Pastinya kisah saudari Nurul Ezzatul yang tular di media sosial dimana kaki beliau terkena jangkitan cacing akibat berjalan di Pantai Port Dickson boleh dijadikan iktibar untuk anda di luar sana.

Baru-baru ini, Dr Nur Mahiza Md Isa yang merupakan pensyarah senior dan ‘pengkaji cacing’ di Universiti Putra Malaysia telah berkongsi dengan pihak Vocket mengulas akan isu tersebut. Menurut beliau, mungkin ada diantara kita yang tidak perasan bahawa telah membawa unwanted souvenir ketika melancong di luar negara. Apa itu unwanted souvenir?

Perkongsian Dr Nur Mahiza Md Isa ini adalah mengenai unwanted souvenir atau anda sedia maklum iaitu cacing. Baca perkongsian penuh beliau di bawah:

1. Unwanted souvenir itu cacing dan salah satu nama cacing itu ialah Fasciola

Screenshot 2019-07-14 at 3.12.01 AM
Gambar 1: Cacing Fasciola berbentuk seperti daun.

Unwanted souvenir itu adalah cacing. Macam-macam cacing yang boleh kita jangkiti terutamanya yang dikelaskan sebagai zoonotik. Zoonotik bermaksud jangkitan adalah sesuatu penyakit yang boleh menjangkiti manusia daripada haiwan.

Dan hari ini saya ingin kongsikan hanya satu info cacing yang diberi nama Fasciola. Jangan tergeliat lidah hendak menyebut Fasciola. Fas~ci~o~la. Rupanya seperti daun dan tidak tipikal sangat rupa cacing yang macam kita bayangkan.

Cacing Fasciola tidaklah besar, boleh dilihat melalui mata kasar kita. Besarnya parasit ini boleh mencapai dalam 2cm, saiz lebih kurang dalam duit sepuluh sen kita.

2. Bagaimana dengan melancong boleh mendapat jangkitan cacing?

Screenshot 2019-07-14 at 9.11.57 AM
Gambar 2 Kitaran hidup parasit Fasciola.

Pasti anda tertanya-tanya, bagaimana anda boleh terkena jangkitan sedangkan anda telah memakai kasut dan tidak berjalan-jalan tepi pantai. Acapkali, orang-orang dahulu banyak menasihatkan kita, kalau tidak mahu terkena jangkitan cacing, setiap kita pakailah kasut atau selipar jepun. Betul kata mereka.

Sebabnya, terbukti melalui kajian sains, apabila kita tidak memakai kasut, kita terdedah kepada cacing yang dinamakan cacing kait. Itulah cacing yang menjangkiti dan ‘berzumba’ di kulit saudari Ezzatul ketika beliau berkunjung di pantai. Maklumat lanjut mengenai cacing tersebut boleh didapati di artikel The Vocket yang lepas di sini.

Akan tetapi, lain pula cerita pasal cacing Fasciola. Ceritanya begini. Kita kaji dahulu kitaran hidup cacing Fasciola ini. Jangan pening untuk tengok kitaran ini. Kita zoom  terus bahagian yang dibulatkan merah.

Larva cacing yang dipanggil ‘metacercariae’ dalam bahasa English, dan bahasa kita, metaserkaria ini terdapat pada tumbuhan tepian air seperti selada air dan kangkung. Kesimpulannya, manusia akan mendapat jangkitan parasit ini melalui pemakanan selada air atau kangkung. Apa kaitan cacing ini pula dengan melancong? Jom kita kaji lagi.

3. Melancong dapat Fasciola?

Screenshot 2019-07-14 at 3.12.31 AM
Gambar 3 Kes Fascioliasis dikalangan rakyat Australia yang melancong di Bali

Sebanyak enam kes telah dilaporkan dimana pelancong daripada negara Australia yang melancong ke Bali, didapati terkena jangkitan parasit ini pada tahun 2011-2014. Informasi ini saya ambil daripada artikel ‘ The Medical Journal of Australia’.

Mereka semua mendapat jangkitan parasit ini ketika melancong di negara Indonesia. Mereka terkena jangkitan ketika mereka sedang melancong! Yang menariknya lima daripada enam pelancong yang terkena Fasciola adalah perempuan. Mengapa perempuan?

Adakah antibodi kita lemah? Bukan. Saintis mengaitkannya dengan sifat perempuan yang suka makan salad dan ulam! Tidak dapat dinafikan perempuan suka makan salad dan ulam sebab ingin awet muda kan? Jangan anda tak mengaku.

Berbalik kepada gambar kitaran yang diterangkan tadi, kita belajar bahawa larva metaserkaria ini terdapat pada tumbuhan tepian air atau salad. Sebenarnya, apabila kita sedang menikmati ulam dengan sambal belacan, secara tidak sengaja kita boleh termakan sekali metaserkaria yang melekat pada daun-daun ulam.

4. Kesan Jangkitan Fasciola

Screenshot 2019-07-14 at 3.13.08 AM
Gambar 4: Negara beriklim sejuk seperti Scotland juga mempunyai masalah parasit Fasciola.  Sumber: Google

Kalau terkena jangkitan Fasciola, apa akan terjadi? Kalau berada di Malaysia, selamat ke dari terkena jangkitan Fasciola ni? Jika terkena jangkitan ini, apa akan terjadi? Sekarang, mesti soalan-soalan begini bermain di fikiran anda. Pasti anda ingin ketahui jawapan kepada persoalan tersebut.

Jika terkena jangkitan Fasciola, ianya bergantung pada imuniti badan seseorang itu. Majoriti kita tidak menunjukkan sangat tanda-tanda klinikal (asymptomatic). Akan tetapi, sebahagian daripada kita berkemungkinan untuk menunjukkan tanda-tanda demam, sakit perut, sakit dada, tidak lalu makan, cirit birit, muntah.

Yang merisaukan adalah jikalau kita terkena jangkitan ini secara berlarutan, besar kemungkinan parasit ini merebak ke hati, dan juga organ lain yang boleh menyebabkan keradangan organ-organ tersebut.

Dimana-mana, hampir seluruh dunia, kita manusia berisiko untuk mendapat cacing Fasciola. Kalau kita rujuk laman sesawang Center of Disease Control and Prevention atau singkatannya CDC, statistik menunjukkan hampir semua benua mempunyai Fasciola parasit ini, kecuali di kutub Antartika. Jadi, kalau tak mahu terkena Fasciola, kita pergi kutub sana!

Akan tetapi, kenapa hanya kes dilaporkan dikalangan pelancong Australia, bukan rakyat kita? Apa yang berlaku sebenarnya berkemungkinan diagnosis cacing ini adalah lebih baik diperolehi di negara-negara kaya seperti yang dilaporkan dalam kes pelancong Australia. Selain daripada Indonesia, kes banyak direkodkan di negara seperti  Bolivia, Peru, Cuba, China, Spain, Delta Nile di Mesir dan juga Vietnam. Tengok! Senarai nama negara yang disebutkan juga adalah tempat hotspot dimana ramai orang gemar pergi melancong!

5. Bagaimana untuk mengurangkan jangkitan Fasciola?

Screenshot 2019-07-14 at 3.13.28 AM
Gambar 5: Binatang ternakan ini juga berisiko mendapat jangkitan parasit Fasciola apabila mereka meragut rumput yang berada berdekatan dengan sungai. Sumber: Google

Yang ini, mesej yang paling penting nak disampaikan. Daripada kitaran parasit, sangat jelas Fasciola ini boleh berjangkit melalui pemakanan sayur-sayuran atau salad yang kita makan.

Senang sahaja untuk mengelak Fasciola! Kurangkan untuk makan sayur atau salad mentah! Bunyinya macam tidak bagus, tetapi itulah caranya untuk mengurangkan risiko termakan cacing Fasciola.

Semoga ianya bermanfaat!

Sumber