut beliau, harga yang ditawarkan untuk mendapatkan kabinet, meja jualan serta kaunter pembayaran adalah berpatutan iaitu sebanyak RM780.

6. Laman Web & Media Sosial

Yang ini paling penting sekali kerana orang ramai sekarang menggunakan social media untuk mengetahui update terbaharu. Inilah masa yang sesuai untuk menggunakan kuasa viral dan hebahkan perniagaan ini kepada umum. Mula dengan cara ‘teaser’, menyebut tentang harga promosi pengenalan dan pengenalan kepada menu.

Menurut beliau, pertama sekali beliau menggunakan media sosial untuk menyemak nama perniagaan yang di pilih dan kemudian beliau sign up akaun seperti Twitter, Instagram dan Facebook untuk mendaftar perniagaan tersebut. Melalui media sosial, perniagaan tersebut dapat di iklankan dengan lebih cepat dan mudah.

7. Banner & Bunting

Pelan pemasaran adalah rancangan bagaimana untuk mendapatkan hebahan tentang kedai makan baru anda. Pelan pemasaran melibatkan banyak variasi untuk membantu memberi hebahan mengenai kewujudan kedai makan dan bila ia akan beroperasi.

Untuk itu, puan Fadzilah telah menghabiskan sekurang-kurangnya RM321 untuk mencetak banner seperti akan dibuka bersaiz 10×4 berharga RM60, banner “Kini Dibuka” bersaiz 18×3 berharga RM81 dan bunting “Kini Dibuka” bersaiz 2×6 berharga RM180 untuk 10 helai.

8. Dapur

Anda harus pandai memilih perkakas dapur yang tahan lasak serta mampu digunakan untuk jangka masa yang panjang. Perkakas ini boleh terus dibeli dengan pengedar yang dapat memberi harga khusus.

Menurut Puan Fadzilah, beliau telah membelanjakan hampir RM2000 ++ untuk membeli beberapa peralatan memasak seperti dapur tekanan tinggi, tong gas, bekas nasi, pinggan dan banyak lagi perkakas yang digunakan untuk menjalankan perniagaannya. 

Tips yang dikongsikan oleh Puan Fadzilah ini telah mendapat respon positif daripada warganet dan ramai berterima kasih dengan ilmu yang diberikan. Malah ada yang meminta alamat lengkap untuk singgah ke kedainya nanti.

Jadi, secara kasar anda memerlukan ~RM 30,000 untuk memulakan perniagaan kedai makan. Apa yang menariknya, hari ini merupakan hari pembukaan kedai ini yang beralamat di No 24G, Jalan S2 F1, Garden Homes, Seremban 2, Negeri Sembilan. Boleh lah anda merasai sendiri air tangan Puan Fadzilah ini.

Setiap perniagaan makanan mampu berjaya jika anda memberikan yang terbaik dalam penghasilannya. Klik pautan dibawah untuk mengetahui tempat makan ‘murah’ dan sedap di Kota Damansara.

5 Tempat Makan ‘Murah’ Dan Sedap Di Kota Damansara

Ini Top 5 Makanan Tempatan Paling Digemari Rakyat Malaysia

5 Restoran Tawar Makanan Percuma Di Kuala Lumpur Dan Lembah Klang

Sumber