Walaupun ungkapan customers always right itu kadang-kalanya tidaklah sentiasa relevan dan kurang diamalkan mana-mana entiti perniagaan namun apa yang berlaku di Indonesia ini menunjukkan sebaliknya.

Berpunca daripada rungutan para penumpang yang tidak berpuas hati kerana tidak dapat melihat wajah pramugari dan pramugara yang bertugas memberikan layanan, Garuda Air kini terpaksa mencari alternatif baru bagi menggantikan pelitup muka yang dipakai staf mereka.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Ia susulan daripada rungutan para penumpang pesawat mereka sebelum ini yang meragui layanan yang diberikan anak kapal terhadap mereka ketika memakai pelitup muka.

“Ramai pelanggan Garuda merungut krew penerbangan memakai pelitup muka.

“Ini kerana mereka tidak dapat melihat sama ada krew sedang tersenyum atau sebaliknya” kata wakil Garuda Irfan Setiaputra seperti dilaporkan Jakarta Post yang memetik kompas.com

Berpunca daripada rungutan itu, pihak mereka seperti dilaporkan Jakarta Post bakal mencari alternatif baru untuk menggantikan pemakaian pelitup muka (face mask) dalam kalangan krew penerbangan mereka.

Antara yang menjadi pertimbangan ketika ini menurut syarikat penerbangan Indonesia itu adalah dengan memakai penghadang muka ataupun face shield.

Berbeza dengan pelitup muka, penghadang tersebut seperti yang dipakai petugas barisan hadapan dan kakitangan perubatan di seluruh dunia akan membolehkan para penumpang melihat senyuman krew yang memberikan layanan kepada mereka.

Syarikat mereka bagaimanapun menjelaskan masih akan memakai pelitup muka dan sarung tangan buat masa ini sehingga menjumpai penyelesaian terbaik.

Perkara itu adalah selaras dengan peraturan kementerian pengangkutan negara itu yang memerlukan krew penerbangan memakai peralatan perlindungan yang ditetapkan untuk mereka beroperasi.

Sumber