Penternak di New Zealand nampaknya bakal menerima beban kewangan yang baharu apabila kerajaan mereka mencadangkan agar cukai karbon dikenakan untuk sektor ternakan. Pengenalan cukai karbon ini adalah sebahagian daripada penyelesaian masalah perubahan iklim di negara terbabit. Difahamkan bahawa hampir separuh jumlah pelepasan gas rumah hijau datang daripada kentut dan sendawa Lembu yang menghasilkan gas metana, penyumbang utama kepada pemanasan global.

Memetik laporan DW, jika perkara ini menjadi kenyataan New Zealand bakal menjadi negara pertama yang mengenakan cukai karbon kepada petani lembu di sana. Pelan kutipan cukai ini juga sebenarnya merupakan usaha terbaru New Zealand untuk menangani kesan industri penternakan lembu terhadap perubahan iklim.

Baca Juga:

New Zealand mempunyai cita-cita untuk merealisasikan program bebas karbon menjelang 2050. Kerajaan juga merancang untuk mengurangkan pelepasan metana sehingga 10 peratus daripada sektor ternakan dalam tempoh lapan tahun akan datang.

Bagaimanapun, sebagai pemain industri terbesar di negara ini, penternak lembu khusunya membantah rancangan ini. Menurut mereka, kutipan cukai itu akan menyebabkan kerugian sebanyak 5 peratus daripada jumlah pendapatan. Sementara itu, keuntungan dan pendapatan penternak lembu dan biri-biri di New Zealand boleh menyusut sehingga 20 peratus disebabkan cukai, yang dikatakan oleh penternak tenusu Andrew Hoggard boleh membawa kesan buruk kepada petani negara itu.

Tidak jelas berapa banyak cukai yang akan ditetapkan, tetapi rancangannya adalah untuk kutipan bermula pada 2025. Kerajaan New Zealand berkata cukai yang diterima akan digunakan untuk membiayai penyelidikan dan pembangunan teknologi baharu bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau daripada sektor itu, dan juga menggalakkan pemain industri untuk mengamalkan amalan yang lebih mesra alam.