“Jika anda rasa tak berguna, ingatlah ada insan bertugas sebagai penyelamat renang di acara renang Olimpik.”

Walking
HYPE
‘Pembunuh’ Yang Datang Tanpa Diundang, Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Kanser
Baca lagi →

Terlihat meme ini berlegar di media sosial, hati saya sedikit terguris. Saya bukan penyelamat renang, tapi tugas saya menyelamat, maka ada tempias sedikit pada saya.

Susulan penyebaran meme ini, netizen mempersendakan tugas penyelamat renang. Ramai mengatakan ia pekerjaan yang redundan.

Acara tersebut disertai dan dihadiri oleh perenang-perenang profesional terbaik dunia, dipantau oleh jurulatih-jurulatih renang, mana mungkin ada yang lemas. Lagipun, dalam sejarah Olimpik, belum ada perenang yang lemas.

Betul, tapi tak bermakna penyelamat renang tiada guna. Berikut adalah beberapa perkara yang saya ingin ketengahkan untuk menjelaskan kepentingan peyelamat renang.

1. Awas & Respon

Bagai kuda lumba yang memakai tuntun mata (blinkers), fokus perenang-perenang hanyalah cuma untuk menjadi yang pertama sampai di garis penamat. Jadi, jika salah seorang perenang mengalami kecederaan, perenang-perenang lain tidak akan sedar.

Setiap perenang akan dipantau oleh jurulatih dan pembantu jurulatih mereka, jika berlaku sebagai perkara tak diingini, mereka akan jadi antara yang pertama perasan. Namun begitu, biasanya jurulatih tidak ke acara itu berpakaian renang. Membuka pakaian mengambil masa, manakala berenang dengan pakaian pula akan mengekang kecekapan pergerakan di dalam air.

Penyelamat pula sentiasa dalam keadaan siapsiaga dari segi mental dan fizikal (termasuk pemakaian). Mereka telah dilatih untuk awas kepada tanda-tanda awal kecelakaan. Bertindak awal tanpa teragak-agak dapat mengelakkan tragedi.

Dalam situasi yang melibatkan nyawa, setiap saat berharga.

2. Kemahiran

Tak dinafikan, setiap perenang dan jurulatih telah mendapat latihan untuk menyelamat tapi secara praktikal, bukan semua orang mampu bertindak mengikut prosedur dalam keadaan cemas. Contohnya walaupun ramai sudah mempelajari teknik CPR (tekanan dada), tapi tidak semua mampu melaksanakan prosedurnya dengan sempurna apabila berdepan dengan situasi sebenar.

Kemahiran penyelamat dikemaskini melalui beberapa kursus penilaian. Kecelakaan di dalam air bukan sahaja terhad kepada lemas. Antara situasi yang boleh berlaku di dalam air ialah kekejangan, serangan jantung, dan kecederaan fizikal akibat pertembungan. Oleh itu para penyelamat renang perlu mempunyai sijil kemahiran pertolongan cemas, CPR, pengunaan AED (automated external defibrilator), teknik imobilisasi ketika menyelamat mangsa dengan kecederaan tulang belakang dan sebagainya. Pegawai terlatih sahaja mampu bertindak dengan cekap.

Kesimpulan

Atas alasan-alasan yang dikemukakan, saya berpendapat kewujudan penyelamat renang di acara renang masih lagi relevan. Jangan mudah pandang enteng pada pekerjaan orang.

Apapun, lebih baik sediakan payung sebelum hujan!

Trivia 1

Beberapa orang perenang telah mati kerana Shallow Water Blackout (SWB) ketika mencuba untuk menghabiskan pusingan tanpa mengambil nafas. Tidak seperti kejadian hipoksia lain yang menyebabkan kematian otak selepas 5 minit ketiadaan oksigen, SWB atau “pitam di air cetek” boleh mengakibatkan kematian otak dalam masa 2 minit.

Trivia 2

Selain renang, khidmat penyelamat juga digunakan dalam acara akuatik yang lain seperti, acara terjunan, polo air, renang berirama dan sebagainya. Pada tahun 1983, Sergei Chalibashvili, seorang penerjun Soviet berusia 21 telah meninggal dunia akibat kepalanya terhentak di platform lonjakan ketika melakukan terjunan di Kejohanan Sukan Universiti Dunia.

p/s: Semasa muda, saya suka tengok Baywatch (jangan beritahu bini saya).

Artikel ini ditulis oleh Dr. Kamarul Ariffin, seorang Pegawai Perubatan Rehabilitasi. Sumber-sumber rujukan boleh dilihat di bawah.

Artikel di atas disumbangkan oleh Dr Kamarul Ariffin. Pegawai Perubatan Rehabilitasi. Boleh ikuti beliau di sini.

BACAAN SETERUSNYA

© 2018 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W), a part of Media Prima Group