“Doktor, sekarang ni siang ke malam?”

Matanya kian kelam. Sudah tak dapat bezakan antara terangnya sinaran suria dan terangnya lampu kalimantang. Dunia kelihatan seperti lukisan catan cat air yang diatasnya tertumpah secawan kopi espresso. Kembang, kabur dan kusam.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Sekarang siang, puan. Pukul 12 tengah hari,” jawabku.

“Pukul 12?”

“Ya.”

Kali ini keadaannya benar-benar berbeza. Ketika dia jalani kitaran radioterapi, dia masih boleh melihat. Tidak begitu tajam kerana rabun jauh, namun boleh mengenal siapa gerangan yang bertandang. Kini, dia hanya boleh cam seseorang melalui suara. Ini kerana ketumbuhan di otaknya semakin membesar.

“Saya bodoh, doktor. Saya memang tak percaya rawatan tu, tapi suami saya berkeras nak cuba. Katanya, 2 bulan pasti sembuh, dijamin tiada kesan sampingan.”

Di pertengahan kitar radioterapi, suaminya sudah hilang sabar melihat isterinya mendapat kesan sampingan radioterapi. Kulitnya di mana sinar radiasi dipancarkan, kelihatan melecur seperti terkena selar matahari. Muntah-muntah. Cirit-birit. Lemah tak bermaya.

Maka, si isteri dibawa pulang untuk mencuba rawatan menggunakan ubat ramuan semulajadi. Hasrat itu dihalang dengan nasihat, ditegah dengan penerangan, tapi semakin dipujuk semakin tekad suaminya membulat.

“Setelah dua bulan jalani terapi alternatif, keadaan saya bertambah teruk, tapi suami malu nak bawa saya datang balik ke hospital.”

Air matanya mengalir deras. Mukanya berkerut. Ketika itu jelas kelihatan sebelah mukanya lumpuh. Titisan-titisan air matanya mengalir di pipi dan kemudian meniti tiub nasogastrik yang menyusur di muka.

Munurutnya, dia membayangkan petugas kesihatan akan berkata, “Itulah, degil sangat. Padan muka kau!”

Di FB, kata-kata seperti itulah yang sering dilempar kepada mereka yang mencuba rawatan alternatif tetapi gagal dan akhirnya kembali ke hospital.

Di rumah, pandangannya beransur-ansur kelam dan tangan dan kaki kanannya perlahan-lahan menjadi semakin lemah dan akhirnya terpaksa dikejarkan ke hospital kerana diserang sawan.

“Saya bodoh, doktor. Saya bodoh sebab saya hanya menurut kehendak suami saya,” adu pesakit itu pada saya.

Masih ada segelintir suami yang bersikap autoritarian. Mereka merasakan kuasa membuat sesuatu pilihan atau keputusan adalah hak mutlak mereka. Ada pula isteri yang menyerahkan sepenuhnya perihal membuat keputusan kepada si suami.

Bagi saya, ini tak seharusnya berlaku. Dalam membuat keputusan, terutamanya perkara yang melibatkan hidup dan mati, isteri perlu diberi hak untuk membuat keputusan sendiri. Suami pula perlu hormati keputusan isteri, selagi keputusan itu tak melanggar moral dan agama.

“Puan tak bodoh. Puan seorang isteri yang taat dan suami puan pula hanya mahu yang terbaik buat puan. Dia tak sanggup tengok puan tanggung derita kesan radioterapi. Apa yang dah berlaku kita lupakan dulu. Fokus pada rawatan kali ini,” balasku secara diplomatik.

Bukan salah mereka sepenuhnya. Ini semua berlaku angkara pengamal perubatan alternatif pseudosains dan penunggang agama yang menjanjikan bulan dan bintang. Mereka menjana duit daripada derita, air mata dan darah orang-orang yang terdesak. Itu adalah cara mencari duit yang paling cela.

Seperkara lagi. Benar juga kata pesakit ini. Di media sosial, petugas kesihatan semakin lantang bersuara. Mereka semakin mendesak dalam mengajak. Terlalu menghukum dalam menilai. Terlalu kasar dalam mengajar. Selalu sinis dalam menyindir. Sehinggakan, keburukan lebih menonjol daripada kebaikan.

Saya tak nafikan kadang-kadang buku perlu dibalas ruas, namun saya percaya jika ia dijadikan kelaziman, pasti akan berlaku banyak kemusnahan sampingan (collateral damage). Maka berpada-padalah.

Kesimpulannya,

1. Isteri berhak buat keputusan untuk dirinya. Suami perlu hormati hak itu.

2. Ada pengamal perubatan alternatif yang penipu. Pilih betul-betul.

3. Ada kemenangan boleh dicapai melalui peperangan, ada kemenangan boleh dicapai melalui rundingan damai. Pilihan di tangan anda.