2 orang banduan ini dahagakan ilmu sehingga mahu menyambung pelajaran ke peringkat PhD selepas memperolehi Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) dari Open University Malaysia (OUM) pada tahun ini.

Kisah Jim

Tatkala berusia 17 tahun, Jim disabitkan dengan pembunuhan dan dipenjarakan di Penjara Kajang. Selepas 14 tahun, dia kini berusia 31 tahun telah lulus MBA dengan purata CGPA 3.26. Ia satu pencapaian yang membanggakan penjara, keluarga dan dirinya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Lebih istimewa, Jim, anak sulung dari lima adik-beradik telah menerima sijil di majlis konvokesyen OUM baru-baru ini. Dia turut menyatakan dirinya sedang bersiap untuk buat PhD dalam bidang yang sama. Berkenaan perbelanjaan pelajarannya pula, ia ditanggung oleh keluarga Jim.

Ikuti temubual Jim bersama wartawan The Malay Mail:

“Apa yang penting ialah saya tidak berasa malu dengan diri saya sendiri. Stigma tidak lagi. Saya terima bagaimana masyarakat mungkin melihat saya,” kata Jim di luar konvokesyen.

“Salah satu perkara yang saya pelajari dalam 14 tahun yang lalu adalah bagaimana untuk mengendalikan emosi saya, jadi saya tidak akan membiarkan pandangan orang lain melemahkan saya,” katanya.

“Apabila saya berada di penjara, saya menyedari bahawa saya boleh mempengaruhi orang, bukan orang yang mempengaruhi saya. Jadi, saya mula mempengaruhi orang seusia saya, bukan sahaja tentang pendidikan tetapi juga mengenai moral dan agama,” katanya.

“Ini merupakan transformasi utama bagi saya, dan saya berharap dapat membawa pengalaman saya dan berkongsi pengetahuan ini dengan orang lain,” katanya.

Kisah Adam

Adam, 30, juga disabitkan dengan pembunuhan ketika berusia 14 tahun pada 2001. Ketika itu dia seorang remaja yang buta huruf tapi kini telah berjaya memperolehi MBA dari OUM.

Ini membuktikan penjara telah memberi impak positif di dalam kehidupannya. Menurut Adam, pendidikan memberikan satu harapan dan penebusan buat dirinya dan itu membuatkan dia mahu melanjutkan pengajian di peringkat PhD pula.

Dia ditemani ibu bapa dan adik di majlis konvokesyen, berkongsi cerita dengan wartawan The Star tentang bagaimana dia boleh mula belajar di penjara.

“Beberapa tahun pertama di penjara, saya hanya hidup begitu saja. Sehingga seorang pegawai yang dipanggil Tuan Ajib memberitahu saya supaya berhenti bangun dan tidur setiap hari dan membuat sesuatu untuk diri saya sendiri.

“Pada waktu itulah saya memutuskan untuk mendapatkan pendidikan saya. Sedikit demi sedikit, saya belajar keras dan duduki SPM saya pada tahun 2006 sebelum melakukan STPM dan ijazah saya,” katanya.

“Dan saya tidak berhenti di sini. Saya mahu buat PhD saya seterusnya,” katanya.

“Saya mahu menyokong ibu dan keluargaku jika saya keluar dan memberikan kembali kepada masyarakat,” katanya.

Ulasan Pegawai Penjara

Kejayaan Jim dan Adam menjadi bukti bahawa sistem penjara boleh merehabilitasikan para banduan melalui pendidikan dan dalam masa yang sama belajar mengawal diri.

Kejayaan seperti ini turut menjadi pemangkin buat pihak penjara bekerja keras untuk meneruskannya. Ini kerana banduan dengan kelayakan pendidikan yang baik mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mengulangi kesalahan.

Penutup

Jim dan Adam ialah pesalah juvana ketika disabitkan dengan pembunuhan dan dipenjarakan. Pada usia muda mereka telah melakukan kesalahan yang berat.

Namun dalam keadaan terkawal tanpa gangguan lain, mereka menjadi fokus dalam pelajaran sehingga berjaya mendapat MBA.

Mereka turut memohon pengampunan dan berharap hukuman menjadi ringan setelah bertungkus lumus belajar sampai ke peringkat tinggi.

Jim mahu berkongsi pengalaman dan ilmu dengan orang ramai dan Adam mahu memulakan perniagaannya sendiri sekiranya dibebaskan kelak.