Kucing yang terkenal di seluruh dunia kerana pernah menghuni bangunan bersejarah Hagia Sophia di Turki, Gli baru-baru ini dilaporkan telah meninggal dunia pada usia 16 tahun.

Gli yang merupakan penghuni bangunan bersejarah di Istanbul itu difahamkan telah menerima rawatan di salah sebuah klinik haiwan swasta di kota berkenaan sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir pada satu tarikh yang tidak dimaklumkan.

“Kucing Hagia Sophia, Gli, yang dirawat di salah satu klinik veterinar swasta di Istanbul sejak 24 September yang lalu telah meninggal dunia kerana faktor usia tuanya.

“Kami tidak akan pernah melupakan kamu Gli,” kata Datuk Bandar Metropolis Turki, Ali Yerlikaya di akaun Twitternya.

Sebelum ini, Gli si kucing kelabu yang memiliki sepasang mata berwarna hijau itu sering menjadi tarikan para pengunjung apabila melawat Hagia Sophia di Turki.

Selain daripada pelancong dan pengunjung biasa, Gli juga pernah mencipta sejarah apabila menyambut kedatangan rombongan bekas presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

hqdefault
Obama ketika bertemu dengan Gli di Hagia Sophia pada 2009. FOTO: AFP

Obama dalam lawatannya ke Turki pada 2009 itu dirakam sempat ‘menegur’ Gli ketika lawatan ke bangunan bersejarah itu yang turut disertai pemimpin Turki, Recep Tayyip Erdoğan.

Bukan sahaja menjadi tumpuan pengunjung yang berebut-rebut untuk bergambar dan merakamkan kenangan bersamanya, namun Gli juga mempunyai lebih seratus ribu pengikut di akaun media sosial Instagram yang didekasikan khas buatnya.

Hagia Sophia sentiasa menjadi rumah Gli

Pada awal tahun ini, kerajaan Turki telah dilaporkan menukarkan fungsi Hagia Sophia daripada sebuah muzium kepada sebuah masjid. Pada asalnya, bangunan warisan dunia yang dibina pada abad ke -16 ini merupakan sebuah gereja katedral.

Bagaimanapun setelah kerajaan Turki Uthmaniyyah menduduki Konstantinopel yang kini dikenali sebagai Istanbul, bangunan gereja tersebut telah bertukar fungsi dan telah dijadikan sebagai masjid.

Berfungsi sebagai tempat ibadah penganut Islam selama kira kira 500 tahun, pada tahun 1934 Hagia Sophia sekali lagi bertukar menjadi muzium apabila kerajaan Uthmaniyyah mengundurkan diri dan diganti dengan Republik.

Namun begitu, pada tahun 2019, Presiden Recep Tayyip Erdogan telah menyuarakan pendapat bahawa silap besar untuk mengubah bangunan tersebut menjadi muzium jadi beliau telah berjanji akan mengembalikan fungsi bangunan bersejarah itu kepada masjid dan akhirnya menjadi kenyataan pada tahun ini.

Walaupun status Hagia Sophia telah berubah namun jurucakap kepada presiden Erdogan menjelaskan kepada Reuters pada tahun ini bahawa Hagia Sophia akan kekal menjadi ‘rumah’ kepada Gli dan rakan-rakannya.

Dan kini selepas beberapa tahun menjadikan Hagia Sophia sebagai rumahnya dan menjadi antara tarikan utama pengunjung, Gli akhirnya meninggalkan dunia selepas disahkan berpunca daripada sakit tua.

Baca juga tentang tindakan lelaki ini yang dikecam netizen selepas bertindak melempar kucing hanya kerana memanjat cermin keretanya. Klik pautan di bawah untuk membaca. 

Netizen Kecam Tindakan Lelaki Ini Lempar Kucing Hanya Kerana Panjat Cermin Keretanya

Kisah Kucing Yang Patah Hati Setelah Tuannya Meninggal Dunia

Pulau Kucing Di Pahang Ini Jadi Tarikan Terbaru Buat Peminat Kucing Di Malaysia